Hidup Tanpa Ovari, Che Puan Datin Mimi Wahedah Nafi Hilang Sifat Kewanitaan

Siapa yang tidak kenal dengan Pemenang Tempat Ketiga, Pencarian Dewi Remaja 1987, Che’ Puan Datin Mimi Wahedah. Sejak remaja lagi sudah menghiasi dada majalah memperagakan fesyen terkini dan hebat di pentas fesyen dengan gaya yang memukau. Sehingga kini pesona wanita ini masih terserlah dan menarik setiap mata yang memandang.

Che’ Puan Datin Mimi Wahedah telah mengikat ikatan perkahwinan dengan YM Tunku Dato’ Adj. Prof Sr Dr Fauzi Tunku Dato’ Abdul Malek Al Haj, kerabat diraja Kedah. Pasangan ini telah dikurniakan seorang anak gadis, Tunku Affie Rania Tunku Fauzi yang turut bertanding di Pertandingan akhir Pencarian Dewi Remaja 2018/19.

Menurut Che’ Puan Datin Mimi Wahedah, beliau tidak merancang untuk memiliki seorang anak sahaja tetapi telah diduga dengan fibroid. Berkongsi tentang perkembangan kesihatannya, Che’ Puan Datin Mimi Wahedah baharu sahaja menjalani pembedahan membuang uterus dan ovarinya akibat fibroid.

“Setelah melalui beberapa kali rawatan membuang fibroid, akhirnya saya membuat keputusan untuk membuang uterus dan ovari ini. Ramai juga wanita yang berubah selepas membuang organ wanita mereka.

Namun bagi saya itu semua adalah mind set masing-masing. Apa yang saya lakukan adalah menjadi positif dan gembira selalu. Selepas pembedahan saya banyak mengamalkan makanan yang sihat dan bersenam dengan berjalan di dalam kolam renang.

Berjalan di dalam kolam renang ini membantu melancarkan peredaran darah. Saya tidak boleh melakukan senaman yang berat-berat lantaran pembedahan tersebut, jadi saya memilih cara untuk mengaktifkan diri,” tutur wanita yang berusia 50 tahun ini.

Tambah Naib Presiden II PENIAGAWATI ini, “Selain sibuk dengan tugas sebagai isteri dan ibu, saya telah melancarkan Ready-to-Wear Turban. Perjalanan perniagaan ini banyak melibatkan bekas pesakit kanser. Bagi saya apa yang saya lakukan ini adalah untuk kepuasan diri sendiri,” bicara Che’ Puan Datin Mimi Wahedah.

Ketika diajukan tentang pengalamannya menyertai Pertandingan Dewi Remaja dahulu, jawabnya, “Menyertai pertandingan ini boleh membantu mendisiplinkan diri dan menempuh pelbagai cabaran yang berbeza. Sewaktu saya menyertai pertandingan Dewi Remaja dahulu, corak pemarkahannya bukan seperti sekarang.

Bagi saya pertandingan Dewi Remaja kini lebih mencabar apatah lagi bersiaran di televisyen sejak pencarian awal lagi. Namun, apabila anak saya, Rania sudah berada di peringkat akhir, saya sudah cukup berbangga dengan pencapaiannya.

Apa yang boleh saya katakan kepada Rania adalah setiap pertandingan ada kalah dan menang. Apa yang penting jangan memaksa diri and just be yourself,” ujarnya mengakhiri perbualan.

IKLAN
Share