Hukum Demonstrasi Aman Untuk Palestin, Mufti Wilayah Ingatkan Wanita Perkara Penting Ini!

Isu Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel benar-benar menggemparkan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Keresahan umat Islam nyata sampai ke kemuncaknya apabila para pemimpin negara OIC dipanggil bersidang secara tergempar di Istanbul, Turki semalam, bagi mencari penyelesaian ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak juga tidak terkecuali.

Dalam Twitter beliau beberapa jam tadi, Najib mewakili rakyat Malaysia telah mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya keputusan unilateral oleh Amerika Syarikat mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Namun yang paling menarik perhatian Nona adalah kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri tentang hukum demonstrasi aman untuk Palestin ini.

Jika anda masih ingat pada 8 Disember lalu, suasana di depan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak penuh sesak dibanjiri ribuan rakyat Malaysia. Perhimpunan aman yang disertai Ketua Pemuda UMNO iaitu Khairy Jamaluddin itu dirancang khas bagi menyampaikan satu memorandum bantahan terhadap tindakan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Persoalannya, boleh ke kita (khasnya wanita) berhimpun, berarak dan beramai-ramai menyertai demonstrasi sebegini? Ini jawapan yang anda perlu tahu!

==============================

Baru-baru ini, berita Kota Baitulmaqdis yang diisytiharkan sebagai ibu negara Israel pada tanggal 7 Disember 2017 oleh Presiden Amerika Syarikat telah menjadi tragedi yang amat buruk kepada umat Islam di seluruh dunia.

Rentetan daripada peristiwa ini, maka kebanyakan umat Islam sama ada di negara Islam dan bukan Islam telah melakukan demonstrasi bagi membantah keputusan ini, termasuklah di negara kita sendiri.

Berkaitan isu ini, kami melihat demonstrasi aman adalah dibenarkan selagimana ia tertakluk kepada beberapa dhawabit (garis panduan). Jika demonstrasi itu diadakan tanpa mematuhi dhawabit ini, maka hukumnya berubah daripada dibenarkan kepada tidak dibenarkan.

Antara dhawabit yang perlu dipenuhi dalam mengadakan demonstrasi aman adalah:

  • Tidak membahayakan nyawa dan keselamatan semua pihak.
  • Tidak merosakkan harta benda awam serta mengotorkan tempat perhimpunan.
  • Tidak mengganggu masyarakat awam yang tidak menyertai perhimpunan.
  • Tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan imej Islam.
  • Mematuhi arahan pihak berkuasa.
  • Mengelakkan percampuran yang tidak terkawal antara lelaki dan wanita.
  • Bersurai dalam keadaan yang aman.

Demonstrasi adalah wasilah daripada cara mentadbir dan menzahirkan pandangan. Ia juga termasuk dalam cara mengubah dan memberi tekanan kepada pihak tertentu.

Jika sekiranya ini benar, maka perubahan adalah lebih baik dan ketika itu demostrasi adalah halal (dibenarkan). Seperkara lagi, hukum demonstrasi adalah hukum berkaitan cara atau wasilah dan setiap cara atau wasilah itu mestilah mempunyai hukum, matlamat dan kesudahannya.

Begitu juga, cara seperti ini termasuk di dalam masalih al-Mursalah yang tidak terbentuk pensyariatannya berdasarkan nas yang khas. Ini kerana, umum nas dan maqasid al-Syariah menunjukkan ke arah itu.

Ini adalah pendapat yang diutarakan oleh Syeikh Dr. al-Syarif Hatim bin Arif al-Auni berkaitan hukum demonstrasi secara aman.

Antara contoh yang boleh diambil berkaitan demonstrasi ini adalah, peristiwa di mana sahabat Nabi SAW keluar melakukan demonstrasi (bantahan) pada hari peperangan al-Jamal bagi menuntut keadilan terhadap darah Saidina Uthman bin Affan RA. Antara yang mengepalai demonstrasi tersebut adalah al-Zubair bin al-Awwam, Thalhah bin Ubaidillah dan juga Aisyah RA.

Untuk itu, seperti yang kami nyatakan bahawa demonstrasi adalah salah satu wasilah, maka hukumnya adalah berdasarkan matlamat atau maksud yang digunakan kerananya.

Jika membawa kepada yang ma’ruf (baik) atau nahi munkar (mencegah kemungkaran) maka ia termasuk pada umum dalil yang memerintahkan akannya (iaitu perintah agar menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran).

Dalam isu Palestin ini khususnya di Baitulmaqdis, adalah jelas pembelaan terhadapnya telah menjadi tanggungjawab bagi setiap orang Islam. Tambahan pula, isu kezaliman dan penindasan ini termasuk di dalam hal menolong atau membantu saudara-saudara seagama yang dizalimi.

Selain itu juga, dengan demonstrasi akan membuka mata pihak musuh betapa seriusnya umat Islam dalam isu ini dan bantahan daripada pihak antarabangsa dengan berskala besar juga dapat memberi impak yang amat besar kepada Israel dan musuh serta menjadi tekanan yang amat berkesan kepada mereka.

==============================

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri juga menyatakan bahawa sebagai seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita perlu mengambil berat dan cakna akan isu ini kerana ia melibatkan salah satu daripada kota suci umat Islam.

“Kami menyeru kepada umat Islam agar sentiasa bermunajat dan berdoa serta solat untuk menghilangkan kabus luka hati umat Islam berkaitan apa yang berlaku di Baitulmaqdis. Semoga Allah sinarkan cahaya kebebasan untuk Baitulmaqdis dan juga masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis. Amin Ya Rabb al-Alamin,” ujar beliau.

Amaran, elakkan unsur-unsur begini sewaktu berhimpun!

Mufti Wilayah Persekutuan ini ada menyatakan bahawa antara dhawabit yang harus dipatuhi adalah mengelakkan percampuran yang tidak terkawal antara lelaki dan wanita. Ini bermaksud, golongan wanita yang berhasrat untuk menyertai perhimpunan mesti berada dalam kelompok wanita sahaja.

Demi keselamatan wanita juga, mengasingkan peserta lelaki dan wanita seperti ini dapat mengelakkan kejadian tidak diingini seperti meraba, mencabul atau sebagainya. Kes jenayah seperti samun, mencuri barang berharga, keganasan dan sebagainya juga dapat dibendung, selain menghalang fitnah atau maksiat jika berlaku percampuran bebas sewaktu sesi demonstrasi. Jelas, bukan? Norzalina Mohd Alias

IKLAN
Share