Raveena Tandon, antara bintang Bollywood yang cukup popular suatu ketika dahulu. Membuat penampilan dalam filem pertamanya Patthar Ke Phool (1991), Raveena kemudiannya membintangi beberapa buah filem termasuk Laadla (1994), Dilwale (1994), Mohra (1994), Khiladiyon Ka Khiladi (1996), Ziddi (1997), Bade Miyan Chote Miyan (1998) dan banyak lagi, menjadikan Raveena antara pelakon berbakat besar Bollywood pernah ada.
Selain dari bakat berlakon dan menari, anak kepada pengarah legenda Ravi Tandon ini juga terkenal dengan kejelitaanya. Kini, memasuki umur 48 tahun, Raveena kekal cantik walaupun sudah memiliki keluarga yang besar, menjadi ibu kepada 4 orang cahaya mata.
Walaupun Raveena jarang sekali dilihat menghiasi layar perak mahupun membintangi filem-filem terkini, Raveena kini dilihat terpaksa memperlahankan karier seninya berikutan misi peribadi yang lebih penting buat dirinya. Selain sibuk menguruskan keluarga, Raveena juga sebenarnya sangat aktif dalam bidang filantropi, dengan peranan utamanya memperkasakan wanita dan kanak-kanak.
Raveena menjadi perintis kepada isu ini selepas dia mengambil dua orang anak angkat dan menjadi ibu tunggal pada usia 21 tahun. Atas sebab itu, Raveen baru-baru ini secara eksklusifnya dipilih oleh kementerian untuk menjadi perwakilan di W20 yang berprestij, mewakili para wanita dalam persidangan Pemerkasaan Wanita di G20 India’s Presidency.
Ads
Malah Raveena juga telah lama melibatkan diri dalam kerja-kerja khidmat masyarakat dengan pelbagai organisasi seperti UNICEF, Cry, White Ribbon Alliance, Persatuan Spina Bifida dan Smile Foundation. Malah Raveena sendiri pernah membuka dan menempatkan 30 gadis di rumahnya sendiri dan membina rumah anak yatim di Vasai untuk mereka selepas mereka dibuang oleh tuan rumah mereka.
Semoga usaha keras Raveena memperkasakan wanita akan terus mendapat pengiktirafan dan dihargai sebaiknya.
Ads
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Puasa pesakit kanser sering menjadi persoalan setiap kali Ramadan tiba. Ramadan hadir dengan rasa yang sukar digambarkan. Bulan yang mengajak kita menahan lapar dan dahaga, sambil membersihkan jiwa. Namun bagi keluarga yang menjaga insan tersayang menghidap kanser di rumah, Ramadan juga membawa satu persoalan yang berat, patutkah dia terus berpuasa?
Secara asasnya, Islam mewajibkan puasa kepada Muslim yang mukallaf. Tetapi kelonggaran diberi kepada mereka yang sakit, sedang menerima rawatan atau dalam proses pemulihan. Walaupun begitu, ramai pesakit kanser tetap menyuarakan hasrat untuk berpuasa. Bukan kerana degil, tetapi kerana rindu mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan rohani itu.
Menurut Pakar Perunding Onkologi Klinikal di OncoCare Malaysia, Dr Matin Mellor Abdullah, keputusan ini perlu dilihat secara seimbang, antara tuntutan kesihatan dan ketenangan jiwa.
“Ramai pesakit yang saya temui menyatakan hasrat untuk berpuasa. Saya boleh memberi nasihat dari sudut perubatan, tetapi kerana tiada garis panduan rasmi mengenainya, saya sarankan mereka berbincang juga dengan ustaz untuk mendapat kepastian dan ketenangan hati,” katanya.
Bagi penjaga di rumah, memahami keadaan sebenar pesakit sangat penting sebelum membuat keputusan.
Setiap pesakit berada dalam fasa rawatan yang tidak sama. Pesakit yang sudah tamat rawatan atau berada dalam fasa penyelenggaraan lazimnya tidak mempunyai halangan besar untuk berpuasa. Namun mereka yang masih menjalani pemeriksaan intensif mungkin berdepan kesukaran kerana perlu melalui pelbagai ujian.
Bagi pesakit yang sedang menerima terapi aktif, penyesuaian jadual ubat mungkin diperlukan.
Dr Mellor turut menjelaskan bahawa pesakit yang menerima rawatan kuratif, bertujuan untuk sembuh, boleh meninggalkan puasa dan memberi fokus penuh kepada rawatan demi memaksimumkan peluang pemulihan. Pesakit rawatan paliatif pula ada ruang untuk menangguhkan rawatan tertentu selepas Ramadan.
Dalam situasi puasa pesakit kanser, semua ini perlu dinilai mengikut kes. Tiada satu keputusan yang sesuai untuk semua kerana tahap kesihatan dan kekuatan tubuh setiap individu adalah berbeza.
Kanser dirawat dengan pelbagai kaedah seperti kemoterapi, radioterapi dan terapi bersasaran. Setiap rawatan memberi kesan berbeza kepada tubuh.
“Kemoterapi kekal sebagai asas utama dalam rawatan kanser. Memang biasa pesakit berasa tidak sihat beberapa hari, malah sehingga seminggu selepas rawatan,” jelas Dr Mellor.
Antara kesan sampingan termasuk hilang selera makan, lemah badan, ulser mulut, cirit-birit dan gastritis. Ada kalanya pesakit memerlukan ubat tambahan untuk mengawal loya dan cirit-birit.
Dalam keadaan tubuh sedang berjuang untuk pulih, menahan makan dan minum mungkin menjadi beban tambahan. Dalam konteks puasa pesakit kanser, pertimbangan ini sangat penting agar ibadah tidak memudaratkan kesihatan.
Jika pesakit benar-benar ingin berpuasa, perbincangan dengan doktor adalah langkah pertama.
Ubat oral seperti kemoterapi dan ubat kawalan loya lazimnya boleh disesuaikan ke waktu sahur dan berbuka. Terapi hormon yang diambil sekali sehari juga boleh diubah masa pengambilannya.
Radioterapi dan rawatan perubatan nuklear pula dijalankan di hospital dan boleh dijadualkan mengikut kesesuaian serta nasihat doktor.
Pesakit yang sudah melalui beberapa kitaran rawatan biasanya lebih memahami reaksi tubuh sendiri, sekali gus membantu mereka merancang dengan lebih berhati-hati berkaitan puasa pesakit kanser.
“Ramai pesakit berusaha berpuasa demi ibadah, tetapi kecewa apabila tidak mampu meneruskannya,” kata Dr Mellor.
Beliau menasihatkan agar pesakit yang masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan atau mengalami kekurangan nutrien menangguhkan dahulu niat puasa. Tubuh yang lemah memerlukan tenaga untuk sembuh dan dalam isu puasa pesakit kanser, keutamaan tetap harus diberikan kepada proses rawatan dan pemulihan.
Bagi yang memilih untuk berpuasa, pastikan tubuh cukup terhidrat dan ambil makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran serta protein.
Akhirnya, keputusan untuk berpuasa adalah pilihan peribadi.
=========================
Jus pati kurma untuk tambah tenaga dan sokong kesihatan, yang Nona beli ni paling recommended diamalkan dalam bulan Ramadan. Klik di bawah:
Dalam mempertimbangkan puasa pesakit kanser, penting untuk mengetahui batas kemampuan diri kerana tiada ubat untuk keletihan. Kadang kala badan hanya perlukan rehat dan masa untuk pulih. Renungkan keputusan anda, berbincang dengan doktor, dengar isyarat tubuh dan ambil tindakan sewajarnya.
Buat para penjaga, ingatlah, menjaga juga satu ibadah. Kadang-kadang, membenarkan orang tersayang berehat daripada berpuasa adalah bentuk kasih sayang yang paling tulus. Kerana dalam Islam, nyawa dan kesihatan tidak pernah menjadi perkara kedua.
Di sebalik kejayaan seseorang, pasti ada cerita dan momen yang menjadikan mereka berjaya seperti hari ini. Kesusahan yang pernah dilalui menjadi pembakar semangat untuk lebih berjaya di dalam kehidupan lantas menebarkan semangat yang positif kepada orang di sekeliling.
Mengenali Pengarah Urusan Mamadil Sdn Bhd, Dila Mubarak, dia seorang wanita yang lemah lembut orangnya namun penuh dengan visi dan misi untuk memajukan lagi perniagaan serta diri.
Bagaimana Dila boleh menceburi dunia perniagaan dan berjaya seperti hari ini?
Saya terjebak di dalam bidang perniagaan bertitik tolak dari zaman kejatuhan suami saya dalam bidang pekerjaan. Ketika itu saya hanyalah seorang suri rumah tangga sepenuh masa dan tidak pernah bekerja selepas melangsungkan perkahwinan. Saya berkahwin pada usia yang sangat muda ketika berusia 20 tahun, jadi saya memang tidak memiliki apa-apa pengalaman dalam bidang kerja.
Ketika suami hilang pekerjaan sewaktu saya berumur 27 tahun, hidup kami sekeluarga memang sangat susah. Saya masih ingat lagi ketika itu, kereta kami selalu sahaja hendak ditarik oleh pihak bank dan rumah pula hampir dilelong. Namun suami tidak bersikap sambil lewa, dia cuba sedaya upaya mencari kerja sampingan yang sekurang-kurangnya boleh menampung perbelanjaan seharian yang asas.
Melihat kesungguhan dan keperitan suami, ketika itulah saya terfikir yang saya tidak boleh sekadar duduk diam di rumah. Saya harus bangkit mencari rezeki juga. Oleh kerana saya seorang yang menyukai produk kecantikan maka bidang ini menjadi pilihan untuk saya mula bertapak dan belajar berniaga.
Setahun pertama ketika mula-mula berniaga, saya menjual produk-produk barangan kecantikan dari jenama lain dan kemudian selepas setahun saya terfikir mengapa tidak saya juga menghasilkan produk kecantikan saya sendiri? Jadi bertitik tolak dari situlah jenama Mamadil menjadi ‘anak’ yang saya tatang dengan sepenuh hati.
Apakah cabaran bergelar seorang usahawan?
Bagi saya cabaran dan kesusahan tidaklah begitu dirasai kerana saya melakukan perkara yang saya minat. Jadi bila kita kena buat perkara yang kita tidak minat sebenarnya akan menjadikannya lebih susah. Walau bagaimanapun ini semua terpulang kepada prinsip individu masing-masing. Ada orang berniaga hanya untuk keuntungan semata-mata. Jadi bagi saya, kedua-dua perkara ini dicampur sekali yang membuatkan penat lelah memajukan perniagaan berbaloi.
Kalau bercerita serba sedikit soal cabaran setelah berniaga, bagi saya ia terletak kepada bagaimana untuk meyakinkan orang untuk mencuba produk yang dihasilkan. Maklumlah banyak isu-isu negatif mengenai produk kecantikan tempatan yang menggunakan bahan larangan menjadikan pelanggan ragu-ragu dan takut untuk mencuba.
Namun bagi saya ini hanyalah cabaran kecil. Untuk Mamadil, kami memang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan saya memastikan setiap produk yang dihasilkan selamat serta memberikan kesan positif.
Boleh kongsikan sedikit tip kejayaan yang diamalkan?
Wanita sebelum berjaya, biasanya perlu melalui proses yang jatuh tak terbangun, menangis sampai tertidur dan sampai satu tahap dia akan bangkit dengan semangat yang luar biasa. Rahsia saya dari seorang suri rumah selama 11 tahun sehingga kini bergelar usahawan adalah selalu berbuat baik kepada orang di sekeliling kita.
Sebagai contoh, keluarga, jiran dan yang utama serta paling penting, suami. Jika suami reda dengan apa yang kita lakukan maka Allah pun akan reda dengan apa yang kita lakukan. Perkara ini ramai yang terlepas pandang. Kebanyakan wanita apabila pendapatan lebih dari suami mulalah mereka mendabik dada dan tiada rasa hormat kepada suami.
Perlu kita ingat bahawa Allah Maha Memberi namun Dia juga boleh menarik bila-bila sahaja yang Dia kehendaki. Diringkaskan cerita, rahsia untuk berjaya sudah ada dalam ajaran agama kita sendiri.
Contohnya, solat awal awal waktu, bersedekah kepada fakir miskin, mendoakan kejayaan orang lain dan malaikat pun akan mendoakan perkara yang sama untuk kita. Rahsianya mudah namun ramai yang tidak tahu. Bagi saya terpulang kepada diri sendiri jalan mana yang hendak kita pilih.
Untuk saya, apa yang saya amalkan saya kongsi untuk kebaikan bersama. Dalam apa perkara yang kita lakukan dan sehebat mana kita, jangan sesekali lupa untuk mendirikan solat dan berterima kasih kepada-Nya, kuasa solat amat besar dan ia adalah terapi kepada kita sebagai umat Islam khususnya. Fiezreen Ahmad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat,” ujar penyandang Nona Superwoman Award 2020, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berusia 94 tahun itu.
Sepagi di kediaman rasmi Tun Hasmah di Jalan Kuda Emas, Seri Kembangan, bagai melestarikan mimpi kami. Nyaman suasana hijau di perkarangan, lengkap tugu Pak Belang menghiasi landskap dan seni bina banglo retro itu. Tun Hasmah turun dari lif dipimpin seorang pembantu, tak lekang senyumannya, ramah dan mesra berjenaka seperti selalu.
Tidak sah berbual dengan Tun Hasmah jika tidak mengimbau nostalgia lama. Rumah klasik ini sarat dengan memorabilia serta gantungan foto-foto bersejarah sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan nombor satu Malaysia sebanyak dua kali.
Ada juga ruang menempatkan piano serta biola yang digeseknya setiap minggu. Ketika pandangan merayau meninjau koleksi-koleksi tersebut, perhatian penulis tertancap di sebuah ruang menonton TV.
“Inilah tempat rehat kegemaran saya. Hari-hari tengok TV dan ikut perkembangan kes COVID-19 di sini. Saya mesti akan tengok berita dan tunggu Dr Noor Hisham ke udara,” cerita Tun Hasmah sambil menunjukkan sofa tempat beliau selalu berbaring.
Sofa empuk dan seekor kucing hitam gebu bernama Blackie menjadi teman Tun Hasmah ketika suaminya keluar bertugas.
Tidak jemu dengan rutin yang sama? Soal penulis sambil mengusap leher Blackie yang manja. Tun Hasmah menggeleng. “Dah biasa,” jawab beliau perlahan sambil melemparkan senyuman.
Benarlah sifat penyayang itu miliknya. Karakter lembut Tun Hasmah sebenarnya adalah tenaga terkuat sepanjang mengenali wanita hebat berusia 94 tahun ini.
Beliau yang sudah cukup masak dengan kesibukan suami tercinta sempat berseloroh, “Tun Mahathir tu rajin bekerja… cubalah kalau boleh suruh dia (Tun) berhenti,” ujar Tun Hasmah sebelum berkongsi rahsia kuat ingatannya kepada followers Nona.
Sanjungan penulis terhadap Tun Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu.
Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu kian bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Syukur alhamdulilah.
“Dari segi pemakanan tu, macam biasa je. Saya tak boleh makan pedas. Tapi saya suka sayur terung yang disambal, ikan kering dan lauk kuah-kuah… Selain tu saya cuba kurangkan nasi dan makan mihun sup yang menyihatkan.
Diet Tun Mahathir pun sama. Dia makan apa saja kecuali ikan. Tapi bila ke Jepun, anehnya dia suka pula makan ikan mentah macam sashimi (ketawa). Apa pun bila pasal makan, lebih elok kita bersederhana,” cerita Tun Hasmah yang merupakan nenda kepada 18 orang cucu itu.
Anak kelahiran Klang, Selangor ini menamatkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura sebelum bergelar mahasiswi perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Singapura (ketika itu) pada tahun 1955.
Banyak pengalaman Tun Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf.
Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat.
Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Perkahwinan Tun Hasmah dan Tun Mahathir mencecah usia 64 tahun. Rahsia perkahwinan suami isteri ini sudah tentulah bergantung pada sifat mengalah dan bersabar dengan ombak badai yang menghempas rumah tangga mereka.
Jelas ibu kepada Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar itu lagi, sebagai isteri, kepercayaan itu amat penting.
“Orang kata behind every successful man, there is a woman. Kalau kata-kata ini dibacakan depan saya, saya akan jawab ‘No. Behind every successful man, there is a woman, not any woman but his wife’. Kadangkala saya tambah lagi, not any wife but first wife!” tutur Tun Hasmah serius.
Sekilas kata-kata itu mengingatkan penulis pada hantaran Facebook Tun Mahathir (klik sini) beberapa bulan lepas.
Perkahwinan mereka yang sudah melewati ulang tahun Jubli Intan menjadikan apa jua perkongsian cinta berkenaan keduanya begitu indah untuk dijadikan panduan.
“Sebagai isteri, kita harus percaya dan yakin suami kasih dan sayang. Setiap pasangan mesti ada keyakinan sebegitu supaya tiada kebimbangan di hati.”
Nasihat Tun Hasmah, seandainya berlaku konflik dalam rumah tangga, belajar selesaikan dengan matang pada waktu dan tempat yang sesuai.
“Ada ketikanya saya tergelincir juga dalam kata-kata hingga menyebabkan dia berdiam diri. Kadangkala dalam motokar pun dia diam. Tak boleh buat-buat cakap. Itu tandanya ada sesuatu yang tak kena. Jadi sampai rumah kami akan selesaikan,” kongsinya tentang petua kebahagiaan.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak menguruskan keluarga serta memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.
Penyelaras & Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Emma Mustafa
Dandanan: Dr Rajavel
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!