
Jadi ahli farmasi bukan mudah seperti disangka. Mereka bukan sekadar memberi kaunseling ubat kepada pesakit, memeriksa preskripsi atau mengira stok… Tidak! Ia sebenarnya bidang kerjaya profesional yang cukup penting seperti diterangkan Profesor Madya di Fakulti Kesihatan & Sains Perubatan Universiti Taylor’s, Dr Renukha Sellappans.
Sebagai tenaga pengajar yang terlibat secara langsung dalam pendidikan generasi baharu ahli farmasi, Dr Renukha turut memegang peranan penting sebagai Principal di Malaysian Academy of Pharmacy serta Ahli Lembaga Pharmacy Board of Malaysia.
Pengalaman luas beliau dalam bidang akademik dan badan pengawalselia menjadikan perspektifnya bukan sekadar teori, tetapi berasaskan realiti industri dan keperluan sistem kesihatan negara. Jadi ahli farmasi bukan mudah kerana laluan kerjaya ini menuntut komitmen tinggi, disiplin serta pematuhan kepada undang-undang yang ketat.
Menurut Dr Renukha, minat terhadap bidang farmasi dalam kalangan pelajar Malaysia kekal tinggi kerana ia dilihat sebagai profesion yang stabil, dihormati dan memberi peluang besar untuk menyumbang kepada kesihatan masyarakat. Namun realitinya, jadi ahli farmasi bukan mudah kerana memiliki ijazah sahaja tidak mencukupi untuk berkhidmat secara sah.
Bidang farmasi di Malaysia dikawal selia secara ketat demi melindungi keselamatan awam. Semua program ijazah farmasi mesti diiktiraf oleh Pharmacy Board of Malaysia dan disenaraikan di bawah First Schedule, Registration of Pharmacists Act 1951. Tanpa pengiktirafan ini, graduan berdepan risiko besar untuk tidak dapat mendaftar.
Dr Renukha menegaskan bahawa Pharmacy Board of Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan setiap ahli farmasi memenuhi standard latihan yang ditetapkan.
Undang-undang Malaysia jelas menyatakan bahawa hanya individu berdaftar sahaja mendapat tauliah menjalankan tugas farmasi profesional. Setiap graduan wajib melalui proses pendaftaran yang ketat sebelum dibenarkan beramal.
Perjalanan untuk menjadi ahli farmasi bermula dengan program Ijazah Sarjana Muda Farmasi yang diiktiraf, biasanya mengambil masa empat tahun. Program ini merangkumi pelbagai bidang seperti kimia farmaseutikal, farmakologi, farmasi klinikal serta undang-undang farmasi.
Kurikulum ini direka untuk memastikan graduan benar-benar bersedia menghadapi situasi sebenar dalam dunia kesihatan. Jadi ahli farmasi bukan mudah kerana pembelajaran bukan sekadar teori, tetapi melibatkan latihan praktikal yang intensif.
Pelajar juga turut menjalani latihan di hospital, farmasi komuniti dan industri dengan bimbingan mentor berpengalaman. Pendekatan pembelajaran berasaskan kes dan simulasi membantu pelajar membuat keputusan dalam situasi sebenar.
Pendidikan antara profesional juga membentuk kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan bersama doktor serta tenaga kesihatan lain.
Selepas tamat pengajian, graduan perlu menjalani latihan sebagai Provisionally Registered Pharmacist selama sekurang-kurangnya satu tahun. Fasa ini menjadi jambatan penting antara teori dan amalan sebenar.
Latihan ini dijalankan di premis yang diluluskan dengan pemantauan preceptor bertauliah. Sepanjang tempoh ini, graduan dinilai dari segi kemahiran, etika dan profesionalisme.
Jadi ahli farmasi bukan mudah kerana hanya mereka yang benar-benar kompeten akan layak untuk meneruskan ke peringkat seterusnya.
Selepas melengkapkan semua keperluan, barulah seseorang layak memohon pendaftaran penuh sebagai ahli farmasi. Namun menurut Dr Renukha, ini bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab profesional sepanjang hayat.
Ahli farmasi perlu memperbaharui Sijil Tahunan serta mengikuti pembangunan profesional berterusan bagi memastikan mereka kekal relevan dalam bidang kesihatan yang sentiasa berkembang.
Kesimpulannya, jadi ahli farmasi bukan mudah seperti yang disangka ramai. Ia merupakan satu perjalanan panjang yang menuntut disiplin, integriti dan kesungguhan tinggi.
Akhiri Dr Renukha, tanggungjawab melahirkan ahli farmasi berkualiti bukan hanya terletak pada institusi pendidikan, tetapi turut melibatkan badan pengawal, ibu bapa dan masyarakat. Matlamat utama adalah untuk memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara melalui standard profesional yang tinggi.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/rufaida-al-aslamiyah-muslimah-jururawat/
This website uses cookies.