
Keluarganya mungkin sentiasa terpalit dengan kontroversi, dari penyebaran video lucah kakak sulungnya sehinggalah kepada keputusan ayahnya untuk menukar jantina. Namun kesemua drama ini tidak membataskan impiannya untuk menjadi seorang wanita yang berjaya atau lebih molek penulis gelar gadis kerana usianya yang masih muda.
Kylie Jenner merupakan anak bongsu keluarga Kardashian-Jenner membuktikan dia juga boleh berdiri sama hebat dengan wanita lain yang berjaya. Mungkin ada di antara anda yang menonton rancangan realiti tv ‘Keeping Up With The Kardashian’, anda pasti ingat dengan telatahnya yang manja sebagai anak bongsu. Kini seiring dengan kedewasaan, dia merupakan seorang usahawan berjaya di dalam bidang kecantikan.

Lebih kurang setahun setengah yang lalu dia mengeluarkan rangkaian kosmetiknya sendiri Kylie Cosmetics dimulai dengan jualan Kylie Lip Kit yang hadir dalam tiga warna berbeza. Mengejutkan produk ini habis dijual di pasaran hanya dalam masa sejam ia dilancarkan. Sejak dari itu rangkaian kosmetiknya yang terus sampai kepada pengguna ini mengeluarkan beberapa lagi jenis barangan kecantikan seperti pembayang mata, pemerah pipi, berus solekan dan juga highlighters atau lebih popular dengan nama Kylighters.

Rabu lalu, telah diumumkan bahawa Kylie Cosmetics yang mana Kylie merupakan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai pemasaran dan ketua pegawai kreatif telah menjana jualan sebanyak USD480 juta bersamaan lebih kurang RM2 billion dalam masa 18 bulan. Ini menjadikan dia lebih berjaya jika hendak dibandingkan dengan usahawan kecantikan Amerika lain walaupun mewarisi syarikat turun temurun keluarga dan kebanyakan mereka berusia tiga kali ganda umur Kylie. Nampaknya gadis berusia 20 tahun ini benar-benar bijak menggunakan populariti dan juga kecantikannya dalam membangunkan sebuah jenama yang berjaya.
“Hanya Keluarga Yang Tahu…” Hebat! Dalam Diam, DATUK FAZLEY YAAKOB Berjaya Tamat Pengajian Master

Hebat! Itulah gambaran yang boleh diberikan kepada pelakon, penyanyi dan chef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob yang berkongsi khabar gembira apabila beliau berjaya menamatkan pengajian di Asia e University dalam jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
Menerusi video majlis graduasinya yang dimuatnaik di akaun Instagram, Fazley menitipkan rasa syukur setelah sekian lama melanjutkan pengajian, tanpa putus semangat akhirnya berjaya melakar sejarah manis buat dirinya.
Datuk Fazley juga mengakui ia tidak mudah kerana banyak dugaan yang ditempuhinya untuk menamatkan pengajian, antaranya adalah ketika pemergian arwah bapanya pada 2016 serta menguruskan hal-hal keluarga dan bisnesnya di kala Covid melanda.
Datuk Fazley atau nama penuhnya, Ahmad Fadzli Yaakob berkata, dia juga mahu menjadi contoh buat anak-anaknya agar mereka semua akan mengikut jejak langkahnya suatu hari nanti. Beliau juga mendedahkan bahawa dirinya merupakan seorang yang gemar belajar dan mencari ilmu, tidak kira bidang apa atau jurusan apa asalkan ada peningkatan ilmu.
Menurut sumber Mstar, Datuk Fazley juga memaklumkan yang beliau akan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi iaitu doktor falsasah di universiti yang sama tidak lama lagi.
Hantaran Datuk Fazley kini dibanjiri dengan ucapan tahniah oleh peminat, malah ada yang turut meluahkan rasa teruja dengan pencapaian chef selebriti ini yang berjaya mengenggam segulung Master di usia 44 tahun.
Tahniah NONA ucapkan kepada Datuk Fazley. Semoga kejayaannya ini menjadi inspirasi buat mereka di luar sana untuk tidak berhenti mencari dan mengali ilmu demi masa depan yang lebih cerah dan terjamin.
Majalah Nona pun ada di Telegram tau.Dah follow Telegram Majalah Nona? 👇
Follow kami sekarang di link berikut: https://t.me/majalahnona
Pengalaman Hidup Mencabar Faktor MIESYA YUNUS Aktif Sebagai Aktivis Sosial

Detik kehilangan arwah bapa menjadi titik tolak kepada perubahan dalam hidup wanita berusia 30-an ini. Miesya Yunus atau mesra digelar sebagai Miesya, seorang yang pandai berdikari.
Walaupun dilahirkan sebagai anak bongsu namun Miesya tegas dengan diri sendiri serta tidak bergantung harap kepada keluarga. Kini Miesya mampu menarik nafas lega setelah segala susah payahnya selama ini terbayar apabila berjaya memiliki empayar perniagaan sendiri iaitu Miesya Yunus Holding Sdn Bhd.
Miesya juga bergelar perunding imej dan penjenamaan korporat, jurucakap profesional, tenaga pengajar dan aktivis NGO sekaligus dia telah berjaya menunaikan janjinya terhadap arwah bapa.
BERKAT DOA
“Alhamdulillah, kejayaan saya hari ini semestinya dengan izin Allah SWT. Kedua, berkat doa dan redha ibu saya. Selepas arwah bapa meninggal saya berjanji pada diri sendiri mahu berjaya yang luar biasa agar dapat menjaga ibu seperti mana arwah abah yang ‘pergi’ ketika umur saya 18 tahun.
Sepanjang hayatnya, arwah abah sangat memuliakan ibu dan nenek. Saya anggap arwah abah hero keluarga selain mentor dan sahabat baik saya. Kami memang suka berbual macam-macam isu bersama,” kongsi Miesya yang memiliki darah campuran Melayu, Jawa, Arab dan Pakistan.
Bagi Miesya setiap perkara yang dilakukan haruslah bermula dengan niat yang ikhlas sebagai ibadah kepada Allah SWT. Hati akan menjadi lebih tenang, minda juga akan lebih mudah untuk bekerja serta mengawal perjalanan hidup.
CABARAN
“Apa yang boleh saya katakan, perjalanan hidup saya tak semudah orang lain. Keindahan hari ini hadir selepas saya melalui pelbagai cabaran. Untuk memiliki sesuatu yang berharga memerlukan pengorbanan dan keikhlasan.
Dia boleh bagi kita kejayaan Dia juga boleh ambil semula apa jua milik kita sekelip mata. Jangan susah hati jika diuji kerana ujian Allah datang untuk insan-insan yang terpilih. Sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. A positive vibes will attract a positive energy!” ungkap Miesya.
Perjalanan hidupnya yang cukup mencabar menjadi salah satu faktor Miesya aktif sebagai aktivis sosial sehingga membentuk siapa dirinya hari ini. Bergelar anak yatim juga membuatkan Miesya sedar bahawa ramai lagi yang senasib sepertinya mampu berjaya.
“Melalui platform sukarelawan saya mampu membentuk kepimpinan diri yang kuat. Selain itu, berbekalkan ilmu dan pengalaman yang sedikit ini semoga ia menjadi infak buat mereka yang memerlukan,” bicara Miesya.
IMPIAN
“Saya mengimpikan untuk membina syarikat yang auto run supaya pada usia 45 tahun saya boleh memberikan perhatian sepenuhnya terhadap diri serta keluarga. Ketika ini juga saya berharap dapat mendalami ilmu Al-Quran setelah empayar perniagaan kukuh dan memberi manafaat kepada ummah.
Impian saya seterusnya ialah untuk membina ‘istana’ indah serta surau buat ibu. Saya juga berharap Miesya Holding Sdn Bhd menjadi hub one stop centre demi pembangunan insaniah,” kongsi Miesya.
NASIHAT BUAT WANITA
“Wanita tanpa ilmu dan iman yang kuat adalah wanita yang rugi. Kita tidak akan mampu berjaya jika tiada ilmu. Dan, kita tidak akan mampu menghadapi cabaran kalau pegangan agama rapuh.
Semoga seluruh wanita mampu menjadi srikandi hebat yang berjuang untuk keluarga, agama, bangsa dan negara. Jangan pernah berputus asa pada rahmat Allah SWT yang sangat luas. Apa yang kita ungkapkan, rasa dan fikir akan mejadi doa harian kita,” akhiri Miesya.
Kredit : Instagram Miesya Yunus
Cipta Tabung Sedekah Subuh Dengan Paip PVC, Ini Pesan USTAZAH ASNI MANSOR “Ajar Tangan Kita Untuk Selalu Memberi”

Kalau sudah kreatif apa pun ‘menjadi’. Bukan sekadar lukisan, kebolehan Ustazah Asni juga bukan calang-calang. Terbaharu, di kala berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Allah SWT telah mengilhamkan beliau untuk mencipta tabung sedekah Subuh dan tabung korban sebagai saham akhirat.
Lantas kreativitinya itu dikongsi buat semua pencinta karya seninya yang sentiasa tertunggu-tunggu dengan ‘buah tangan’ terbaharu.

TERCETUSNYA IDEA
“Tercetusnya idea untuk mewujudkan tabung sedekah Subuh ini adalah ketika saya sedang mengisi hasil lukisan yang ditempah ke dalam bekasnya. Tiba-tiba terdetik di fikiran saya, selain lukisan alangkah baiknya kalau bekas itu juga dapat memberi manfaat kepada penerimanya. Lalu saya pun mendapat idea untuk mencipta tabung sedekah Subuh.
Sebenarnya saya sudah pun memulakan projek tabung DIY ini sejak PKP lagi. Ideanya pun datang secara kebetulan, alhamdulillah saya terinovasi untuk melakukan beberapa perkara. Antaranya tabung DIY ini. Saya turut mencipta bentuk Kaabah daripada kotak-kotak.


Tabung ini diperbuat daripada paip PVC yang dipotong kemudian dibersihkan, digosok dan dicat mengikut kreativiti. Pada awalnya saya mengikut warna asal buluh pada tabung ini sehingga ramai yang ingat itu adalah buluh lemang. Sekarang ini saya upgrade semula menjadi edisi istimewa atau premium. Saya hasilkan dalam pelbagai bentuk seperti Frozen untuk anak perempuan, dan Spiderman untuk anak lelaki, pilihan warna biru dan merah.
GALAKKAN BERSEDEKAH
Tujuan utama tabung sedekah ini ialah untuk menggalakan kita bersedekah pada setiap hari dan setiap pagi. Maka dengan adanya tabung sedekah Subuh ini pagi-pagi lagi kita boleh masukkan wang. Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah bersedekah kerana bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana, dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi & al-Tabarani)
Selepas solat Subuh boleh masukkan wang ke dalam tabung. Ketika memasukkan wang niatkan untuk bersedekah. Dari segi berapa jumlah wang yang hendak dimasukkan tidak kisah asalkan ada niat untuk bersedekah pada pagi itu. Ajar juga anak-anak kita untuk menabung dengan niat hendak beramal sedekah.
Boleh keluarkan seminggu sekali atau sebulan sekali, terpulang. Yang pentingnya niat untuk bersedekah pada setiap hari telah pun terlaksana. Jika kita tidak tahu kepada siapa hendak bersedekah, boleh gunakan wang tersebut untuk belanja makan anak-anak, keluarga atau kawan-kawan. Itu juga dianggap bersedekah.
Seterusnya ialah tabung korban. Kita digalakkan melakukan ibadah korban pada setiap tahun, bukannya sekali seumur hidup. Korban umpama renew roadtax, setiap tahun kena renew. Maka kita hendaklah melatih diri dan anak-anak faham bahawa setiap orang paling tidak pun ambil satu bahagian.
Kita satu keluarga jangan langsung tiada bahagian dalam ibadah korban. Kalau kita mampu menabung untuk pergi bercuti, kenapa tidak boleh menabung untuk korban? Sedangkan itu tanda bukti cinta kita kepada Allah SWT.
Ajar tangan kita untuk selalu memberi. Kita hendak ajar diri kita supaya ‘harta’ ada di tangan. Apabila ada di tangan senang untuk lepas. Tapi kalau harta ada di hati itu yang jadi bakhil (kedekut). Ini juga adalah training untuk mengajar keluarga dan anak-anak bahawa rezeki bukan untuk kita. Dalam hidup ini kita perlu belajar memberi. Barulah hidup kita akan bahagia.”
DAKWAH MELALUI KAYRA SENI
“Terpukau melihat setiap naskhah lukisan yang dikongsi di Instagram milik pendakwah terkenal, Ustazah Asni Mansor. Lukisan yang indah, unik dan semestinya kreativiti itu datangnya dari jiwa seni yang halus. Tidak sekadar cantik bahkan setiap lukisannya itu dititipkan cebisan doa dengan maksud yang cukup mendalam.

Saya berdakwah melalui karya seni iaitu lukisan. Saya mula serius dalam lukisan sejak lapan tahun lepas. Saya memang sukakan apa jua yang berkaitan dengan seni. Selain melukis saya juga suka berqasidah, bermain kompang dan piano. Saya yakin bahawa ada bakat-bakat tertentu yang sangat berguna untuk berdakwah.
Selalunya sebelum berkarya saya akan berdoa terlebih dahulu untuk mendapatkan ilham daripada Allah SWT. Dua tiga tahun lepas sebuah stesen televisyen ada menjemput saya untuk membuat tafsir Al-Quran. Alhamdulillah tercetusnya idea untuk saya taddabur ayat itu dengan satu karya yang saya tafsirkan maksud-maksudnya.
Kadangkala tercetusnya idea apabila saya banyak menerima direct message (DM) daripada wanita-wanita yang mempunyai masalah seperti rumahtangga. Maka saya akan kongsi doa-doa melalui lukisan untuk mereka amalkan setiap hari. Saya juga kongsikan di Instagram, doa Nabi Yaakub AS yang merintih dan merayu kepada Allah SWT. Kalau Nabi pun mengadu dan merintih kepada Allah SWT kenapa tidak kita.

Selain itu, saya turut kongsikan doa-doa yang bagus untuk kita amalkan setiap hari. Contohnya kalau kita suka letakkan perhiasan di rumah, biarlah perhiasan itu bermakna. Bila dilihat dan disebut kita boleh amalkan serta mendapat pahala. Itulah maksud saya berdakwah melalui karya seni. Bukan sekadar cantik tetapi juga memberi manfaat.
Telah banyak karya seni yang telah saya hasilkan, mungkin sudah hampir mencecah seribu karya sepanjang lapan tahun. Antara penyokong serta yang telah membeli hasil karya seni saya ialah Cik Puan Muda Julita Aishah, Jihan Muse, Heliza Helmi, Fara Fauzana (Fafau), Sherry Alhadad, Diana Amir dan sahabat-sahabat di Brunei.
PENDORONG
Antara sahabat baik yang menjadi pendorong kuat untuk saya terus melukis ialah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas. Kedua-duanya sangat memberi galakan kepada saya supaya terus berkarya kerana kata mereka ini merupakan satu kelainan dan sangat bagus untuk dikongsikan. Selain itu, ibu juga pendorong kuat saya. Adakalanya beliau rajin mengikut saya pergi berkarya.”


Ustazah Asni sangat bersyukur dan gembira kerana keempat-empat anaknya mewarisi bakat melukis. Masing-masing mempunyai minat serta karakter yang tersendiri. Paling ketara boleh melukis ialah anaknya yang keempat.
Ternyata, dakwah melalui karya seni ini merupakan satu kelainan yang cukup hebat dengan bersandarkan kebolehan yang dipinjamkan oleh Allah SWT untuk memberi manfaat buat insan-insan lain.
Kredit Foto & Video: Instagram Ustazah Asni Mansor