
Isteri Menteri Kesihatan, Datin Seri Azlin Hezri bahagia layari 50 tahun usia perkahwinan & terima ucapan romantis daripada suami tercinta, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 16 April 2026. Momen penuh makna ini bukan sahaja mencuri perhatian ramai, malah menjadi inspirasi indah tentang cinta orang lama yang kekal utuh hingga ke hari ini.
Mendirikan rumah tangga pada 16 April 1976, perjalanan hidup Datin Seri Azlin Hezri jelas menggambarkan sebuah hubungan yang dibina atas dasar kesetiaan, kesabaran dan kasih sayang yang mendalam. Isteri kepada ahli politik dan Ahli Parlimen Kuala Selangor berusia 70 tahun ini sentiasa tampil tenang serta manis dipandang dalam setiap penampilannya.

Sama cantik, sama padan. Perkongsian gambar pasangan ini ketika muda seakan merakam janji setia yang tidak pernah pudar. Lima dekad berkahwin, sampai sekarang tetap utuh dalam setiap susah dan senang. Datin Seri Azlin bahagia memilih untuk berjalan beriringan, menggenggam cinta yang kian utuh dimamah waktu.
Wanita penyayang ini memiliki 7 cahaya mata yang sudah menginjak dewasa. Kehidupan yang dilalui bukan sekadar sebagai isteri kepada seorang pemimpin, malah sebagai ibu dan nenek yang menjadi tunjang kekuatan keluarga.
Layari 50 Tahun Usia Perkahwinan
Usia 50 tahun perkahwinan bukanlah satu jangka masa yang singkat. Foto-foto kenangan yang di-throwback ke media sosial, memperlihatkan keindahan cinta yang tidak lapuk ditelan masa. Dalam dunia yang semakin mencabar, kisah sebegini jarang ditemui dan wajar dijadikan contoh oleh pasangan masa kini.
Selain bergelar Penaung Puspanita Cawangan Kementerian Kesihatan Malaysia (PCKKM), Datin Seri Azlin juga pernah menjadi aktivis masyarakat dan perunding motivasi keluarga yang berkaliber. Beliau aktif memberi ceramah keibubapaan serta kerap turun padang menyantuni masyarakat. Sumbangan beliau memperlihatkan sisi wanita yang bukan sahaja berdedikasi kepada keluarga, tetapi juga kepada komuniti.

Sifat keibuan dan keprihatinan terhadap nasib orang ramai menyerlahkan kecantikan dalaman beliau. Inilah kekuatan sebenar yang menjadikan dirinya bukan sahaja disayangi keluarga, tetapi juga dihormati masyarakat.
Ucapan Romantis Yang Menyentuh Jiwa
Paling mencuri perhatian adalah luahan hati suaminya, YB Menteri Kesihatan di Facebook. Ramai yang tersentuh membaca bait-bait penuh kasih yang menggambarkan hubungan mereka yang begitu mendalam.
==========================
Duhai isteri yang diciptakan Allah untuk ku,
Genap setengah abad kita melayari bahtera ini, namun debaran kasihku terhadapmu tetap utuh, tidak pernah berubah. Ingin aku titipkan bicara ini sekali lagi…
Bahawa engkaulah Teman hidupku, permata hati, anugerah Allah yang paling agung dalam lembaran hidup ini.

Lima dekad yang kita lalui menjadi saksi betapa tabah dan teguhnya dikau di sisiku. Dikaulah tiang kekuatanku disaat aku rebah, dan dikaulah ketenangan yang mendamaikan disaat jiwaku gelisah lagi resah. Setiap detik bersamamu adalah nikmat Ilahi yang tidak terhitung harganya.
Kasihku padamu tiada bertepi, hingga ke hela nafas yang terakhir. Dan biiznillah, semoga cinta ini bersambung lagi, terus mekar abadi di Jannah yang hakiki.
Yang menyintaimu selamanya, 💖💕💕💖
Dzulkefly Ahmad
16 April 1976 – 16 April 2026
==========================
Inspirasi Cinta Orang Lama
Cinta sejati memerlukan usaha, kesetiaan dan doa yang berterusan. Bukan mudah untuk mengekalkan hubungan selama lima dekad, namun pasangan ini berjaya melakukannya dengan penuh harmoni.

Sikap suami yang menghargai isteri melalui kata-kata romantis jelas menunjukkan bahawa penghargaan kecil mampu memberi kesan besar dalam rumah tangga. Tidak hairanlah hubungan mereka kekal erat walaupun telah melalui pelbagai fasa kehidupan bersama.
Makin eratlah kasih sayang kalau suami pandai ‘meratukan’ isteri begini. Ia bukan sahaja membuatkan isteri rasa dihargai, malah menghidupkan semula rasa cinta seperti di awal perkahwinan.
Semoga kisah Datin Seri Azlin Hezri menjadi inspirasi buat semua pasangan untuk terus menyemai cinta, menghargai pasangan dan membina rumah tangga yang bahagia hingga ke akhir hayat.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/pengiran-anak-isteri-sarah-cecah-39-tahun/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





