
Taufik Batisah bukti lelaki setia, usaha teman isteri 6 kali IVF dan pernah diuji keguguran untuk dapatkan zuriat. Dalam perkongsian terbarunya menerusi podcast Couch Conversations, kisah hebat selebriti Singapura ini menyentuh banyak hati, membuka sisi peribadi seorang suami yang setia dalam menghadapi ujian rumah tangga.
Dalam kehidupan berumah tangga, tidak semua impian hadir tepat pada waktunya. Ada yang diuji dengan rezeki yang tertangguh, ada juga yang diuji dengan sabar yang panjang. Begitulah kisah penyanyi terkenal Singapura, Taufik Batisah, dan isterinya, Sheena Akbal, sebuah perjalanan yang tidak mudah, namun sarat dengan makna tentang cinta, keikhlasan dan penerimaan.
Taufik, atau nama penuhnya Muhammad Taufik bin Batisah, bukanlah nama asing dalam industri hiburan serantau. Terkenal dengan lagu siulan ramai #awakkatmane, figura tinggi lampai itu dilahirkan pada 10 Disember 1981 di Singapura dan kini berusia 45 tahun.
Taufik mencipta fenomena apabila muncul sebagai juara pertama Singapore Idol pada tahun 2004. Sejak itu, figura ini terus aktif sebagai penyanyi, penulis lagu, pelakon serta usahawan, malah pernah meraih lebih 30 anugerah termasuk 14 Anugerah Planet Muzik.
Namun di sebalik semua kejayaan itu, kehidupan peribadinya turut diuji dengan satu perjalanan yang jauh lebih sunyi.



Menerusi satu temu bual podcast Couch Conversations, Sheena membuka ruang hatinya kepada umum tentang perjalanan mereka mencuba untuk mendapatkan zuriat. Sebelum mendirikan rumah tangga pada tahun 2015, mereka sudah berbicara tentang impian membina keluarga. Impian yang pada awalnya tampak sederhana, Taufik mahukan tiga orang anak, Sheena pula dua. Namun takdir menulis kisah yang berbeza.
Hari ini, mereka masih berdua.
6 Kali Usaha, Satu Luka Yang Sukar Dilupakan
Perjalanan Taufik Batisah bukan sekadar mencuba, tetapi melalui proses perubatan yang mencabar. Sheena mendedahkan bahawa beliau telah menjalani enam kitaran rawatan IVF (in vitro fertilisation), selain pernah mengalami keguguran. Setiap usaha itu bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, tetapi juga emosi yang tidak ternilai.


Menurut Sheena, setiap kitaran rawatan meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya. Perubahan pada tubuh badan, tekanan emosi dan harapan yang silih berganti mencipta ruang dalam fikiran yang sukar untuk dijelaskan.
Lebih mencabar, persoalan dari orang sekeliling sering menjadi pencetus luka lama. Soalan seperti “Bila nak ada anak?” yang mungkin dilontarkan tanpa niat jahat, sebenarnya mampu mengembalikan dirinya ke detik paling rapuh.
Tekanan Sosial
Sebagai pasangan yang dikenali ramai, mereka tidak terlepas daripada perhatian umum. Ada yang bertanya dengan nada prihatin, namun tidak kurang juga yang melangkaui batas, termasuk menyentuh perut Sheena sambil bertanya tentang kehamilan.
Namun, Sheena memilih untuk membalas dengan tenang. Dalam kelembutan itu, terselit kekuatan seorang wanita yang sedang berjuang.
“Saya hanya minta mereka doakan kami,” katanya ringkas.
Di sebalik semua itu, beliau mengakui bahawa tidak semua orang berniat buruk. Ada yang benar-benar ingin melihat mereka bahagia. Dan atas sebab itu, Sheena memilih untuk berkongsi kisah ini, agar pasangan lain yang melalui jalan sama tidak merasa keseorangan.



Perjalanan Sunyi Tetapi Setia
“Trying to conceive… ia perjalanan yang sangat sunyi,” katanya.
Namun dalam kesunyian itu, Sheena tidak pernah benar-benar sendiri. Taufik sentiasa berada di sisi, sejak hari pertama. Setiap temu janji, setiap ujian darah, setiap detik yang mencabar, beliau hadir sebagai suami, teman dan penyokong paling setia.
Di luar dunia seni, Taufik kini turut aktif sebagai perunding hartanah dan usahawan, termasuk mengusahakan restoran ayam gorengnya sendiri, Chix Hot Chicken. Namun di sebalik kesibukan kerjaya yang pelbagai, keutamaannya tetap jelas, menjadi sokongan paling kukuh buat isterinya dalam setiap fasa sukar ini.
Taufik sendiri tidak pernah melihat isterinya sebagai beban, sebaliknya mengagumi kekuatan yang dimiliki Sheena. Baginya, isterinya adalah seorang yang luar biasa.
“Saya tidak akan sesekali menyalahkan isteri saya jika kami tidak berjaya mendapatkan anak,” katanya tegas.
Belajar Reda
Berkongsi pelbagai mesej positif dan semangat luar biasa dalam mengharungi usaha mendapatkan zuriat, Taufik Batisah tidak ketinggalan meraikan hari jadi isterinya pada 27 Mac lepas, melalui sebuah hantaran istimewa…
Thank you for being the patient one, the calm one, and the wise one.
Thank you for being there for me, and for always putting others before yourself.
Thank you for loving me & standing by me thru the good and the bad.
May Allah bless and grant you the very best in this dunya and in the akhirah.
Setelah melalui pelbagai usaha dan ujian dalam perjalanan IVF, pasangan ini akhirnya sampai pada satu titik penerimaan. Mereka memilih untuk reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan.
Sheena kini melihat hidup dari sudut yang berbeza. Walaupun tanpa anak, beliau mengakui bahawa mereka telah dikurniakan begitu banyak nikmat lain dalam kehidupan.
“Kami menerima apa yang diberikan kepada kami… dan kami diberkati dengan banyak perkara lain. Alhamdulillah.”
Dalam dunia yang sering mengukur kebahagiaan melalui standard tertentu, kisah Taufik dan Sheena menjadi satu peringatan yang lembut namun mendalam, bahawa bahagia itu tidak semestinya datang dalam bentuk yang sama untuk semua orang.
Cinta Tanpa Syarat

Perjalanan mereka mungkin tidak seperti yang dirancang, namun ia membentuk sesuatu yang lebih kukuh, sebuah hubungan yang dibina atas kesabaran, empati dan kepercayaan kepada takdir.
Menariknya, sebelum mencipta nama sebagai artis, Taufik juga pernah berkhidmat dalam Pasukan Polis Singapura, satu latar belakang yang membentuk disiplin dan ketabahannya hari ini. Mungkin itulah yang menjadikan dirinya begitu teguh berdiri di sisi isteri, dalam diam namun penuh setia.
Kisah ini bukan sekadar tentang TTC atau IVF, tetapi tentang bagaimana dua insan memilih untuk terus saling mencintai walaupun dalam ketidaksempurnaan.
Dan mungkin di situlah letaknya bahagia yang sebenar, bukan pada apa yang kita miliki, tetapi pada bagaimana kita menerima dan mensyukuri setiap yang telah ditentukan.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/isteri-menteri-kesihatan-datin-seri-azlin-hezri-50-tahun-perkahwinan/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





