Jika diamati, Mamanda yang berbumbung di bawah Mamanda Group bukanlah nama baharu dalam dunia masakan kerana ia telah dibangunkan di sebuah rumah agam berusia 173 tahun di 73, Sultan Gate Singapura pada tahun 2012.
Kini, mantan juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012, Dato’ Fazley Yaakob membawa jenama Mamanda ke Malaysia bertujuan menjelmakan menu dan pengalaman sama bagi dinikmati sendiri oleh pencinta makanan tempatan yang sentiasa berkehendakkan kelainan dalam menikmati hidangan.
Menurut bapa kepada empat cahayamata itu, perasaan teruja muncul dalam dirinya tatkala dapat membawa masuk cawangan kedua Mamanda di Malaysia kerana ia merupakan sebuah konsep restoran yang menepati jiwanya sebagai cef selepas sukses membangunkan SukaSucre Bistro.
“Menariknya, pengunjung bakal merasai suasana mewah ibarat istana Melayu sewaktu berada di situ sambil menikmati bermacam hidangan Melayu Nusantara ala Diraja yang menggamit selera pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira perbezaan status,” katanya ketika ditemui di Mamanda baru-baru ini. Mamanda diuruskan oleh Pengarah Mamanda Group, Encik Zulkarnine Hafiz dan Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Masmunah Abdullah.
Untuk melunaskan tuntutan gastronomi, tambah Fazley, seleksi menu menyelerakan sedia dinikmati oleh pelanggan kelas medium yang bercitarasa tinggi seperti hidangan Nasi Ambeng, Nasi Tumpang, Nasi Ulam Ayam Bakar Bendahara, Nasi Kerabu, Nasi Bahtera, Nasi Bukhari Pendita dan Nasi Briyani Raja Adil.
“Tidak hanya itu, menu Hidangan Istimewa juga mempersembahkan Assam Pedas Temasek, Ikan Pepes Temenggong, Udang Semerah Sambal, Ayam Rendang Mamanda, Udang Galah Lemak Cili Padi dan banyak lagi. Pencuci mulut pula terdiri daripada Bubur Kacang, Creme Brulee, Serawa Durian, Tat Pandan dan banyak lagi,” ujarnya mengenai menu yang disediakan di restoran baharunya.
Ads
Hidangan yang dipersembahkan juga bakal menarik perhatian kerana ia dihidangkan di dalam konsep dulang tembaga perak dan emas yang sekaligus bakal mengembalikan nostalgia hidangan makanan dahulu kala yang diamalkan oleh masyarakat Melayu yang sememangnya kaya dengan pelbagai budaya, adat dan kesopanan dalam menyediakan hidangan untuk keluarga dan tetamu.
Mamanda mementingkan kesegaran bahan, keaslian rempah ratus dan kesenian Timur agar kekal menjadi lambang sajian diperhalusi kaedah memasak tradisional, diperisa herba berkhasiat serta dijalin dengan ramuan rempah ratus yang terbaik.
MAJLIS IKUT KESELESAAN
Sambil menikmati embience menghijau luas padang golf TPC, Mamanda yang mengamalkan tema Menjunjung Santapan Warisan itu turut menyediakan empat buah bilik privasi untuk digunakan oleh kumpulan pelanggan berhajat untuk menganjurkan majlis secara tertutup. Secara tidak langsung, ia menjadikan Mamanda sebagai pilihan terbaik untuk lokasi bersosial, majlis korporat, pelancaran produk, persidangan media dan seminar.
Ads
Setiap bilik privasi boleh memuatkan sehingga 10 orang tetamu dan ia turut mempunyai bilik privasi yang boleh dibuka kepada dua bahagian sekiranya pelanggan datang dalam jumlah melebihi 10 orang. Pendek kata, soal keselasaan sepanjang menikmati hidangan di sini diberi keutamaan yang terbaik.
Tidak cukup dengan itu, ruang letak kenderaan yang luas memudahkan para pelanggan untuk datang dan tanpa kerisauan untuk meletakkan kenderaan di dalam kawasan TPC Kuala Lumpur yang mempunyai kawalann keselamatan yang ketat.
Ads
Lebih istimewa, majlis pertunangan, pernikahan atau persandingan juga boleh dilangsungkan di Mamanda kerana salah satu sudut Mamanda telah menyediakan kemudahan pelamin khas buat mempelai beserta caj menu bermula RM120+ bagi seorang tetamu. Mamanda yang berlokasi di Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur, No. 10, Jalan 1/70D, Bukit Kiara, 60000, Kuala Lumpur beroperasi setiap hari Isnin hingga Ahad dari jam 12 tengahari ke 10 malam.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sudah beberapa kali menulis menemuramah cef popular yang sinonim dengan perwatakan yang mudah untuk didekati ini. Setiap kali menemuramahnya, beberapa kali dia membisikkan hasrat untuk membuka sebuah restoran yang menyajikan pelbagai hidangan Melayu dan gabungan Baba dan Nyonya untuk dinikmati oleh penggemar hidangan istimewa masyarakat Malaysia ini. Tahun ini, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan bin Ismail mengotakan janjinya dengan membuka restoran dikenali sebagai De.Wan 1958 by Chef Wan ketika umat Islam sibuk dalam mempersiapkan diri menghadapi bulan Ramadan Al Mubarak.
De. Wan 1958 by Chef Wan yang dibuka di The Linc, sebuah bangunan yang berlokasi strategik di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur kini menjadi salah satu lokasi ikonik untuk menikmati hidangan yang bukan sahaja disediakan oleh sepasukan cef yang berpengalaman serta mendapat tunjuk ajar sendiri oleh Chef Wan terutamanya dalam menyediakan pelbagai menu keluarganya untuk sama-sama dinikmati oleh para pelanggan yang datang menjamu selera di De. Wan 1958 by Chef Wan ini.
Memahami personaliti Chef Wan yang sentiasa inginkan mutu hidangan terbaik untuk disajikan kepada para pelanggan, Chef Wan tidak lokek berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar kepada barisan cef yang mengemudi bahagian penyediaan hidangan di De. Wan 1958 by Chef Wan agar hidangan yang disajikan tidak banyak bezanya dengan air tangan hasil masakan Chef Wan sendiri. Tidak hairanlah, cef selebriti ini sentiasa meluangkan masa berada di restoran kesayangannya bagi memastikan segala operasi berjalan dengan lancar.
Ketika pertama kali penulis melangkah masuk ke De.Wan 1958 by Chef Wan, penulis teruja melihat konsep dekorasi yang diterapkan di sini. Mana tidaknya, walaupun ia menyajikan hidangan masakan Melayu, gaya dekorasi yang elegan dengan gabungan elemen moden yang mewah menjadikan ia sebuah restoran mewah yang membawa hidangan Malaysia ke satu peringkat yang lebih tinggi! Ya, tidak dapat dinafikan Chef Wan banyak menggunakan unsur dekorasi bagaikan berada di kediamannya sendiri dengan penggunaan rona mewah seperti merah, gabungan panel kayu yang diberi sentuhan mewah, susun atur beberapa porselin kesayangannya serta beberapa hasil seni lukisan yang digantungkan di dinding restoran. Ternyata, Chef Wan mempunyai taste yang tinggi dalam seni dekorasi yang diterapkan di restorannya.
Selain ruang makan yang terbuka, De. Wan 1958 by Chef Wan turut menyediakan beberapa bilik persendirian untuk membolehkan tetamu yang datang secara berkumpulan menikmati hidangan yang disediakan dalam suasana yang lebih eksklusif dan tanpa gangguan. Malah, sebuah meja makan Panjang yang boleh menempatkan sehingga 20 orang tetamu juga menjadi pilihan pelanggan yang datang secara berkeluarga menikmati hidangan dalam suasana yang lebih mesra.
Usai menyebut tentang dekorasi yang diterapkan, pastinya para pelanggan yang datang ke De.Wan 1958 by Chef Wan tidak sabar untuk menikmati pelbagai hidangan yang disediakan di sini. Untuk hidangan tengah hari atau malam, De. Wan 1958 by Chef Wan menyediakan tidak jenis nasi yang terdiri dari nasi putih,nasi kuning dan nasi ulam untuk dinikmati oleh para tetamu.
Antara hidangan masakan Melayu yang boleh dinikmati di sini termasuklah kerabu pucuk paku bersama kerang, ikan jenahak goreng bersama sos soya, pulut hitam bersama durian, ikan bakar, kambing kuzi, cucur udang, popiah istimewa air tangan Chef Wan, ayam kapitan, gulai lemak udang bersama nenas gaya Nyonya dan sebagainya. Malah, sepanjang Ramadan lalu, restoran milik Chef Wan ini menerima sambutan yang hangat di kalangan penggemar hidangan masakan Melayu untuk dinikmati ketika sajian berbuka puasa.
Ditambah pula dengan edisi Hari Raya dan rumah terbuka pula, Chef Wan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa menu baharu yang bersesuaian untuk jamuan hari raya bagi membolehkan makanan tradisi Melayu diberi sentuhan lebih eksklusif khususnya agar ia dapat menarik kunjungan pelancong asing untuk mencuba hidangan Melayu dan Malaysia yang kaya dengan hidangan yang menyelerakan.
Jadi, untuk menghargai menu warisan, kunjungan ke De.Wan 1958 by Chef Wan boleh dijadikan pilihan kerana ia bukan sahaja menyajikan hidangan yang enak dan menyelerakan, tetapi tidak mengambil ringan soal kualiti bahan mentah yang digunakan. Menyentuh soal harga pula, ia masih berada pada tahap mampu milik apatah lagi sesuai dengan kualiti hidangan serta dekorasi yang disediakan sambil menjamu selera. Berbaloi bukan!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masuk hari ke 16 berpuasa, pasti ramai yang mencari alternatif untuk berbuka puasa. Pilihan berbuka puasa di hotel juga menjadi sebahagian gaya hidup untuk meraikan sahabat serta rakan perniagaan. NONA senaraikan 10 hotel yang boleh dijadikan pilihan untuk berbuka puasa. Selamat mencuba!
1.KONSEP JEMPUT MAKAN DI SUNWAY RESORT HOTEL & SPA
Sunway Resort Hotel & Spa’s buat julung kalinya mengetengahkan konsep Jemput Makan untuk bufet Ramadan tahun ini di The Resort Café. Setiap malam, para tetamu bakal disajikan dengan lebih 400 hidangan tradisi yang disediakan oleh Chef Mohamad Yatim Supaat, seorang Sous Chef Tournant The Resort Café yang mempunyai pengalaman di lebih 20 hotel terkemuka.
Sepanjang Ramadan, pelanggan bakal disajikan dengan hidangan secara bufet di bahagian dalam serta luar kafe dengan konsep bazaar-style stations serta masakan secara terbuka. Ia bermula dari 6 Mei hingga 4 Jun 2019, bermula jam 6.30 petang hingga 10.30 malam.
The Resort Café yang terletak di tingkat lobi Sunway Resort Hotel & Spa menawarkan bufet Ramadan pada harga RM188 nett dan RM98 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun. Jika anda datang menikmati hidangan dari 6 hingga 9 Mei, pihak hotel memberikan 40 peratus diskaun untuk dewasa dan kanak-kanak.
Hubungi: +603 7495 2009
2.JALAN-JALAN BUFET RAMADAN SIME DARBY CONVENTION CENTRE
Sime Darby Convention Centre meraikan kedatangan Ramadan dengan menampilkan promosi Jalan-Jalan Ramadhan Buffet. Bersesuaian dengan tema kali ini, hidangan kali ini dihidangkan oleh Pastry Chef Mohd Nordin Bin Abdullah.
Hidangan bufet pula merangkumi menu istimewa seperti Udang Sambal Tumis Petai, Bubur Lambuk Berherba dan sebagainya. Terdapat juga 30 buah gerai yang menghidangkan pelbagai hidangan autentik seperti Sup Berempah, Laksam Kelantan, Masakan Kawah, Lidah Bakar dan sebagainya.
Tidak dilupakan minuman seperti teh tarik dan Nescafe tarik, sirap selasih, jambu asam boi, cincau, air jagung, air tebu, dan sebagainya. Lebih istimewa, harga yang ditawarkan amat berpatutan iaitu RM99++ setiap seorang manakala kanak-kanak dan warga emas boleh menikmati diskaun sebanyak 25 peratus. Bufet Ramadan ini boleh didapati dari 6 Mei hingga 2 Jun 2019.
Hubungi: 03-20893799
3.NOSTALGIA DESA DI THE MILL CAFÉ
Kedatangan Ramadan pastinya istimewa dan penuh dengan sajian menyelerakan. The Mill Café Grand Millenium Kuala Lumpur tidak terkecuali meraikan kedatangan Ramadan dengan mengetengahkan gaya hidangan kampung yang menggamit kenangan.
Bertemakan Nostalgia Desa dari 6 Mei hingga 4 Jun 2019, Executive Sous Chef Razali Idris dan barisan chef professional akan mengetengahkan hampir 230 hidangan tradisi setiap malam untuk dijamu oleh para pelanggan. Pada harga RM 158 nett setiap seorang, nikmati hidangan hebat seperti soto ayam, sotong masak hitam, ayam panggang sri gadeb, gulai daging salai, ayam masak madu dan sebagainya.
Selain itu, hidangan pemanis mulut seperti bubur pengat pisang, pulut hitam, bubur serawa durian dan tapai pulut menanti untuk dinikmati. Untuk pelanggan korporat, Grand Millenium Kuala Lumpur turut menyediakan hidangan bufet di Millenium Ballroom pada harga RM140 nett setiap seorang.
Hubungi: 03-2117 4888
4.SELERA KAMPUNGKU DI TAMU HOTEL & SUITES KUALA LUMPUR
Menjadi kebiasaan tatkala ketibaan Ramadan, pelbagai juadah kampung pastinya menjadi pilihan. Hotel Tamu & Suites yang terletak di Kampung Baru Kuala Lumpur tidak terkecuali meraikan kedatangan Ramadan dengan menyajikan hidangan berasaskan selera kampung untuk para pelanggan.
Hidangan secara bufet dari aras 27 hotel dengan pemandangan indah Kuala Lumpur pastinya menjanjikan suasana buka puasa yang dikenang dalam ingatan. Sebanyak 100 hidangan istimewa bakal disediakan setiap malam dan menjanjikan hidangan tradisi seperti rendang, aneka sambal, asam pedas, masak lemak gulai itik dan sebagainya.
Buka puasa pada harga RM109 nett untuk para pelanggan dan separuh harga untuk kanak-kanak dan warga emas. Suasana berbuka puasa pastinya berbeza dengan suasana di awan biru dan pemandangan Kuala Lumpur nan mempersona!
Hubungi: 603 2603 1999
5.IFTAR WARISAN KAMPUNG CARA MOVENPICK KLIA
Terletak di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA, pelanggan yang mempunyai urusan di sekitar kawasan ini usah bimbang untuk mencari lokasi untuk berbuka puasa kerana Movenpick KLIA menjanjikan hidangan yang istimewa untuk berbuka puasa.
Kali ini, Movenpick KLIA mengetengahkan konsep hidangan warisan kampung yang menggamit selera setiap pelanggan yang datang ke sini. Aneka hidangan berasaskan sambal seperti sambal tempoyak, sambal belacan, aneka ulam-ulaman menjadi pilihan untuk pembuka selera. Disajikan pula dengan aneka lauk pauk kampung dengan keenakan bagaikan disediakan di dapur sendiri.
Hidangan istimewa dari harga RM119 nett untuk setiap seorang dan separuh harga untuk kanak-kanak menjadi tarikan utama untuk berkunjung ke Movenpick KLIA dan menikmati hidangan istimewa yang disajikan!
Hubungi: 03-86618661 (sambungan 8728).
6.JOM MAKAN DI HILTON PETALING JAYA
Ramadan menjanjikan pelbagai keistimewaan yang tiada tandingannya. Tahun ini, Hilton Petaling Jaya menyajikan keindahan Ramadan bertemakan Jom Makan di mana ia mengetengahkan budaya masyarakat Malaysia yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dari makanan. Hilton Petaling Jaya menampilkan lebih 350 menu sajian tradisional di retoran ikonik Paya Serai untuk para tetamu.
Malah, hampir 35 tahun menjadi pilihan untuk sajian istimewa yang enak di Paya Serai, pastinya ia bakal mengembalikan nostalgia. Hilton Petaling Jaya juga bekerjasama dengan FAMA untuk mempromosikan buah-buahan tempatan di dalam diet seharian terutamanya sepanjang bulan Ramadan. Nikmati buffet Ramadan dari 5 Jun hingga 7 Mei pada harga RM169 nett untuk dewasa dan RM89 nett untuk kanak-kanak. Dari 8 Mei hingga 1 Jun pula, buffet Ramadan berharga RM189 nett dan 99 nett untuk kanak-kanak. Manakala dari 2 hingga 4 Jun, buffet Ramadan pada harga RM169 nett untuk dewasa dan RM99 nett untuk kanak-kanak.
Nikmati hidangan istimewa termasuklah Bergedil Ayam Dan Kentang, Ikan Goreng Mamak, Daun Selon, Ulam Raja, Petai, Jering, Kerdas, Pucuk Pegaga, Jantung Pisang, Pucuk Gajus, Terung Telunjuk & Timun sebagainya.
Hubungi: 603 7955 9122
7.ICIP ICIP KAMPUNGKU DI EASTIN PETALING JAYA
Tidak lengkap menu Ramadan tanpa hidangan desa. Itulah nostalgia yang cuba dikembalikan oleh Eastin Hotel Petaling Jaya sempena kedatangan Ramadan kali ini. Bufet Ramadan Icip Icip Kampungku telah dipilih yang menjanjikan pelbagai hidangan tradisional untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
Sememangnya hidangan tradisi Melayu tidak dapat dipisahkan apabila tibanya Ramadan. Siapa dapat menahan keenakan hidangan istimewa seperti aneka kari, gulai, masak lemak, ayam panggang, kambing golek dan sebagainya yang sentiasa menajdi buruan di meja buffet. Nikmati hidangan secara buffet pada harga RM115 nett untuk dewasa dan RM80 nett untuk kanak-kanak.
Hubungi: +60 3-7665 1111
8.SAJIAN IBUNDA BERJAYA TIMES SQUARE HOTEL
Ramadan yang bakal menjelang tiba disambut dengan penuh kesyukuran. Bulan ini masanya untuk keluarga dan rakan-rakan berkumpul bersama untuk menjamu selera. Bagi meraikan bulan yang penuh keberkatan ini, Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur menyajikan hidangan homecook, di mana mengingatkan resipi ibunda yang tiada tandingan untuk tetamu berbuka puasa di hotel ini.
Bagi menambah keceriaan di kala waktu berbuka puasa nanti, tetamu dihiburkan dengan persembahan Ghazal. Pelbagai menu terpilih bakal dihidangkan pada tetamu antaranya Nasi Kerabu, Paru-Paru Berlada, Pedal Hati Ayam Masak Cili, Tempeh, Acar Buah, Acar Rampai dan juga seleksi bufet antarabangsa.
Anda juga boleh memilih seleksi makanan dari gerai yang menggamit rasa seperti Kari Kepala Ikan Citarasa Bonda, Lempeng Pisang Kelapa Bidara, Pisang Goreng Keju Makmur, Aneka Sup Serantau, Rendang Daging Khatulistiwa, Popiah Basah Mahsyur, Kambing Golek Penawar Rindu, Nasi Lemak Lobster Tersohor, Otak-Otak Dibuai Rasa dan Sous Vide Burger Nusantara.
Tidak lengkap hidangan tanpa manisan. Antara seleksi buah-buahan segar, pilihan kuih-muih Melayu dan kek antaranya Mango Charlotte, Pandan Chiffon Cheese Cake, Chocolate Brownies dan lain-lain.
Bufet Ramadan bermula dari 8 Mei hingga 6 Jun dari jam 6.30 petang hingga 10.30 malam di tingkat 14. Pada minggu pertama 8-12 Mei dan minggu terakhir 29Mei-2Jun, harga untuk dewasa ialah RM48 nett. Sepanjang 13-28 Mei, harga untuk dewasa ialah RM128 manakala untuk kanak-kanak RM 58. Rebut harga early bird sekarang hanya RM98 nett untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak.
Hubungi:
03-2117 8000 (ext. 8133)
9.AYAM GOLEK ISTANA DI SOFITEL KUALA LUMPUR DAMANSARA
KETIKA menjejakkan kaki ke Restoran Kwee Zeen di Sofitel Kuala Lumpur Damansara, kesabaran seharian berpuasa sedikit tergugat apabila mata tertumpu pada deretan juadah berbuka yang disediakan dengan menarik sekali.
Melangkah sahaja masuk, Ayam Golek Istana yang tersergam indah seperti memanggil-manggil untuk disantap menambahkan lagi rasa tidak senang duduk menanti waktu berbuka puasa.
Hidangan itu istimewa kerana ia adalah resepi turun temurun oleh cef selebriti terkenal, Datuk Ismail Ahmad untuk Sofitel Kuala Lumpur Damansara. Cef Ismail turut menampilkan pelbagai hidangan Melayu klasik yang mengimbau memori seperti Ayam Masak Kicap Cuka, Gulai Semilang bersama Daging, Masak Lemak Nangka bersama Daging dan Udang Lemak Nenas.
Selain itu, lauk-pauk lain yang turut dihidangkan termasuk Ayam Percik Kelantan, Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Asam Pedas Ikan Pari dan Telur Itik Masak Lemak Cili Api.
Cef selebriti itu turut menampilkan pelbagai jenis kerabu sebagai pembuka selera seperti Lawar Jantung, Rendang Pucuk Ubi, Kerabu Mangga Muda, Kerabu Taugeh dan Kerang serta Kerabu Daging Bakar.
Secara keseluruhannya, Sofitel Kuala Lumpur Damansara menyediakan lebih 180 hidangan termasuk makanan tradisi India, Cina, Jepun, Barat termasuk makanan laut segar.
Sebagai permulaan ketika berbuka puasa apa kata mulakan dengan pelbagai citarasa kuih-muih tradisional Melayu seperti Pulut Durian, Seri Muka, Ketayap atau pun boleh ke Live Station untuk mencuba Roti Bomb, Roti Canai, Roti John, Murtabak yang dimasak segar oleh cef… memang terangkat!
Bagi yang inginkan kelainan terdapat juga pilihan makanan di stesen untuk menu kegemaran masyarakat Cina dan India yang menunya adalah citarasa khas cef eksekutifnya sendiri.
03-2720 6688
10.BUKA PUASA HIDANGAN AUTENTIK MELAYU DI SUNWAY PUTRA HOTEL, KUALA LUMPUR
Masih tercari-cari lokasi berbuka puasa di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur? Jom nikmati hidangan istimewa yang disediakan oleh Eksekutif Chef Rossham Rosli dan team nya di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur. Nikmati hidangan enak dengan tema Dari Dapur Ummi dari 6 hingga 4 Jun 2019 di Coffee House, Tingkat 9, Hotel Sunway Putra. Antara hidangan yang disediakan termasuklah Kerabu Isi Kelapa Daun Selasih, Kerabu Inti Kelapa Pedas Kacang Botol and Pucuk Paku, Kerabu Kerisik Taugeh and Kacang Panjang, Kerabu Assam Limau Betik Muda & Kedondong and Kerabu Ayam Pedas. Selain itu, hidangan seperti ‘Ulam’, Rojak, Pasembor, Gado-gado turut tersedia. Pelbagai hidangan dalam bentuk stall dengan hidangan enak berasaskan Gulung-gulung rebus- rebus,bakar-bakar, celup-celup dan kukus-kukus.Pelbagai lauk pauk pastinya menarik selera anda termasuklah
ayam percik Seri Menanti, daging dendeng cili, kambing dalca mangga muda, ikan kembong asam rebus, ayam madu berempah, daging rendang Negeri Sembilan, udang masak lemak dengan belimbing buluh & bunga kantan, ikan tenggiri acar campur berempah, ayam masak kicap berempah, udang kalio dengan pucuk paku dan sebagainya.
Hubungi: 03-4040 9888.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebut sahaja nama Sincerely by Us pasti semua pencinta fesyen berhijab kenal akan jenama tudung terkenal ni. Menampilkan rekaan tudung yang mampu milik dengan pelbagai rekaan menarik ia menjadi pilihan ramai wanita sejak kemunculan dengan butik fizikal pada tahun 2013.
Selain menjual tudung Sincerely by Us juga merupakan antara butik terawal yang mengadakan konsep ‘vendor’ yang menampilkan banyak jenama fesyen di bawah satu bumbung.
Namun begitu sejak tahun 2016 butik jenama ini telah menutup sistem vendor dan mula melangkah ke hadapan dengan perniagaan dalam cabang berbeza iaitu dunia makanan. Butik yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam diubah menjadi sebuah restoran yang dikenali dengan nama Flavours by SBU.
Biarpun telah beralih kepada bisnes makanan namun jenama fesyen Sincerely by Us masih beroperasi aktif secara atas talian dan juga terdapat hamparan pilihan item fesyen yang diletakkan di sudut khas restoran bagi pelanggan yang mahu membeli secara konvensional.
Tingkat Bawah Menampilkan Gabungan Ruang Makan Dan Rak-Rak Item FesyenTingkat 1 Restoran Menampilkan Ruang Untuk ‘Live Band’ Mengadakan Persembahan Setiap Malam Jumaat & Sabtu
“Tidak dapat saya nafikan dunia fesyen kini semakin perlahan serta terlalu banyak persaingan. Kini tiba masanya saya berubah dengan pantas agar tidak jatuh. Namun ini tidak bermakna jenama fesyen saya terkubur, Sincerely by Us masih lagi ada dan kami masih mengeluarkan koleksi baru secara berkala untuk peminat jenama ini.
Cuma bagi saya peluang perniagaan perlu terus diteroka dan saya dapat rasakan bahawa dunia makanan adalah satu industri yang mana permintaannya akan datang secara berterusan,” ujarnya apabila ditanya tentang peralihan dari dunia fesyen kepada dunia makanan.
Noor Inora Menjawab Soalan Daripada Wartawan Yang Hadir Ketika Majlis Bersama Media
September tahun lalu menjadi titik tolak kepada Noor Inora yang bertekad untuk serius dalam membuka sebuah restoran. Dalam masa yang singkat lebih kurang sebulan, dia dan juga pasukannya hadir dengan konsep dan juga resipi yang sesuai. Mahu menjadikan restoran ini mesra pelanggan, setiap resipi yang dihasilkan cukup dekat di hati dan konsep rekaan dalaman restoran yang cukup selesa membuatkan mereka yang hadir seperti berasa di rumah sendiri.
Kepingan Daging Kambing Yang Dipanggang Lembut
Antara resipi yang ditawarkan di restorn ini seperti Spaghetti Lamb Explosion, Bolognese With Meatballs, Chargrilled Chicken Pasta, Salted Egg Chicken Pasta, Masak Lemak Cili Api Daging Salai dan banyak lagi. Apa yang boleh penulis katakan, masakan yang disediakan cukup menepati selera dan lazat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon jelita Korea Selatan ini sentiasa memukau dengan kecantikannya yang awet muda. Tidak sekadar bakat lakonan, pesona Song Hye Kyo juga terletak pada kulitnya...