ISTERI Atu Zero SUMBANG TENAGA JAHIT Pelindung Kepala Dan Kasut Untuk FRONTLINERS

 

Perasan tak, sejak penyebaran wabak Covid-19 rakyat Malaysia hidup lebih sepakat dan lebih menghargai petugas barisan hadapan? Semakin ramai yang mengambil peluang menghulurkan bantuan kepada wira negara ini dengan pelbagai cara. Shafeeqa Johari juga tidak terkecuali menyumbangkan kudrat dan bakat untuk frontliners.

Seminggu lalu, isteri kepada pelawak kumpulan Zero, Atu terpanggil untuk membantu seseorang yang ingin mendapatkan bantuan menjahit pelindung kepala dan kasut buat petugas frontliners.

Bekas pelajar Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi MARA UiTM dan pembuat kek lapis homemade ini terpanggil menjawab pertanyaan dari seorang wanita yang tidak dikenalinya kerana inilah ikhtiar untuk membantu frontliners dan negara meringankan beban.

Menurut Shafeeqa, lebih 200 pelindung kepala dan kasut diperlukan setiap hari di setiap hospital namun ia tidak mampu dilakukannya seorang diri. Sebagai alumni rekaan fesyen, dia mendapatkan perkhidmatan alumni lain untuk membantunya dalam ‘misi’ istimewa ini.

Usaha yang dilakukan Shafeeqa mula mendapat perhatian dan ada juga yang memberi sumbangan berbentuk wang ringgit. Hasil sumbangan itu digunakan untuk membeli fabrik meskipun agak sukar untuk mendapatkan jenis fabrik yang sesuai.

Hebahan mengenainya juga turut dipanjangkan melalui media sosial dan dikongsi lebih ramai penggunanya. Dalam tempoh PPK ini, fabrik yang ada agak terhad dan pergerakkan juga agak terbatas namun ia dapat dilaksanakan.

Walaupun hanya berada di rumah, namun ibu kepada dua cahaya mata ini cuba membahagikan masa untuk memberi tumpuan kepada jahitan dan pada masa sama menguruskan keluarga. Kerjasama daripada suami tercinta membolehkan Shafeeqa terus mencari peluang untuk menyiapkan bantuan perlindungan itu.

Sehingga kini, Shafeeqa masih memerlukan dan mengharapkan bantuan lebih ramai orang yang boleh menjahit agar lebih banyak pelindungan kepala dan kasut dapat diedarkan di hospital-hospital yang memerlukan.

Benarlah kata pepatah, bulat manusia kerana muafakat. Kerjasama yang diberikan dengan komitmen yang begitu jitu mampu mengurangkan sedikit bebanan di tanggung para frontliners dan pihak kerajaan. Semoga usaha ini akan terus berjaya dan mendapat perhatian sewajarnya. Diharap lebih ramai lagi yang akan tampil memberikan perkhdimatan terbaik buat pada pejuang negara.

 

IKLAN
Share