Imej Janggut Panjang Dimanipulasi, Nama Jutawan Dato’ Sri Mahadi Tercalar Lepas Kahwin!

Imej janggut panjang dan populariti Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman yang semakin meningkat naik selepas berkahwin, menjadikan beliau ‘modal’ sindiket yang kini berleluasa di Internet.

Suami kepada selebriti dan aktivis kemanusiaan terkenal, Datin Sri Nur Heliza Helmi itu terpaksa membuat sidang media tergempar bagi menjernihkan keadaan selepas namanya tercalar hebat dan menjadi sasaran orang ramai.

“Ramai guna video dan muka saya untuk menipu.” Dato’ Sri Mahadi

Dato’ Sri Mahadi di majlis sidang media

 

Imej janggut panjang beliau dimanipulasi

 

Enggan terus dikaitkan, beliau juga terpanggil untuk mendedahkan nama-nama individu serta syarikat skim pelaburan tidak wujud yang aktif memperdayakan orang ramai sejak kebelakangan ini.

Akibat daripada aktiviti tersebut, pihak Dato’ Sri Mahadi dibanjiri panggilan telefon lebih daripada 100 orang mangsa melibatkan kerugian antara RM500 hingga RM10,000.

Aktiviti penyalahgunaan namanya semakin menjadi-jadi apabila ada pihak yang menggunakan akaun media sosial palsu untuk mengaburi mata.

Selain menggunakan identiti dan gambar Dato’ Sri Mahadi, sindiket terbabit turut memanipulasi video serta petikan kata-kata motivasi beliau sebagai modus operandi.

Jutawan yang juga perunding kewangan serta Presiden AUF MBZ Consortium sebelum ini pernah menerima anugerah The Jewels of Muslim World 2019, Youngest Million Dollar Producer serta banyak lagi.

Jutawan ini berkecimpung dalam dunia kewangan sejak usia 21 tahun

 

DISEGANI

Kejayaan lelaki berusia 39 tahun dari Pulau Pinang itu sememangnya cukup disegani, khasnya mereka yang berkecimpung dalam bidang kewangan.

Dato’ Sri Mahadi juga rajin berkongsi ilmu dan dakwah Islamik di platform media sosial. Bahkan selepas berkahwin pada awal tahun ini, pasangan yang mesra disapa Abang Dee dan Kak Ja itu kerap berbahagi pengetahuan serta pengalaman bermanfaat kepada followers.

Walau bagaimanapun, situasi yang melanda Dato’ Sri Mahadi kini bukan saja mencalarkan nama serta menjejaskan reputasi baiknya, malah mengganggu urusan syarikat beliau.

Sebagai langkah melindungi perniagaan, pihak syarikat AUF MBZ Consortium telah membuat beberapa laporan polis kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan difahamkan pihak Suruhanjaya Komunikasi MultiMedia (SKMM) juga turut telah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

 

 

 

Didoakan semoga semua urusan pasangan ini dipermudahkan. Yang penting, dapatkan maklumat pelaburan yang sah daripada perunding yang bertauliah serta usah terpedaya dengan taktik licik di Internet!

IKLAN
Share