
Terpesona memandang kejelitaan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman saat meraikan ulang tahun ke-39. Aura diraja yang dimilikinya jelas terpancar, kekal anggun dan langsing meskipun telah dikurniakan empat cahaya mata.
Keindahan peribadi ini bukan sekadar pada rupa, tetapi turut mencerminkan disiplin, gaya hidup sihat dan keperibadian yang tenang. Sosok wanita bangsawan ini terus menjadi inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Brunei, malah wanita serantau yang mengagumi keseimbangan antara keluarga, kesihatan dan tanggungjawab diraja.
Meninjau ke laman sosial, majoriti rakyat Brunei tidak melepaskan peluang menitipkan ucapan penuh kasih sempena ulang tahunnya yang ke-39. Ucapan yang diluahkan sarat dengan doa kesejahteraan dan tanda penghargaan terhadap keperibadian baginda yang dekat di hati rakyat.
Perkongsian Uniklearn sempena Hari Raya Open Centre 2026 mereka yang dihadiri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah baru-baru ini pastinya lebih bermakna. Kejutan kek hari jadi buat Tuanku gembira!



Momen Istimewa Cecah 39 Tahun
Menerusi perkongsian di laman media sosial oleh akaun @thelittleleafbakery, wajah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah yang mengenakan busana kurung hijau lembut mencuri perhatian ramai.
Antara ucapan yang dikongsikan berbunyi, “Happy 39th Birthday to HRH Princess Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman. May Allah bless HRH with good health, long life and infinite love and happiness with your family and your beloved people.”
Ucapan tersebut disusuli dengan doa dalam Bahasa Melayu, “Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa dalam lindungan-Nya, bahagia di dunia dan akhirat.”
Tanggal 9 April bukan sekadar tarikh ulang tahun, tetapi menjadi momen istimewa yang menyatukan doa dan kasih rakyat Brunei terhadap personaliti diraja yang disayangi.
Pendidikan Tinggi Dan Keperibadian Berwibawa
Di sebalik kelembutan peribadi, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah turut dikenali sebagai wanita berpendidikan tinggi. Baginda merupakan graduan Universiti Brunei Darussalam dan berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Dasar dan Pentadbiran Awam dengan Kepujian Kelas Pertama.
Kecemerlangan akademik ini mencerminkan ketajaman intelektual serta komitmen baginda terhadap ilmu, sekali gus memperkukuhkan peranan sebagai figura wanita diraja yang berwibawa dan berpengaruh.


Aktif Dalam Sukan Dan Aktiviti Kebajikan
Selain menyerlah dalam bidang akademik, baginda juga aktif dalam aktiviti kecergasan dan kebajikan. Antara pencapaian membanggakan termasuk penyertaan dalam pertandingan kecergasan antarabangsa HYROX yang berlangsung di Singapura pada Julai 2025.
Tidak terhenti di situ, baginda turut aktif menyertai acara larian serta sukan pickleball, menunjukkan komitmen terhadap gaya hidup sihat yang konsisten.



Dalam aspek kebajikan, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah juga dikenali dengan usaha berterusan menderma darah setiap tahun. Menerusi perkongsian akaun SR Design Brunei, baginda dilihat tenang menjalani prosedur menderma darah di Pusat Derma Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sikap prihatin ini memperlihatkan keperibadian baginda yang merendah diri dan sentiasa mendahulukan kepentingan masyarakat.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah mendirikan rumah tangga bersama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al Muhtadee Billah ketika berusia 17 tahun.
Istiadat perkahwinan diraja tersebut mendapat perhatian dunia dan pernah digelar sebagai Asian Wedding of the Year. Majlis yang berlangsung penuh adat istiadat itu disaksikan oleh pemimpin dunia serta tetamu kenamaan dari pelbagai negara.
Hasil perkahwinan ini, pasangan diraja dikurniakan empat cahaya mata iaitu Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az Zahraa Raihaanul Bolkiah.


Pada usia 39 tahun, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bukan sekadar melambangkan keindahan diraja, tetapi turut menjadi simbol kekuatan wanita moden yang seimbang antara keluarga, tanggungjawab dan pembangunan diri.
Keanggunan baginda tidak dibentuk oleh kemewahan semata mata, tetapi oleh disiplin, ilmu dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Inilah yang menjadikan sosok diraja ini terus disanjung dan dihormati oleh rakyat.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/haliza-hashim-pindah-bedford-tv3-hidup-tenang/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





