
AmanahRaya perkukuh budaya ESG menerusi program ‘5R & Trash for Cash’ yang berjaya menarik minat warga kerja muda terhadap amalan kelestarian, pengurusan sisa dan budaya kerja lebih bertanggungjawab.
Inisiatif yang dianjurkan bersama SWCorp Wilayah Persekutuan itu membuktikan komitmen AmanahRaya dalam membudayakan gaya hidup lestari di tempat kerja selari dengan agenda ESG yang semakin menjadi perhatian generasi profesional masa kini.
Program yang berlangsung di Vista Tower, The Intermark Kuala Lumpur itu bukan sekadar kempen biasa, sebaliknya menjadi simbol bagaimana syarikat korporat boleh menjadikan budaya lestari sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian warga kerja.

AmanahRaya Perkukuh Budaya ESG Dalam Organisasi
Sebagai antara organisasi yang aktif memperkasakan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), AmanahRaya melihat perubahan besar sebenarnya bermula daripada perkara kecil. Daripada cara mengurus sisa pejabat, penggunaan kertas hinggalah kepada tabiat membawa botol minuman sendiri, semuanya memberi kesan kepada masa depan bumi.
Menariknya, program ‘5R & Trash for Cash’ disusun dengan pendekatan lebih santai, interaktif dan dekat dengan realiti kehidupan profesional muda hari ini. Ia tidak hanya dipenuhi sesi ceramah formal, tetapi turut menampilkan aktiviti yang lebih engaging seperti kempen kitar semula di peringkat syarikat, sesi kesedaran amalan 5R, panduan pengasingan sisa secara praktikal oleh SWCorp Wilayah Persekutuan serta pameran berkaitan inovasi kitar semula dan gaya hidup lestari.
Suasana program juga cukup meriah apabila warga kerja AmanahRaya sendiri memberikan sambutan sangat positif. Hasilnya, kira-kira 730 kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpulkan sepanjang program berlangsung. Angka itu mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, namun sebenarnya memberi gambaran bahawa kesedaran terhadap pengurusan sisa semakin meningkat dalam budaya kerja korporat masa kini.
Program 5R & Trash for Cash Tarik Profesional Muda
Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan AmanahRaya, Jack Yap Ngee Heong berkata, inisiatif seperti ini menjadi bukti kesungguhan syarikat dalam menerapkan budaya kelestarian dalam operasi harian organisasi.
“Kelestarian merupakan tanggungjawab bersama dan perubahan tersebut boleh dimulai dengan aktiviti harian yang kita lakukan dalam sesebuah organisasi. Melalui program seperti ini, AmanahRaya berusaha membudayakan kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar di tempat kerja sambil menyokong aspirasi kelestarian negara,” jelas beliau.

Bagi golongan profesional muda, mesej ini sebenarnya cukup relevan. Ramai kini mula memilih tempat kerja bukan hanya berdasarkan gaji dan jawatan, tetapi juga nilai syarikat terhadap isu sosial dan alam sekitar. Budaya kerja yang lebih lestari dilihat mampu memberi rasa tanggungjawab, keseimbangan dan makna yang lebih besar dalam kerjaya.
Sejak memperkenalkan pelan ESG pada tahun 2023, AmanahRaya telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan sisa operasi syarikat. Menariknya, pencapaian mereka bukan sekadar di atas kertas apabila sasaran awal pengurangan sisa operasi sebanyak 10 peratus berjaya dilepasi lebih awal.
Inisiatif ESG AmanahRaya Ke Arah Masa Depan Lestari
Antara langkah yang telah diperkenalkan termasuk mengurangkan penggunaan kertas melalui proses pendigitalan, meminimumkan amalan percetakan dan menghapuskan penggunaan botol air plastik sekali guna dalam program dalaman serta luaran syarikat.
Pendekatan ini selari dengan gaya hidup generasi baharu yang semakin mengutamakan konsep minimalis, digital dan mesra alam. Dalam dunia yang bergerak pantas hari ini, ramai mula sedar bahawa perubahan besar sebenarnya datang daripada tabiat kecil yang dilakukan secara konsisten.

AmanahRaya juga meletakkan sasaran lebih besar menjelang tahun 2030 apabila komited mengurangkan sisa operasi sebanyak 30 peratus menerusi pelaksanaan amalan mampan secara berterusan, penglibatan aktif warga kerja serta program kesedaran alam sekitar.
Sebagai Pemegang Amanah Awam tunggal di Malaysia, AmanahRaya percaya kelestarian sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada prestasi produk dan perkhidmatan semata-mata. Sebaliknya, nilai sebenar turut terletak pada bagaimana sesebuah syarikat memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar secara menyeluruh.
Dalam era generasi muda semakin lantang memperjuangkan isu bumi dan masa depan lestari, program seperti ‘5R & Trash for Cash’ membuktikan bahawa perubahan tidak semestinya bermula dengan langkah besar. Kadangkala, ia hanya bermula dengan satu botol plastik yang dipilih untuk dikitar semula.
Artikel berkaitan: Dato’ Azril Radzi Terima Anugerah Ikon Usahawan Sempena Hari Belia Negara 2026
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





