Tersentuh hati dengan pengorbanan dan kasih sayang menebal Tan Lee Bee terhadap adik tersayang. Empati dan rasa prihatin Lee Bee untuk membantu adiknya berkomunikasi kerana mengalami masalah pendengaran memang patut diberikan penghargaan dan menjadi inspirasi.
Siapa sangka, tekad wanita berusia 64 tahun ini berkhidmat sebagai jurubahasa isyarat memberi pintu rezeki berbeza kepada empunya diri. Tidak sekadar lega dapat membantu adik kesayangan, lebih bermakna apabila kerjaya murninya ini menerima pengiktirafan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim!
Dalam temu bual bersama jurubahasa isyarat popular tersebut bersama para media baru-baru ini, Lee Bee mendedahkan menjadi jurubahasa isyarat bukan cita-cita sebenarnya. Semuanya berlaku kerana kasih terhadap adiknya yang mengalami masalah pendengaran.
“Saya mempunyai seorang adik kurang upaya pekak. Saya belajar bahasa isyarat kerana adik saya. Seterusnya saya mula bertugas sebagai seorang guru untuk orang pekak.
Ads
Saya menjadi guru selama 17 tahun. Semasa menjadi guru, saya juga berkhidmat sebagai jurubahasa dengan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang juga jurubahasa isyarat mahkamah pertama di Malaysia pada tahun 1994.”
Khabarnya, anak jati kelahiran Segamat, Johor ini mula muncul di kaca televisyen sekitar tahun 1985 menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia.
Tan Lee Bee Jadi Jurubahasa Isyarat Demi Adik
Ads
Akhirnya selepas empat dekad berkhidmat untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan bisu, Tan Lee Bee menerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 2 Jun lalu.
Perjuangan ‘senyap’ Lee Bee menyampaikan suara golongan tidak bersuara dengan menghiasi sudut kaca televisyen bagi program berita dengan mimik muka ekspresif kini mendapat perhatian.
Dia antara 16 individu menerima Bintang AMN pada istiadat berkenaan yang antara lain turut menyaksikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.
Sementara itu, Menteri Komunikasi iaitu Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi gambar beliau bersama Tan Lee Bee dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Ucapnya, “Jumpa Lee Bee pada Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara. Tahniah atas pengurniaan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Semoga terus cemerlang. Terima kasih kerana menjadi ‘wira senyap’ yang sentiasa memberi inspirasi dan mewarnai skrin TV kami dengan penuh dedikasi dan semangat.”
Moga kejayaan Lee Bee mampu menjadi suntikan inspirasi kepada masyarakat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berita kesembuhan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beberapa minggu terlantar di Unit Rawatan Rapi Koronari, Institut Jantung Negara (IJN) disambut rasa lega oleh seluruh rakyat Malaysia.
Ramai yang menyatakan rasa syukur sebaik melihat beliau pulang ke rumah serta berkongsi foto bersiar dengan isteri, Tun Dr Siti Hasmah di Tasik Putrajaya.
Namun dalam perkongsian tersebut, perubahan fizikal negarawan berusia 96 tahun ini jelas ketara. Percakapannya lemah, langkahnya perlahan dan tak sekuat dulu.
“Saya ucap terima kasih kerana ramai yang berdoa untuk saya pulih dan hasilnya ialah saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi saya amat teruk.
Adakalanya saya tak berharap nak pulih, tetapi alhamdulillah, dengan rawatan yang diberi di IJN, saya pulih.” Tun Dr Mahathir
Tun Dr Siti Hasmah seperti biasa, menjadi teman paling setia menemani beliau. 66 tahun usia perkahwinan, pastilah beliau menjadi orang paling risau akan kesihatan suami tersayang.
Satu yang tidak berubah, Tun Dr Mahathir tetap akrab bersama Tun Dr Siti Hasmah ke mana sahaja. Sewaktu sihat atau tidak. Sewaktu sedih atau gembira. Keduanya begitu penting dan melengkapkan!
Sekilas terkenang pertemuan Majalah Nona dengan pasangan Perdana Menteri tertua di dunia ini sempena edisi khas Ramadan 2016, kira-kira enam tahun lalu.
Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu.
66 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Pasangan ini amat banyak bertoleransi di antara satu sama lain, saling mengerti dan menjadi kekuatan untuk terus ke depan.
Bagaimana agaknya karakter Tun Dr Mahathir ketika di rumah?
“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 95 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun Dr Mahathir akan berubah menjadi pendiam ketika dia sedang berfikir. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara.
Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.” Tun Dr Siti Hasmah
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun Dr Mahathir sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri.
“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural.”
Tun Dr Mahathir juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej suaminya yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya.
“Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh.
Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia.
Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu.
Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu.
Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya.
Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa.” Tun Dr Siti Hasmah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti baru semalam Nona menulis khabar pertunangan adik ipar selebriti Shaheizy Sam dengan anak lelaki Iron Lady Malaysia, Allahyarhamah Datuk Wira Dr Maznah Hamid.
Kini pasangan Syida Melvin dan Mohamad Shafiq Azim Datuk Seri Shaheen telah selamat menimang seorang puteri comel yang diberi nama Safa Safeera pada tarikh 20 Februari lepas.
Ini bermakna, Hari Raya tahun ini merakamkan sejarah buat pasangan merpati dua sejoli tersebut apabila mereka menyambutnya buat kali pertama dengan cahaya mata tersayang.
Memilih rona putih sebagai tema baju Hari Raya tahun ini, kelihatan keluarga kecil ini begitu sempurna dan suci bersih ronanya.
Safa Safeera atau nama panggilannya Pia, 4 bulan, pun nampak semakin comel dengan rambut Trojan. Paling suka tengok gambar Pia masa baby, geli hati bila Syida pilih konsep sekolah Fardu Ain!
Macam tak percaya pula tengok imej terbaru Syida Melvin selepas melahirkan anak. Baru 4 bulan bersalin, tapi dah kurus langsing macam anak dara. Nantikan rahsianya ya.
Selain sibuk menguruskan Pia, Syida Melvin juga aktif menguruskan bisnes keluarga mereka iaitu Kekasih by The Melvins. Sementara suaminya pula masih menggalas tugas sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd.
Isteri Sufian Suhaimi, Rania Al Sadat selamat bersalin zuriat pertama baru-baru ini. Tak henti-henti memanjatkan rasa syukur, bayi perempuan yang diberi nama ‘SR’ ini dilahirkan pada 24 April 2026 secara normal.
Berita gembira ini pastinya mencuri perhatian peminat Sufian yang popular menerusi lagu ‘Menggenggam Bahagia’ dan ‘Di Matamu’. Bergelar bapa kandung pada usia 34 tahun, khabar tersebut dikongsikan sendiri oleh Sufian menerusi media sosial. Sufian sebelum ini memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Faeq Razeeq.
Sufian turut meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menemani isterinya sepanjang proses kelahiran. Pengalaman melihat sendiri isteri bersalin ternyata memberi kesan mendalam dalam hidupnya.
Bayi perempuan mereka dilahirkan secara normal dengan berat 2.71 kilogram di sebuah pusat perubatan di Serdang, Selangor.
“Saya teman dan melihat sendiri proses isteri bersalin. Satu pengalaman baharu dan ia membuatkan saya lebih menghargai isteri serta ibu. Sekarang mungkin lebih selesa, tetapi kita tak tahu keadaan ibu kita dahulu,” kongsinya.
Tambahnya, fokus utama kini tertumpu kepada penjagaan bayi yang baru lahir. Sufian turut berkongsi bahawa mereka beruntung kerana menerima sokongan penuh daripada kedua-dua belah keluarga selepas bayi dilahirkan.
Pengalaman sebagai ibu bapa pertama tentu sekali berbeza. Rasa bahagia dan panik bercampur-aduk, itulah pentingnya sokongan ibu bapa dan keluarga membantu mengurangkan tekanan serta memberi ruang kepada ibu untuk pulih sepenuhnya.
Sukanya tengok wad bersalin Rania ni, tenang dan selesa siap hiasan dekorasi belon-belon pink tanda bahagia meraikan kehadiran orang baharu.
Sah bergelar isteri Sufian pada 2 Mei 2025, Rania Al Sadat bukan sahaja dikenali sebagai isteri selebriti, tetapi juga seorang wanita berpendidikan tinggi dan berkerjaya. Menurut sumber, beliau merupakan graduan Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dedah sumber lagi, Rania kini berkhidmat sebagai Peguam dan Peguambela Mahkamah Tinggi Malaya di firma guaman Izzat Othman & Co di Petaling Jaya. Selain itu, beliau juga aktif sebagai model dan dikenali dengan personaliti yang merendah diri.
Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan cucu kepada Mufti pertama Kuala Lumpur, Tan Sri Dato’ Sheikh Abdul Mohsein bin Haji Salleh, yang terkenal sebagai tokoh agama berpengaruh, fasih berbahasa Arab dan Inggeris serta sering muncul dalam program keagamaan di televisyen pada zamannya.
Menurut Sufian, mereka masih dalam proses memilih nama yang sesuai untuk si comel, namun memberi bayangan nama tersebut akan bermula dengan huruf ‘SR’ iaitu gabungan nama Sufian dan Rania.
“Selepas bersalin, kami mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa. Kami masih baharu dan belum ada pengalaman menjaga bayi. Banyak perkara yang perlu kami belajar,” tuturnya dengan penuh rasa syukur.
Kehadiran bayi perempuan ini menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupan mereka sebagai ibu bapa, yang pastinya bertambah erat dan bahagia.
Semoga dengan kelahiran zuriat pertama ini menyerikan lagi rumah tangga Sufian dan Suhaimi. Semoga ibu dan anak cepat sihat dan Rania tenang melalui fasa berpantang. Tahniah!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.