Hari ini viral di negara jiran, kisah sedih seorang isteri yang menjaga suaminya, seorang pesakit kanser lidah hingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Arwah meninggal dunia pada tanggal Sabtu, 22/7/2017 lalu pada usia 29 tahun iaitu kira-kira seminggu selepas hari jadinya.
Menurut balunya, arwah Andre Kurnia Farid hanya mengadu mengalami ulser di dalam mulut, tapi setelah berlarutan selama tiga minggu, ujian mendapati ia kian parah dan positif kanser lidah.
Secara anatomi, lidah manusia terdiri kepada dua bahagian iaitu bahagian depan di dalam mulut dan bahagian pangkal di kerongkong leher.
Kanser lidah dapat berkembang pada kedua-dua bahagian ini tapi biasanya kanser di bahagian depan termasuk dalam kategori kanser mulut.
Alkohol dan tembakau dikenal pasti sebagai penyebab utama kanser lidah kerana kedua-duanya memiliki sifat karsinogenik atau mudah menyebarkan kanser.
Gejala
Sakit kerongkong yang berlarutan.
Timbul tompok-tompok putih atau merah, benjol atau ulser di dalam mulut yang sukar pulih.
Sakit semasa menelan.
Sering rasa kebas dalam mulut.
Pendarahan tanpa sebab pada lidah.
Kadang-kadang sakit telinga.
Sekiranya gejala ini berlarutan selama lebih tiga minggu, terutamanya bagi seorang perokok tegar atau selalu mengamalkan minuman keras, anda WAJIB membuat pemeriksaan segera di hospital.
Faktor
Rokok
Minuman keras (alkohol)
Human papillomavirus (HPV)
Kebersihan mulut yang rendah
Bagaimana kisah arwah Andre yang viral kerana dibunuh kanser lidah? Baca selengkapnya luahan si isteri (telah dialih bahasa) menerusi Facebook Rezy Selvia Dewi. Norzalina Mohd Alias
Selamat Jalan Suamiku
“Mii, ulser dalam mulut abbi ni buat hilang selera makan.” Sepulangnya dari kerja, suamiku menolak untuk makan walaupun terhidang lauk ayam kegemaran.
Setiap hari suami selalu mengeluh sakit ulser di atas lidahnya yang tak pernah sembuh. Sudah 2 minggu, tapi aku kurang menghiraukan keluhannya kerana fikir ia sekadar ulser biasa.
“Mii, tadi di pejabat ada medical checkup, ini hasilnya…” sambil menunjukkan selembar kertas hasil pemeriksaan. Aku ingat betul saat itu, bulan April 2016.
“Kesihatan abbi ada masalah, cuma kata doktor, abbi kurang nutrisi, abbi kurang gizi ni. Ummi sibuk sangat dengan Zuma, hehehe,” gurau suamiku saat itu.
Memang anak kami baru berusia 1 tahun, jadi sebagai ibu, akulah orang yang paling sibuk kerana anakku mulai aktif.
Aku memang terlalu sibuk, sampai tak sempat memerhatikan suami. Aku diam saja ketika dia merokok tanpa henti. Aku tak pernah marah.
Dan aku pun tak pernah tahu, apa makanan yang dimakannya di pejabat. Makanan sihatkah? Atau bukan? Itulah kesalahan terbesarku.
3 minggu kemudian, ulser di mulut suami masih lagi belum hilang. Malah katanya sampai sakit di kepala dan telinga.
“Abbi… esok periksa doktor ya, biar diberi ubat sepatutnya.” Suamiku pun mengangguk.
Keesokan harinya, pemeriksaan doktor mendapati dia hanya kurang makan sayur dan buah. Ubat yang dibekalkan pula hanya balm khas untuk disapu pada ulser.
“Kalau 2 minggu lagi belum sembuh, periksa lagi ya,” pesan doktor tersebut.
Ads
2 minggu kemudian, sakit ulser itu masih juga tak sembuh. Doktor hanya menambah antibiotik tapi sampai habis pun belum juga ada tanda-tanda sembuh.
Kali ini, dia dirujuk ke pakar bedah mulut dan pemeriksaan kali ini mendapati ia mungkin berpunca akibat masalah gigi bongsu.
“Oh, ulser di lidah ni sebab ada gigi bongsu, tapi posisinya abnormal. Mungkin itu sebabnya susah nak sembuh. Gigi ni mesti dibedah dan dibuang,” kata mereka.
Bulan Jun 2016, saat awal Ramadan, suamiku tak puasa kerana bakal menjalani pembedahan gigi. Maka dicabutlah gigi bongsu yang dikatakan. Tapi anehnya selepas seminggu berlalu, ulser masih lagi terasa dan sakit di kepala kian menjadi-jadi. Lidahnya pula tidak boleh digerakkan ke kiri.
Dari situ, dia bertemu pula pakar saraf dan seterusnya membuat fisioterapi lidah. Selepas enam kali terapi masih tiada perubahan, doktor mengesyorkan pemeriksaan MRI.
Hari Aidilfitri, suami lebih memilih tidur dan tidak mahu beraya dengan saudara mara. Sakit di kepalanya semakin kerap, jadi aku biarkan dia beristirahat saja di bilik.
“Mii, ada benjol kat lidah abbi, cuba tengok.”
Benar. Aku terlihat sebiji benjol kecil sebesar biji jagung pada lidahnya yang sakit. Kata doktor, benjolan ini mungkin seketul tumor dan sekali lagi dia perlu menjalani pembedahan membuangnya.
Tanggal 13 Ogos 2016, kami kembali menemui doktor untuk mengetahui hasil makmal terhadap benjol yang dibuang.
“Suami usianya berapa tahun?”
“28 doc.”
“Sudah ada anak?”
“Sudah, baru usia setahun doc.”
Doktor pun menghela nafas panjang. Ada perasaan tak enak saat itu.
Ads
“Hasil pemeriksaannya kurang bagus. Suami puan positif terkena kanser lidah.”
Masa itu seolah detak jantungku berhenti. “Kanser?”
Tiba-tiba mataku jadi gelap, sebuah beban serasa berat menindih badanku. Aku diam tanpa berkata apa-apa. “Kanser?” tanyaku.
Kutatap wajah suamiku, dia hanya terdiam. Pucat.
Seluruh pemeriksaan sudah kami lakukan – ujian makmal, USG, CT Scan, Bone Scan.
“Dari hasil pemeriksaan, 3/4 lidah suami puan sudah terkena kanser. Dia mesti dibedah untuk membuangnya,” kata doktor yang merawat.
Ya Allah… apa lagi ni? Dibuang lidah? Kenapa harus suamiku yang mengalaminya? Kami pun pulang dengan perasaan tak menentu, nanti kita periksa lagi ya bii, dapatkan second opinion.
Esoknya kami periksa lagi. Doktor melakukan endoskopi dari lubang hidung dan daripada kabel kecil kamera itu, terlihat jelas gambar di monitor.
“Wah, kansernya dah merebak ke kerongkong.”
Masa itu terlihat banyak benjolan merah berhampiran peti suara.
“Boleh tahu sudah stage berapa doc?”
“Stage 4 puan.”
“Terus… bagaimana?” tanyaku perlahan.
Ads
Kata doktor, suamiku perlu menjalani rawatan kemoterapi 3 kali dan radiasi selama 30 kali.
Wajah suamiku yang putih bertambah pucat. Dia hanya terdiam. Aku terbayang beratnya derita yang harus dialaminya kelak.
Awal September 2016, kami pulang ke kampung selepas suami mendapat cuti sakit sehingga sembuh.
Kami tekad mahu berikhtiar dengan cara alternatif dan herba. Masa itu suami cuma mampu menelan ubat yang direbus atau cecair.
Pada masa yang sama, aku disahkan hamil dan berita tersebut cukup menggembirakan kami berdua. Semangat suami kelihatan kembali semula.
5 bulan berubat, tapi Allah seperti belum memberi jalan kesembuhan. Kondisi suami semakin teruk. Lalu akhirnya kami tinggalkan rawatan tradisional.
Berat badan suamiku mula turun dengan drastik. Daripada 65kg kini tinggal 40kg. Dia makin tenat dan kemuncaknya setiap hari dia muntah darah. Mukanya lemas dan sangat pucat.
Selepas itu, kami kembali membuat segala rawatan moden. Kemoterapi dan radiasi, semuanya dicuba satu persatu tanpa henti. Dalam pada itu juga, aku selamat melahirkan anak kedua kami yang ditunggu-tunggu selama ini.
Tiada tanda-tanda sembuh sehinggalah menjelang hari terakhirnya di sisiku. Kuhampiri suami yang terbaring lemah. Tubuh badannya penuh dikeliling segala peralatan hospital dan wayar yang berselirat.
Waktu itu tekanan darahnya sangat tinggi, nadinya terlalu cepat hingga menunjukkan angka 200 di skrin monitor. Berkali-kali doktor menyuntik ubat anti sakit tapi suamiku masih mengeluh kesakitan.
Melihatkan keadaannya yang cukup mencemaskan, doktor menenangkanku sambil berkata suamiku sudah tak dapat ditolong lagi.
Seluruh badanku terasa gementar. “Benarkah tak ada lagi harapan,” tiba-tiba aku merasakan ketakutan yang luar biasa.
Aku berbisik ke telinganya, “Aku tak mahu kehilanganmu bii.” Kupegang erat jari-jemarinya. “Buka matamu bii,” dan aku ingat dia cuma tersenyum lemah.
Pukul 4 petang, doktor menghulurkan surat persetujuan. Di situ tertulis agar aku tidak akan mengambil apa-apa tindakan pun jika sebarang perkara berlaku pada suamiku.
“Abbi… inilah yang terbaik yang diberikan Allah buat kita. Maafkan ummi, tak bisa menjagamu selama ini. Ummi ikhlas abbi pergi. Ummi terima semua dengan ikhlas.”
Kubimbing suamiku menyebut kalimah Laaillaha illallah muhammadur Rasullullah… kuulang berkali-kali sampai tepat jam 4.40 petang, dia pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Tak ada lagi yang bergerak di sana. Kudakap kemas tubuh suamiku, kukucup bibirnya dan kuusap matanya… Inna lillaahi wainna ilaihi raajiun.
Selamat jalan suamiku. Jemput aku dan anak-anak kita di pintu syurga-Nya.
It’s a girl! Ruang roof top Geo Resort and Hotel Genting Highlands semalam gamat apabila Nur Elisya Sandha dan suami tercinta, Uzair Haqimy mendedahkan jantina bayi sulung mereka kepada umum. Seperti dijangka peminat dan kenalan rapat, adik pelakon Fasha Sandha ini hamil anak perempuan. Tahniah!
Dalam temu bual bersama Nona untuk cover digital Jun 2022, Elisya yang kini berusia 23 tahun memberitahu dia bakal melahirkan cahaya mata sulung kira-kira tiga minggu lagi iaitu pada hujung Jun.
“InshaAllah date bersalin pada 28 Jun. Nama baby pun dah ada. Sepanjang mengandung, first trimester je saya alami muntah-muntah sedikit dan masih shooting. Masa shooting Ratu Tenpin 2 dah empat bulan dan perut pun dah nampak sedikit. Tapi sebab pakai baju besar tak nampak sangat.
Alhamdulillah, sepanjang mengandung semua ok je. Cuma sakit-sakit belakang tu biasalah. Saya dapat tahu pregnant bulan November tahun lepas dan masa bersanding di kampung waktu tu usia kandungan dah dua bulan.”
Kata Elisya, sepanjang hamil dia mengamalkan minuman sarang burung dan sibuk menyediakan segala kelengkapan bayi. “Setakat ini semua ok cuma ada beberapa barang yang belum complete. Biasalah anak pertama ni kalau boleh semua nak beli.”
Aktres jelita ini tanpa berselindung memberitahu dia akan berpantang di kediaman Sheila Rusly memandangkan ibunya, Mama Sandha agak sibuk dengan rutin harian. “Saya rasa waktu Mama Sheila lebih fleksibel. Lagipun Mama Sheila ada production sendiri, kalau tak ada shooting, dia boleh jaga saya dan baby. Jadi sebab itu saya rasa lebih convenience duduk berpantang di rumah Mama Shiela.”
Sementara itu, salah seorang individu yang paling menjadi tumpuan dalam acara ‘gender reveal’ semalam sudah tentunya Sheila Rusly. Sebaik mengetahui jantina cucu sulung, kelihatan penerbit popular ini melompat kegembiraan dan sebak. Iyalah, mesti Sheila ternanti-nantikan kehadiran cucu perempuan memandangkan kedua-dua anaknya lelaki.
“Saya selalu cakap dengan dia jangan risau sangat. Just go with the flow. Nak jadi ibu yang baik ni bukan ada buku yang you kena tekun belajar. Tak ada ibu yang perfect di dunia ni. Kita kena tunjuk contoh yang baik dekat anak-anak. Jangan suruh dia buat yang terbaik tapi kita tak berusaha ke arah itu.”
Mengenang kembali momen kehamilan Elisya, Sheila berkata ada kisah lucu di sebalik khabar gembira tersebut. “Saya dah dapat agak (hamil) tapi dia tipu sebab craving dia lain macam. Bila saya tanya period dia lambat, dia tipu. Pernah sekali, lepas dia siap masak semua, dia cakap nak pergi solat.
Walhal dia baru beritahu semalam yang dia period. Lepas tu dia dan Haq ajak pergi makan di Dim Sum Place. Saya tak nak pada mulanya tapi turutkan juga. Sampai sana, dia bagi hadiah dalam kotak putih, dia kata saja beli. Bila buka nampak benda (alat pengesan kehamilan) tu, saya menjeritlah bila tengok.”
Mengulas perancangan untuk memiliki anak kelak, Elisya tidak menolak rezeki namun berharap dapat mempunyai tiga hingga empat orang cahaya mata. “Kalau boleh rancang nak tiga ke empat orang anak je. Keluarga saya ramai, saya ada enam adik-beradik dan dah ada lapan anak buah. Suami pula quite small.
Credit Instagram @elisyasandhaofficial
Jadi untuk ada tiga ke empat orang tu dah memadai. Memang saya ada banyak impian dan boleh achieve sebab sebab muda lagi. Ada orang kata pregnant muda-muda ni sayag. Susah nak dapat apa yang saya nak.
Saya rasa tu salah sebab rezeki semuanya datang dari Allah dan rezeki tu akan datang bersama usaha. Saya akan berusaha ke arah tu sambil ada anak di sisi. Saya nak jadikan anak tu sebagai semangat untuk saya capai impian yang belum tertunai.”
Elisya dan Haq selamat mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Naluri seorang ayah terpanggil untuk berkongsi tentang keadaan anaknya yang baru berusia sebulan terkena serangan Batuk Kokol di laman Facebook kini menjadi viral dan mendapat perhatian netizen.
Muhammad Fateh dipercayai menghidap Batuk Kokol juga dikenali sebagai batuk 100 hari dan keadaanya itu diceritakan sendiri oleh bapanya, Azhar Azif.
“Saya akan ceritakan secara ringkas apa itu penyakit batuk kokol supaya lebih ramai yang tahu dan faham tentang penyakit ini. Batuk Kokol atau pun Whooping Cough adalah sejenis penyakit disebabkan oleh kuman bakteria Bordetella Pertussis yang dijangkiti melalui udara daripada orang lain. Sama ada dijangkiti dari ibu bapa sendiri atau adik beradik dan menurut doktor ia mengambil masa 2 hingga 3 bulan juga untuk reda”, jelasnya di laman facebook miliknya.
Azhar juga memberi tip untuk ibu bapa di luar sana supaya jauhkan bayi daripada orang yang sedang sakit mahupun orang ramai yang tidak dikenali.
“Elakkan bayi yang berumur 5 bulan kebawah berada ditempat orang ramai seperti dalam shopping mall, pasar malam, atau majlis-majlis yang melibatkan ramai orang”, pesannya lagi.
Selain itu, Azhar turut berkongsi tanda-tanda ringan bayi diserang Batuk Kokol dan kesannya terhadap bayi. Tanda – Tanda Ringan
Demam
Selsema
Bersin
Batuk yang panjang
Selepas batuk yang berpanjangan ini berlaku, ia boleh menyebabkan bayi:
Muntah
Sukar Bernafas/ terhenti nafas
Sianosis (Kebiru-biruan pada mulut, tangan dan kaki.
Azhar turut berkongsi detik cemas apabila Fateh menghadapi kesukaran bernafas sehingga nafas terhenti untuk seketika
“Kegagalan pihak klinik mengesan sakit yang dialami oleh Fateh, menyebabkan Fateh menghadapi kesukaran bernafas, sehingga terhenti nafas. Apabila wife tepuk-tepuk belakangnya baru lah baby bernafas semula dan kami berkejar ke hospital. Saya tidak menyalahkan seratus peratus kepada pihak klinik (walaupun sepatutnya mereka lebih tahu dan menasihati kami untuk ke hospital lebih awal), namun kami menyalahkan diri kami juga kerana sebagai ibu bapa, kita juga perlu tahu penyakit – penyakit yang berbahaya untuk anak – anak kita supaya kita lebih waspada dan bersedia”, katanya lagi yang turut menjaga anaknya itu bersama isteri, Fiza Jaffar.
Menurut Azhar lagi sekiranya penyakit anaknya itu lambat dirawat, ia akan menyebabkan radang paru-paru, kurang bekalan oksigen ke otak yang boleh menyebabkan sawan dan fungsi otak tidak normal dan boleh menyebabkan kematian. “Semasa saya menulis ini, Fateh masih lagi dalam rawatan (dah 6 hari masuk ICU) dan bergantung penuh dengan alat bantuan pernafasan, masih lagi batuk – batuk yang panjang dan telah diberikan antibiotik secara berperingkat”, tulisnya lagi. Nona berdoa agar Fateh cepat sembuh dari penyakit ini dan kembali normal seperti bayi yang lain.
Sumber: Facebook Azhar Azif
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tan Sri Michelle Yeoh melakar sejarah gemilang buat negara apabila muncul sebagai pelakon Malaysia pertama yang ditabalkan sebagai pemenang Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/ Komedi di acara Golden Globe Awards.
Pelakon kelahiran Ipoh, Perak yang berusia 60 tahun itu meraih anugerah berprestij itu hasil keberkesanan lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.
Michelle menewaskan pencabar-pencabarnya seperti Lesley Manville (Mrs. Harris Goes To Paris), Anya Taylor-Joy (The Menu), Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (Babylon).
Sebetulnya, ini merupakan kemenangan pertama Michelle dalam anugerah berprestij ke-80 itu sejak beliau mula menceburi dunia lakonan pada 1983.
Kejayaan merangkul anugerah ini sekali gus menjadi catatan rekod peribadi buat Michelle selepas 40 tahun membina populariti dan pengaruh dalam industri perfileman Hollywood.
Menerusi filem komedi Everything Everywhere All at Once, Michelle melakonkan watak Evelyn Quan Wang, seorang ibu separuh umur yang memiliki pengalaman berpindah lintas semesta untuk menyelamatkan dunia.
Sebaik menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/ Komedi di acara Golden Globe Awards, Michelle berkata, perjalanan panjang kariernya itu akhirnya diiktiraf dan ia sangat berbaloi.
“Ini perjalanan luar biasa dan perjuangan besar untuk saya berada di sini, tapi rasanya ia berbaloi,” kata Michelle.
Menerusi rakaman yang dikongsi di pelbagai akaun media sosial, Michelle menemplak pihak produksi yang cuba ‘memotong’ ucapannya dengan berkata, dia tidak akan melepaskan peluang berkongsi aspirasinya di pentas itu.
“Saya menunggu 40 tahun untuk ini, jadi tunggu sebentar,” ujar Michelle.
Menyelak kembali perjalanan seninya, pelakon masyhur itu menyifatkan apa yang dilaluinya di Hollywood sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.
“Saya ingat pertama kali ke Hollywood dan itu rasanya mimpi jadi nyata. Semua orang berbahasa Inggeris.“Saya pula menghabiskan masa perjalanan datang ke sini (Hollywood) selama 32 jam dan menghabiskannya dengan belajar bahasa Inggeris! Terima kasih kerana percayakan saya,” sambung Michelle dalam nada terharu.
Sumber: ASTRO AWANI
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.