Berbicara tentang kelahiran pramatang sebenarnya membuka satu bab yang sangat dekat dengan hati ramai mak-mak di Malaysia. Ada yang pernah lalui sendiri dan ada yang melihat sahabat rapat berjuang dengan bayi kecil yang lahir terlalu awal.

Sebab itu setiap kali tiba Hari Kelahiran Pramatang Sedunia, seluruh dunia mengambil masa sejenak untuk menghargai kekuatan luar biasa keluarga ini dan memahami apa sebenarnya yang berlaku apabila bayi dilahirkan sebelum waktunya.

Apakah Maksud Kelahiran Pramatang?

Secara perubatan, kelahiran pramatang bermaksud bayi lahir sebelum genap 37 minggu kehamilan iaitu lebih kurang 8 bulan. Di Malaysia, kadar kelahiran pramatang pada tahun 2020 berada pada 10.7%, satu angka yang menjadikan isu ini lebih penting untuk difahami. Dua perkara utama menentukan keadaan bayi pramatang iaitu seawal mana mereka dilahirkan dan berat badan mereka ketika lahir.

Cabaran Tahun Pertama Bayi Pramatang

Selalunya kita dengar orang kata bayi pramatang akan cepat catch-up apabila mereka membesar dan tahun pertama dianggap fasa paling mencabar. Ramai bayi pramatang memang membesar menjadi kanak-kanak yang sihat, aktif dan cerdas. Namun ada juga yang memerlukan sokongan tambahan kerana sesetengah komplikasi boleh berlarutan dan memerlukan perhatian jangka panjang.

Hari Kelahiran Pramatang Sedunia, Kisah Perjuangan Penuh Emosi & Harapan Ibu-Ibu Preemie Baby

Komplikasi Kesihatan Yang Mungkin Berlaku

Antara komplikasi yang boleh berlaku ialah masalah pernafasan seperti respiratory distress syndrome, enterokolitis nekrotik, jangkitan serius seperti sepsis, retinopati pramatang yang boleh menjejaskan penglihatan serta masalah berkaitan otak seperti pendarahan intraventrikel dan leukomalasia periventrikel. Komplikasi sebegini kadangkala memberi kesan kepada perkembangan kognitif, motor atau deria anak apabila mereka membesar. Sebab itu rawatan awal dan pemantauan berterusan sangat penting untuk memastikan mereka mendapat permulaan hidup yang terbaik.

Ads

Kehidupan Selepas Keluar Dari NICU

Tetapi perjalanan kelahiran pramatang tidak berhenti di wad NICU saja. Untuk ramai mak ayah, kehidupan selepas keluar hospital pun penuh dengan temu janji doktor, sesi terapi dan rawatan susulan. Semua ini dilakukan sambil mengurus rumah tangga, kerja, emosi dan kadangkala ketakutan yang tidak pernah disebut dengan kuat.

Hari Kelahiran Pramatang Sedunia, Kisah Perjuangan Penuh Emosi & Harapan Ibu-Ibu Preemie Baby
Taylor’s University

Namun di sebalik keletihan itu, ramai ibu bapa menggambarkan pengalaman ini sebagai perjalanan yang membina kekuatan jiwa, mengeratkan hubungan keluarga dan membuatkan mereka menghargai setiap pencapaian kecil anak daripada mengangkat kepala, tersenyum sehinggalah ke langkah pertama.

Sokongan Perkembangan Anak Pramatang

Apabila anak anak ini semakin besar, sesetengahnya mungkin memerlukan terapi pertuturan, terapi cara kerja atau pelan pembelajaran yang disesuaikan untuk menyokong perkembangan mereka. Apa jua bentuk bantuan, semuanya bertujuan memastikan mereka membesar dengan potensi sepenuhnya.

Ads

17 November Dan Makna Hari Kelahiran Pramatang Sedunia

Hari Kelahiran Pramatang Sedunia yang jatuh pada 17 November 2025 menjadi detik untuk menghargai keberanian senyap keluarga yang bayinya datang ke dunia lebih awal dari jangkaan. Di sebalik setiap degupan kecil dalam inkubator, ada kisah ketabahan, kasih sayang dan keazaman yang luar biasa.

Ada ibu bapa yang tidak pernah berhenti berharap dan ada pasukan perubatan yang setiap hari mencurahkan tenaga serta kepakaran melebihi batas tugas mereka. Hari ini mengingatkan kita bahawa kelahiran pramatang bukan sekadar cabaran perubatan tetapi kisah kemanusiaan.

Penghargaan Untuk Semua Pejuang Pramatang

Hari ini mengajak kita bersama-sama mencipta masa depan di mana semakin kurang bayi dilahirkan pramatang dan setiap anak yang memulakan hidup sebelum waktunya tetap diberi peluang untuk membesar dengan sihat dan disayangi sepenuhnya.

Ads

Ia juga mengingatkan semua mak ayah yang pernah berjuang di NICU satu perkara penting. Anda tidak pernah gagal. Anda hanya melalui perjalanan yang berbeza, tetapi penuh cinta, harapan dan keberanian yang tidak semua orang dapat rasakan.

Hari Kelahiran Pramatang Sedunia, Kisah Perjuangan Penuh Emosi & Harapan Ibu-Ibu Preemie Baby
Taylor’s University

Sumbangan Pakar Dalam Meningkatkan Kesedaran

Usaha meningkatkan kesedaran ini turut digerakkan oleh mereka yang mengabdikan diri dalam bidang kesihatan ibu dan anak. Artikel ini disediakan oleh Dr Khine Pwint Phyu ialah Ketua Pembelajaran dan Pengajaran manakala Dr Ganesh Ramachandran mengetuai School of Medicine. Kedua-duanya merupakan Profesor Madya serta Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Faculty of Health and Medical Sciences Taylor’s University.

Hari Kelahiran Pramatang Sedunia terus menjadi simbol perjuangan, kekuatan dan harapan untuk semua keluarga yang pernah menempuh pengalaman ini.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/wanita-malaysia-anemia-tanda-kekurangan-zat-besi/

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads