
Keberangkatan Datin Lisa Surihani ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Rukun Islam kelima pada 7 Mei lalu cukup memberi kesan kepada pengarah, pelakon dan penyanyi kumpulan KRU, Datuk Yusry Abdul Halim.
Apatah lagi dia belum lagi ‘diizinkan’ olehNya untuk turut menjadi jemaah haji tahun ini sekaligus tidak dapat menemani Datin Lisa mengerjakan ibadah haji musim 1447H.
Datuk Yusry Abdul Halim Titip Doa Buat Isteri

Dihimpit rasa rindu terhadap isteri tercinta, Datuk Yusry Abdul Halim menerusi perkongsian di media sosial menitipkan doa buat suri hati kesayangannya itu agar dipermudah segala urusan di Tanah Suci.
“Isteriku tercinta. Dijemput lagi melangkah ke Tanah Suci sebagai tetamu Allah. Semoga setiap langkahmu dipermudahkan, setiap doa diangkat ke langit, dan setiap ibadah diterima dengan penuh rahmat-Nya.
Ya Allah, kurniakanlah isteriku haji yang mabrur, hati yang tenang, serta perjalanan yang dipenuhi keberkatan dan perlindungan-Mu.
Semoga pulang nanti membawa cahaya iman yang lebih indah buat diri, keluarga dan kehidupan kami.
Labbaikallahumma Labbaik. Titipkan juga doa buat kami di hadapan Kaabah nanti , du’akan juga supaya suamimu bakal menyusul bersama-samamu suatu hari nanti.”

Visa Haji Tak Lulus, Datuk Yusry Abdul Halim Reda
Difahamkan, rayuan permohonan visa haji Datuk Yusry tidak diluluskan dan menyebabkan pasangan berkenaan tidak dapat menunaikan haji bersama tahun ini.
Bagaimana pun Datin Lisa menerusi hantaran di Instagram meluahkan rasa syukur permohonannya diluluskan namun pada masa sama reda dan menerima dengan hati terbuka keputusan yang menimpa Datuk Yusry.

“Dalam menyahut panggilan suci ini, saya menyerahkan keluarga tersayang sepenuhnya di bawah jagaan dan perlindungan Allah SWT.
Ini satu peringatan untuk terus reda bahawa setiap niat dan perancangan tetap tertakluk kepada aturanNya. Mungkin kehadiran Abang lebih diperlukan di rumah untuk menjaga anak-anak sepanjang ketiadaan saya selama 45 hari.”
View this post on Instagram
Pasangan romantis ini menyambut ulang tahun perkahwinan ke-14 pada 23 Februari lalu.
Hasil perkongsian hidup, Datuk Yusry Abdul Halim dan Datin Lisa Surihani dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.
Semoga rumah tangga mereka sentiasa dalam rahmat Allah SWT dan urusan haji Datin Lisa berjalan lancar serta dikurniakan haji yang mabrur.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





