
Tahniah buat penyanyi popular Sufian Suhaimi dan isteri, Rania Al Sadat selamat timang zuriat pertama baru-baru ini. Tak henti-henti memanjatkan rasa syukur, bayi perempuan yang diberi nama ‘SR’ ini dilahirkan pada 24 April 2026 secara normal.
Berita gembira ini pastinya mencuri perhatian peminat Sufian yang popular menerusi lagu ‘Menggenggam Bahagia’ dan ‘Di Matamu’. Bergelar bapa kandung pada usia 34 tahun, khabar tersebut dikongsikan sendiri oleh Sufian menerusi media sosial. Sufian sebelum ini memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Faeq Razeeq.
Selamat Bersalin di Serdang


Sufian turut meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menemani isterinya sepanjang proses kelahiran. Pengalaman melihat sendiri isteri bersalin ternyata memberi kesan mendalam dalam hidupnya.
Bayi perempuan mereka dilahirkan secara normal dengan berat 2.71 kilogram di sebuah pusat perubatan di Serdang, Selangor.
“Saya teman dan melihat sendiri proses isteri bersalin. Satu pengalaman baharu dan ia membuatkan saya lebih menghargai isteri serta ibu. Sekarang mungkin lebih selesa, tetapi kita tak tahu keadaan ibu kita dahulu,” kongsinya.
Tambahnya, fokus utama kini tertumpu kepada penjagaan bayi yang baru lahir. Sufian turut berkongsi bahawa mereka beruntung kerana menerima sokongan penuh daripada kedua-dua belah keluarga selepas bayi dilahirkan.
Pengalaman sebagai ibu bapa pertama tentu sekali berbeza. Rasa bahagia dan panik bercampur-aduk, itulah pentingnya sokongan ibu bapa dan keluarga membantu mengurangkan tekanan serta memberi ruang kepada ibu untuk pulih sepenuhnya.
Sukanya tengok wad bersalin Rania ni, tenang dan selesa siap hiasan dekorasi belon-belon pink tanda bahagia meraikan kehadiran orang baharu.


Sah bergelar isteri Sufian pada 2 Mei 2025, Rania Al Sadat bukan sahaja dikenali sebagai isteri selebriti, tetapi juga seorang wanita berpendidikan tinggi dan berkerjaya. Menurut sumber, beliau merupakan graduan Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dedah sumber lagi, Rania kini berkhidmat sebagai Peguam dan Peguambela Mahkamah Tinggi Malaya di firma guaman Izzat Othman & Co di Petaling Jaya. Selain itu, beliau juga aktif sebagai model dan dikenali dengan personaliti yang merendah diri.
Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan cucu kepada Mufti pertama Kuala Lumpur, Tan Sri Dato’ Sheikh Abdul Mohsein bin Haji Salleh, yang terkenal sebagai tokoh agama berpengaruh, fasih berbahasa Arab dan Inggeris serta sering muncul dalam program keagamaan di televisyen pada zamannya.
Fasa Baharu Kehidupan
Menurut Sufian, mereka masih dalam proses memilih nama yang sesuai untuk si comel, namun memberi bayangan nama tersebut akan bermula dengan huruf ‘SR’ iaitu gabungan nama Sufian dan Rania.

“Selepas bersalin, kami mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa. Kami masih baharu dan belum ada pengalaman menjaga bayi. Banyak perkara yang perlu kami belajar,” tuturnya dengan penuh rasa syukur.
Kehadiran bayi perempuan ini menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupan mereka sebagai ibu bapa, yang pastinya bertambah erat dan bahagia.
Semoga dengan kelahiran zuriat pertama ini menyerikan lagi rumah tangga Sufian dan Suhaimi. Semoga ibu dan anak cepat sihat dan Rania tenang melalui fasa berpantang. Tahniah!
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/taufik-batisah-ivf-kisah-cinta-setia/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


