Hebatnya Puteri Memori Malaysia TENGKU FAIZWA, Cipta Handphone Pertama Di Dunia Ada Projektor!

Bijak, berwawasan dan inovatif! Itulah gambaran paling tepat buat wanita bernama YM Tengku Faizwa Tengku Razif, 38 tahun yang juga merupakan kerabat negeri Selangor. Darah kerabat yang pekat mengalir dalam dirinya bukanlah alasan untuk YM Tengku Faizwa Tengku Razif atau lebih mesra disapa Tengku Faizwa untuk berpijak diatas kaki sendiri dalam mengecapi kejayaan yang diperoleh hari ini.

Terkenal dengan jolokan ‘Puteri Memori Malaysia’ suatu ketika dahulu, syarikat  Ideaspark Sdn Bhd yang memberi fokus kepada latihan memori dan kreativiti yang ditubuhkan masih berjalan hingga kini. Terbaharu, Tengku Faiz melebarkan sayap dalam dunia perniagaan dengan menceburi bisnes teknologi iaitu telefon pintar atau smartphone.

“Dua tahun lepas, saya ada bekerjasama dengan pengeluar di China dimana mereka membuat kajian untuk menghasilkan projektor untuk smartphone. Selepas itu saya menyertai mereka dan menubuhkan syarikat join venture bersama mereka di Hong Kong. Kini, teknologi projektor smartphone tersebut merupakan usaha sama saya dengan mereka.

“Menariknya mengenai telefon pintar ini ialah dari segi namanya sendiri. Saya menamakan ia sebagai Scanda. Pada mulanya saya ingin memberi nama “Scandal” namun apabila mengadakan perbincangan bersama ahli kumpulan, nama tersebut kedengaran agak melampau. Kami juga telah mengadakan soft launch untuk smartphone ini dan dalam masa terdekat ini, telefon pintar ini boleh didapati di pasaran, InsyaAllah,” bicara Tengku Faizwa.

Menariknya, telefon pintar ini adalah telefon pintar pertama di dalam dunia yang mempunyai teknologi projektor. Harga telefon pintar yang penuh inovasi ini juga tidak terlalu mahal dan boleh dianggap mampu milik. Tambah wanita yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Universiti Sains Malaysia ini, idea untuk mencetuskan telefon pintar ini datang secara tidak sengaja.

 

CABARAN & PENGALAMAN

Sebelum meraih kejayaan pada hari ini, Tengku Faizwa juga tidak terlepas dari mengharungi onak duri dalam melayari perjalanan hidup sebagai seorang yang bergelar insan. Pengalaman jatuh bangun Tengku Faizwa selama ini lebih mematangkan beliau dan boleh dijadikan inspirasi buat wanita diluar sana.

“ Sebelum saya terlibat dengan projek smartphone ini, saya mengusahakan syarikat saya yang bernama Ideaspark Sdn. Bhd. Bisnes pertama saya yang saya usahakan sejak 15 tahun dulu boleh dikatakan agak mencabar kerana ketika itu usia saya yang masih muda. Masa itu agak sukar untuk mendapat kepercayaan untuk melakukan bisnes. Stigma masyarakat ketika itu menganggap usia muda tidak mungkin boleh menceburi bidang perniagaan. Namun kini bila umur meningkat matang, saya berasa lebih mudah untuk membuat bisnes kedua saya berbanding dahulu.

“Pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila ialah ketika pertama kali saya ingin membuat training mengenai Teknik memori. Sebenarnya Teknik mengingat menggunakan memori sudah bermula sejak zaman Yunani, Socrates melalui kaedah menukar gambar dan imaginasi. Kemudian saya mendapat ilham untuk mencipta kaedah sendiri menggunakan asas yang sama iaitu memori yang diasah melalui Teknik gambar, warna dan imaginasi. Selepas itu saya cuba untuk popularkan dan memasarkan kaedah ini.

“Ketika itu  umur saya baharu saja 23 tahun. Saya menulis surat dan menghantarnya kepada semua ahli korporat di Malaysia menceritakan mengenai teknik memori yang saya cipta. Bagi menulis surat tidak mendatangkan kerugian pada saya. Boleh dikatakan beratus surat yang telah dihantar oleh saya termasuk dihantar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Masa itu, Tun Dr. Mahathir masih bergelar perdana menteri. Tiba-tiba selepas tempoh 3 bulan surat itu dihantar, saya mendapat maklum balas daripada Tun Dr. Mahathir,” Ungkap Tengku Faizwa.

Tambah Tengku Faizwa lagi, Tun Dr. Mahathir teruja dengan idea ciptaanya sekaligus mendapat sokongan padu daripada beliau. Ia membuka ruang untuk Tengku Faizwa mengajar teknik memori ciptaannya kepada orang ramai termasuk pelajar di sekolah. Bukan itu sahaja, malah Tun Dr. Mahathir juga mempelajari dan mengamalkan Teknik memori yang dihasilkan Tengku Faizwa.

“Tun Dr. Mahathir memang impress dengan Teknik memori saya dan saya mendapat kontrak menjadi tenaga pengajar atau cikgu selama 5 tahun di seluruh Malaysia. Saya rasakan, apa yang membuatkan beliau yakin dengan teknik memori saya ialah saya mengajar cara untuk mengingati dengan cara yang lebih efektif. Selepas Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, saya diminta untuk mengajar Teknik memori saya kepada beliau. Lebih setahun juga saya mengajar beliau bersama isteri beliau iaitu Tun Dr. Siti Hasmah,” kata Tengku Faizwa.

IKLAN
Share