
Ibu Adam Corrie Meninggal Dunia
Kehilangan insan tersayang cukup memilukan. Apatah lagi ibu bapa yang telah banyak berkorban jiwa dan raga membesarkan anak-anak. Baru-baru ini, pelakon Adam Corrie berdepan detik duka apabila ibu tersayang ‘pergi’ untuk selama-lamanya.
Menerusi perkongsian di media sosial, aktor yang sinonim dengan watak aksi berkenaan meluahkan rasa hiba dan sayu atas pemergian insan istimewa itu. Dilaporkan mendiang ibu Adam Corrie menghembuskan nafas terakhir pada 6 Disember lalu ketika berusia 84 tahun.
Kongsinya, “Dengan hati yang berat, saya Adam Corrie memaklumkan bahawa ibu tercinta saya telah pergi buat selama-lamanya.
Buat sementara waktu ini, segala urusan terpaksa saya tangguhkan bagi memberi ruang sepenuhnya kepada urusan pemergian mendiang ibu saya.
Saya mohon ampun dan maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Terima kasih atas segala doa dan sokongan semua.”
Dalam hantaran terbaharu, usahawan restoran Kopihut ini turut memuat naik momen penghormatan terakhirnya di sisi mendiang ibu sebelum disemadikan. Turut kelihatan, anak lelaki Adam Corrie iaitu Adam Fateh Lee.
Meskipun berbeza agama namun pertalian darah di antaranya dan ibu tersayang tidak pernah terputus. Bahkan sepanjang hayat mendiang, Adam Corrie cukup menyantuni ibu dan tetap menziarahinya setiap kali tiba Tahun Baharu Cina.
“Walaupun saya dan ibu berlainan agama, sebagai seorang anak saya tetap berada di sisi hingga ke akhirnya itulah tanda penghormatan dan kasih sayang.
Sebagai seorang Muslim, saya menjaga batas agar tidak melanggar syariat. Kerana Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan. Tambahan pula, ini ibu yang melahirkan kita.
Pagi tadi selesai urusan di hospital, kini mendiang ibu dibawa ke temple untuk sanak saudara memberi penghormatan terakhir, sebelum disemadikan pada hari Rabu ini.”
Bintang KL Gangster ini memeluk agama Islam pada tahun 2007. Dia mendirikan rumah tangga dengan Fazema Mohd Fuad pada 21 November 2008 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Adam Fateh Lee yang kini berusia tujuh tahun.
Selain berlakon, Adam Corrie juga rancak berniaga dan menerima Anugerah Tokoh Muallaf – Bidang Ekonomi 2025.
This website uses cookies.