Tersentuh hati dengan pengorbanan dan kasih sayang menebal Tan Lee Bee terhadap adik tersayang. Empati dan rasa prihatin Lee Bee untuk membantu adiknya berkomunikasi kerana mengalami masalah pendengaran memang patut diberikan penghargaan dan menjadi inspirasi.
Siapa sangka, tekad wanita berusia 64 tahun ini berkhidmat sebagai jurubahasa isyarat memberi pintu rezeki berbeza kepada empunya diri. Tidak sekadar lega dapat membantu adik kesayangan, lebih bermakna apabila kerjaya murninya ini menerima pengiktirafan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim!
Dalam temu bual bersama jurubahasa isyarat popular tersebut bersama para media baru-baru ini, Lee Bee mendedahkan menjadi jurubahasa isyarat bukan cita-cita sebenarnya. Semuanya berlaku kerana kasih terhadap adiknya yang mengalami masalah pendengaran.
“Saya mempunyai seorang adik kurang upaya pekak. Saya belajar bahasa isyarat kerana adik saya. Seterusnya saya mula bertugas sebagai seorang guru untuk orang pekak.
Saya menjadi guru selama 17 tahun. Semasa menjadi guru, saya juga berkhidmat sebagai jurubahasa dengan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang juga jurubahasa isyarat mahkamah pertama di Malaysia pada tahun 1994.”
Khabarnya, anak jati kelahiran Segamat, Johor ini mula muncul di kaca televisyen sekitar tahun 1985 menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia.
Akhirnya selepas empat dekad berkhidmat untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan bisu, Tan Lee Bee menerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 2 Jun lalu.
Perjuangan ‘senyap’ Lee Bee menyampaikan suara golongan tidak bersuara dengan menghiasi sudut kaca televisyen bagi program berita dengan mimik muka ekspresif kini mendapat perhatian.
Dia antara 16 individu menerima Bintang AMN pada istiadat berkenaan yang antara lain turut menyaksikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.
Sementara itu, Menteri Komunikasi iaitu Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi gambar beliau bersama Tan Lee Bee dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Ucapnya, “Jumpa Lee Bee pada Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara. Tahniah atas pengurniaan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Semoga terus cemerlang. Terima kasih kerana menjadi ‘wira senyap’ yang sentiasa memberi inspirasi dan mewarnai skrin TV kami dengan penuh dedikasi dan semangat.”
Moga kejayaan Lee Bee mampu menjadi suntikan inspirasi kepada masyarakat.
This website uses cookies.