“Happy Anniversary Love Birds Kesayangan Rakyat” Agong & Raja Permaisuri Rai Ulang Tahun Perkahwinan Ke-37

Pasangan Diraja, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menyambut Ulang Tahun Perkahwinan Diraja ke-37 tahun.

NONA merafak sembah ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Perkahwinan Diraja ini.

Sesungguhnya, 37 tahun itu bukan tempoh yang singkat. Pastinya, pelbagai asam garam dirasai selama melayari bahtera rumahtangga bersama.

Pun begitu, suka menatap foto-foto mesra dan romantik Baginda berdua.

Pasangan Diraja ini sering mendapat perhatian rakyat dan disifatkan sebagai pasangan yang romantik.

Memetik perkongsian di laman Instagram Istana Negara yang dimuat naik sebentar tadi: –

“Merafak sembah ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Perkahwinan Diraja ke-37 KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

NONA mengimbau kembali momen perkahwinan Diraja ini seperti dilaporkan Astro Awani (6 Mac 2021):-

“Tanggal 6 Mac 1986, tarikh yang memahat sejarah penyatuan dua hati dari dua negeri.

“Rakyat jelata di Johor dan Pahang menjadi saksi ikatan cinta pasangan Diraja antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada tahun bersejarah itu.

“Pada malam 5 Mac 1986 didahului dengan majlis tahlil di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru bermulalah istiadat pertunangan di antara pasangan romantik yang saling melengkapi ini.

“Keesokannya di Istana Bukit Serene, berlangsung istiadat pertunangan, majlis dihadiri kerabat diraja kedua pihak, pembesar negara dan orang kenamaan dari segenap pelusuk negara.

“Istiadat Akad Nikah Pengantin Diraja berlangsung di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru, diikuti istiadat bersanding Pengantin Diraja di Istana Besar, Johor Bahru pada 19 Julai 1986.

“Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pula menyusul pada 26 Julai 1986.

“Perkenalan Baginda berdua bermula sejak mereka masing-masing berusia 13 dan 12 tahun dari pertemuan di acara polo yang sering diadakan oleh keluarga Diraja Pahang dengan Johor.

“Perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang itu menjadikan Tengku Azizah sebagai Tengku Puan Pahang.

“Pada Julai 2019, Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.

“Pasangan Diraja ini dikurniakan sembilan cahaya mata iaitu empat putera dan lima puteri.”

Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku.

Kredit Foto: Instagram Istana Negara

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

IKLAN
Share