Hasrat 27,722 Wanita Pergi Angkasa Terkubur, BILIONAIRE JEPUN Batal Niat Bawa Pasangan!

Selepas mencetuskan fenomena dan membuat iklan mencari teman wanita untuk dibawa ke angkasa, bilionaire Jepun ini membatalkan hasrat berkenaan di platform media sosialnya pada 30 Januari lepas. Yusaku Maezawa yang juga mogul fesyen dan pengasas empayar fesyen dalam talian, ZOZO Town… dinamakan sebagai penumpang peribadi pertama Space X milik Elon Musk yang bakal menyertai misi mengelilingi bulan.

Yang pasti, keputusan mengejutkan Yusaku itu menghampakan 27,722 wanita yang telah menghantar permohonan untuk mencuba nasib. BBC melaporkan usahawan berusia 44 tahun itu mengakui rasa serba salah dengan pengumuman itu.

“Perasaan saya bercampur baur dengan penglibatan ini. Mengenang 27,722 wanita yang bersungguh-sungguh mahu ke angkasa dan meluangkan masa memohon pencarian itu membuatkan saya rasa sangat serba salah memaklumkan keputusan ini.”

Antara syarat dan kriteria yang dikehendaki untuk pencarian istimewa itu adalah wanita yang masih bujang, berusia lebih daripada 20 tahun dan berminat untuk pergi ke angkasa. Hanya seorang wanita akan dipilih dan pemilihan itu nanti akan disiarkan menerusi sebuah dokumentari ‘Full Moon Lovers’. Bagaimanapun program berkenaan juga terpaksa dibatalkan.

Khabarnya, Yusaku tetap menyertai trip ke angkasa menaiki Space X pada tahun 2023 tanpa ditemani sesiapa. Harga tiket Yusaku untuk pergi ke angkasa bagaimanapun tidak didedahkan namun menurut Elon Musk, ia melibatkan wang yang banyak.

Ia bukanlah kali pertama bekas Ketua Pegawai Eksekutif ZOZO Town itu menarik perhatian ramai. Sebelum ini Yusaku juga pernah berjanji memberikan 100 juta yen atau USD910 ribu kepada mereka yang berkongsi ciapannya di media sosial Twitter. Dan Yusaku mengotakan janji dan mengumumkan pemenang tersebut pada Januari tahun lalu.

Menurut Forbes, Yusaku menduduki tangga ke-22 daripada 50 individu terkaya di Jepun pada tahun 2019. Yusaku merupakan gedung fesyen dalam talian terbesar di Jepun dan mula menjalankan perniagaan tersebut pada May 1998.

Pada September 2019, dia mengumumkan untuk meletak jawatan selaku CEO dan menjual kebanyakan syernya kepada Yahoo Jepun yang melibatkan rundingan niaga bernilai lebih USD2.3 bilion. Setakat 6 Februari, kekayaan Yusaku adalah sekitar USD1.9 bilion.

Menyentuh kehidupan peribadinya, lelaki ini pernah menjalin hubungan dengan aktres cantik Jepun iaitu Ayame Goriki. Namun hubungan mereka terputus sekitar November tahun lalu.

IKLAN
Share