MasyaAllah, tulusnya kasih sayang seorang ibu mentua terhadap menantu. Umum mengetahui, hubungan usahawan ternama Bonda Rozita Ibrahim dengan menantu kesayangan iaitu Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid cukup akrab.
Meskipun masing-masing sibuk dengan urusan perniagaan namun kedua-dua wanita istimewa di hati Dato’ Seri Aliff Syukri ini saling menyayangi dan menyokong di antara satu sama lain.
Membuktikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, usahawan Jamu Ratu Malaya (JRM) tersebut berkongsi foto terkini di samping menantu sambil menitipkan ucapan istimewa buat Datin Seri Shahida.
Bonda Rozita Syukur Dikurnia Menantu Baik
Dedah Bonda Rozita, “Shahida wanita yang saya kasihi, beauty with brain. Sebab tu dia jadi pilihan saya sebagai menantu. Jika saya uzur nanti saya pasti dia adalah menantu yang boleh menemani saya. Allah jagakan insan ini untuk Kri (Aliff Syukri) dan anak-anaknya.
Dia sahabat baik saya yang tahu semua kisah duka saya yang anak-anak saya pun tak tahu. Saya sorokkan – hanya dengan Ida saya ceritakan (dia wanita terhebat di hati saya).”
Ads
Pengasas jenama Sendayu Tinggi ini turut berkongsi pengalamannya menjadi menantu yang disifatkan bukan mudah dan mahu menjadi mentua terbaik kepada menantu tersayang.
“Saya patut berterima kasih pada menantu perempuan sebab dia yang melayani anak lelaki saya dalam susah senang. Saya tahu bagaimana rasanya masuk ke dalam keluarga orang. Kekok dan rasa terasing.
Saya sangat membela hak menantu kerana saya tahu kelemahan anak-anak saya. Mereka ialah anak orang yang perlu dihargai. Menantu pilihan saya Ida dan Fiza ialah hadiah termahal saya beri pada anak lelaki kerana mereka sabar, bijak, kuat. Itulah kecantikan mereka.
Dia adalah anugerah Allah yang bernilai dalam kehidupan saya. Menantu saya tak kaya tapi kaya kebaikan teramat baik, tak meminta-minta pada anak-anak lelaki saya. Saya pernah suruh Ida ambil duit Kri sebab saya risau Kri banyak peminat! Ida bukan mata duitan.”
Tambahnya lagi, “Itulah menantu. Saat saya jatuh bisnes dan emosi hal-hal family, Ida dan Fiza selalu setia temankan saya. Mereka setia dan ada untuk saya bila-bila masa. Mereka menantu berada di sisi saya!”
Bonda Rozita Berterima Kasih Kepada Datin Seri Shahida
Ternyata Datin Seri Shahida seorang wanita yang berpekerti tinggi dan sanggup lalui detik susah serta senang bersama suami tercinta sejak awal perkahwinan lagi. Kini mereka mampu hidup senang dan mewah atas kerja keras yang dilakukan selama ini. Pun begitu, pasangan suami isteri berkenaan cukup merendah diri.
Datin Seri Shahida dan Dato’ Seri Aliff Syukri mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007. Hasil perkongsian hidup selama 18 tahun, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudhah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.
Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 5 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
SYAWAL
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memilih tarikh istimewa 1.1.2022 tepat jam 11.11 pagi, berita pernikahan penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi dengan pasangan pilihan hatinya, Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman mengejutkan peminat.
Kejutan itu walaubagaimanapun diiringi dengan doa dan rasa kesyukuran, memandangkan wanita kesayangan ramai ini akhirnya menamatkan zaman bujang pada usia 36 tahun.
Pilihan Heliza juga bukan calang-calang orang. Dato’ Sri Mahadi merupakan seorang usahawan dan perunding kewangan terkemuka iaitu Presiden AUF MBZ Consortium (syarikat perkhidmatan pelaburan kewangan) berusia 39 tahun serta sangat disegani kerana kewarakannya.
Merekodkan sejarah sebagai media pertama yang menemu bual pasangan ini secara eksklusif di Instagram Live, Majalah Nona berkesempatan merungkai keindahan bercinta selepas kahwin daripada dua figura hebat itu.
Memilih untuk merahsiakan sejak bila mereka mula kenal-mengenali, pasangan pengantin baru yang mesra membahasakan diri sebagai Kak Ja dan Abang Dee itu senang berkongsi detik-detik awal pertemuan mereka.
“Kita selalu dengar bercinta selepas kahwin, tapi tak ramai yang dapat terima kenyataan… Mereka kena juga bercinta sebelum kahwin.
Sebenarnya saya dengan Kak Ja ni, sebelum kahwin, memang kami tak bercinta. Ada juga kawan yang tanya, ‘Eh macamana hang ambik dia kat umah, hang keluaq dengan kereta? Biaq betui!…’
Saya jawab tak pernah pun keluar berdua-duaan. Yang pernah pun dengan famili atau pun datang rumah masa nak merisik ke… adalah, beberapa kali dengan adik-beradik.
Perkataan sebenarnya kami ni bertaaruf, bukan bercinta. Memang kami pernah mengenali on the phone tapi tak ‘dating’ atau keluar berdua-duaan.” Abang Dee
Bagaimana kehidupan selepas kahwin, apakah banyak kejutan baru dalam proses Kak Ja dan Abang Dee dalam mengenali satu sama lain?
“Lepas kami bernikah 1 Januari, memang banyak kejutan-kejutan. Tapi kejutannya, masyaAllah! Semua kejutan yang sangat positif.
Kerana itu kami doalah supaya Allah campakkan sakinah, iaitu ketenangan yang kami perlukan.
Kurniakanlah kami mawaddah, iaitu kecintaan dan rasa kasih sayang, walaupun sebelum ni saya tak kenal detail Kak Ja, dan saya pula bukan jenis nak Google sapa dia, masuk AF itu semua. Dan berikan juga rahmah. Sebab kami niat, kami berkahwin kerana Allah.
Rasulullah pun ada kata, berkahwinlah kerana empat perkara. Alhamdulillah kalau kita utamakan agama, yang lain-lain akan ikut. Saya bersyukurlah (kerana dipertemukan dengan Heliza).” Abang Dee
Menyifatkan perasaan cinta hanya datang sebaik suaminya sah melafazkan nikah, Heliza turut memohon doa semua agar perkahwinan mereka sentiasa dikurniakan mawaddah warahmah. Bahagia dunia akhirat.
Sweetnya Abang Dee bila dedah save nama Kak Ja sebagai ‘Ketua Bidadariku’! Tersipu-sipu Kak Ja dibuatnya…
REZEKI
Sentiasa disenangi ramai dan gemar menyantuni orang susah, mungkin kerana itulah rezeki pasangan Dato’ Sri Mahadi dan Datin Sri Nurheliza Helmi sentiasa mencurah-curah.
Ramai sahabat mereka tiba-tiba ‘menghadiahkan’ majlis resepsi walhal mereka sekadar merancang melaksanakan perkara wajib saja iaitu ijab kabul.
Siapa penaja majlis resepsi Heliza Helmi? Jom tonton perkongsian mereka menerusi IG Live Nona On Air di bawah ini…
‹1›
Alhamdulillah syukur, mengalir rezeki dalam bentuk tajaan majlis resepsi buat pasangan yang disenangi ramai ni. Bukan senang orang nak taja hari bahagia kita, kan?
Didoakan semoga pasangan Abang Dee dan Kak Ja terus dilimpahi bahagia, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta beroleh syurga Jannatul Firdaus! Selamat pengantin baru daripada warga Majalah Nona!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mampu berasimilasi dan membawa karakter yang baik di depan kamera, sejujurnya sesi bersama penerima anugerah Nona Outstanding Business Award, Mohd Hafizuddin Hiew Abdullah ini merupakan antara yang tercepat berjaya diselesaikan.
Karakter Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings ini juga cukup menyenangkan, malah setiap pertanyaan penulis tentang perniagaannya dijawab dengan cukup profesional.
Diasaskan pada tahun 2016, TDC Holdings awalnya beroperasi sebagai syarikat pengedar produk makanan dan minuman kesihatan secara kecil-kecilan di Kelantan.
“Sebenarnya saya mahu menjadi usahawan kerana tidak ingin melihat kesusahan ibu yang bekerja siang malam demi menampung keperluan hidup.
Daripada pembacaan, saya mula yakin bahawa keusahawanan adalah cara terbaik untuk membela dan menjamin kesenangan hidup ibu kelak,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak itu.
Kisah kejayaan produk C2Joy, produk minuman bestsellers yang rancak menghiasi papan tanda gergasi di lebuh raya menjadi mukadimah kami.
“Alhamdulillah produk TDC iaitu C2Joy yang dijual sejak tahun 2016, BerryMix dan terkini, Colever – telah terjual melebihi 4 juta unit di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
Walaupun baru lima tahun mengusahakan perniagaan, tapi banyak pengalaman indah tercipta sepanjang saya memimpin TDC.
Antaranya ketika kami berjaya mencapai jualan RM100 juta pertama. Ia benar-benar melangkaui fikiran dan sasaran saya ketika itu.” Hafiz Hiew
Tambah Hafiz, beliau turut berbangga melihat pencapaian pengedar TDC yang dulunya fakir miskin, kini sudah mencapai tahap pendapatan bersih ke arah T20.
Berusia 34 tahun, Hafiz yang merupakan seorang mualaf memiliki kelulusan Master in Business Administration (Finance) dari Universiti Malaysia Kelantan dan Ijazah Agri-Techno Entrepreneurship, juga dari universiti yang sama.
Terdahulu sebelum itu, beliau pernah menggenggam Diploma Pengajian Islam dari Interactive Dakwah & Tarbiyah Association (IDT).
HIDAYAH
Hidayah adalah hadiah daripada Allah SWT untuk orang yang ingin menerima dan mencari-Nya dalam hidup. Keputusan lelaki dermawan ini untuk memeluk Islam sekitar 12 tahun lepas merupakan antara titik perubahan terbesar, sekaligus menjadi akar tunjang TDC Holdings yang dibina berpaksikan Al-Quran dan hadis.
“Tiada satu pun kelas, buku, seminar, mentor atau guru perniagaan yang boleh menjangkaui ilmu Al-Quran dan hadis.
Sebagai seorang Cina Muslim, saya banyak merujuk pakar umpamanya panel syariah Koperasi ANGKASA Malaysia Berhad, Lariba Consulting dan SIRIM International Berhad bagi memastikan TDC melalui pengauditan, penambahbaikan dan patuh syariah secara keseluruhannya.
Bahkan kami juga mempunyai Pegawai Eksekutif Pematuhan Syariah di TDC kerana saya percaya, ia mesti bermula dari dalaman sesebuah perniagaan itu sendiri.”
Menariknya, Hafiz juga seorang yang tekun mendalami pengajian Islam secara intensif. Kini dengan kapasiti tenaga kerja seramai 40 orang serta jumlah pengedar seluruh Malaysia dan Brunei mencapai 300,000 orang, apakah rahsia kejayaan bisnes beliau dalam tempoh yang singkat?
Sambung Hafiz, beliau banyak mendalami cara Baginda Rasulullah bermuamalat, berkomunikasi dan juga menjadi seorang Muslim yang disegani.
Sebagai seorang tokoh pemimpin yang pernah dilabel ‘Orang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah Manusia’, Nabi Muhammad SAW adalah ikon manusia terbaik di mata usahawan tersebut.
“Superhero adalah seseorang yang dapat melahirkan superhero yang lain. Dan bagi saya, proses itu amatlah susah, apatah lagi nak duplikasi dan lahirkan lebih dari seorang wira yang bagus.
Tetapi sepanjang perjalanan dakwah Baginda Rasulullah sehingga wafat, Baginda berjaya lahirkan 106,000 orang sahabat yang super hebat, dimana 100,000 orang itu keluar daripada Mekah dan Madinah untuk berdakwah ke seluruh dunia.
Bayangkan dakwah sahabat-sahabat Rasulullah ini berjaya mengembangkan Islam hingga dianuti lebih 2 billion penduduk dunia! Inilah superhero sejati di mata saya.” Hafiz Hiew
Tekad mahu membantu orang melalui perniagaan, syarikat TDC Holdings Sdn Bhd pimpinan Hafiz Hiew cukup maju di pasaran. Tonton kisah penuhnya di sini…
TERUS MELANGKAH
Jika perniagaan lain jatuh merudum akibat pandemik, rezeki Hafiz Hiew dan seluruh warga kerja TDC pula sebaliknya.
“Tahun 2020, jualan kami meningkat hampir tiga kali ganda, daripada RM33 juta kepada RM100 juta. Malah pada tahun 2021, kami juga berjaya mencapai jualan RM100 juta untuk tahun kedua berturut-turut, seawal pertengahan bulan November lagi.
Jumlah keseluruhan sedekah, infak, wakaf dan zakat TDC juga melebihi RM10 juta tunai dalam masa dua tahun.
Sebenarnya ketika PKP 1.0 diumumkan, saya bersama 40 pengedar serta staf TDC baru saja tiba di lapangan terbang sejurus melancong ke New Zealand. Pada ketika itu, hati saya sudah menjangka bahawa jualan kami mungkin merosot menjelang musibah COVID-19.
Tetapi melihat keadaan tenat golongan B40 serta masyarakat yang lebih teruk terkesan dengan pandemik ini, saya memutuskan untuk bersedekah.
Lebih RM3 juta disalurkan untuk wakaf mesin bantuan pernafasan COVID-19, bantuan ambulan, van jenazah, makanan dan kewangan kepada golongan memerlukan. Tindakan infak TDC benar-benar memberikan pulangan yang lumayan sehingga sukar saya percayai.
Selain itu, pengenalan strategi seperti online kepada para pengedar, pemantapan sistem pengedaran atas talian serta produk-produk TDC yang selama ini fokus kepada peningkatan imunisasi, semua itu memberikan satu lonjakan jualan kepada TDC secara mendadak.” Hafiz Hiew
Episod perkahwinan pertama Hafiz yang tersungkur di tengah jalan menjadi asbab kebangkitannya hari ini. Bapa kepada empat cahaya mata itu kini kembali lebih kuat dan bersemangat selepas mendirikan perkahwinan kedua dengan isteri tercinta, Siti Sabarina Mat Yusoff.
“Selain ibu, isteri saya sentiasa menjadi tulang belakang saya selama ini. Dia banyak menyokong usaha pematuhan Syariah dalam syarikat, menegur perihal amal ibadah saya serta seringkali memperbaiki diri ini dengan berhemah.
Ketika saya bekerja, dialah orang penting untuk menjaga rumah, harta dan anak-anak kami tanpa membuatkan saya risau,” jelas Hafiz sambil tersenyum.
Perasaan penulis tambah tersentuh kala mendengar kisah hidup Hafiz yang dulunya miskin dan tinggal di perumahan setinggan.
“Langit tidak selalu cerah. Pekerjaan yang dilakukan oleh ayah saya selalu turun naik. Naiknya sekejap, tapi turunnya lama. Jadi ibu terpaksa melakukan dua ke tiga kerja dalam satu hari demi membantu menyara hidup kami sekeluarga.
Mungkin kerana dibesarkan dalam keadaan begini membuatkan saya lebih menjiwai dan memahami perasaan fakir miskin.
Saya ingin cuba membantu mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan yang diwariskan kepada anak-anak, seperti keyakinan saya pada surah Al-Fathir yakni saya mengharapkan perniagaan yang tidak merugikan.” Hafiz Hiew
Petua kejayaan Hafiz cukup mudah. Infak, menjaga solat dan membaca kalam suci Al-Quran.
Kata Hafiz, TDC mengagihkan sebahagian pendapatan kepada jalan kebajikan serta menerapkan budaya ‘TDC For You’ dan #TDCHeart yang fokus untuk membantu keperluan harian golongan susah termasuk mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Tidak ketinggalan, lebih RM500,000 zakat telah disalurkan tidak termasuk infak, wakaf, sedekah dan sumbangan kepada masyarakat melebihi RM12 juta.
Kini TDC dalam proses akhir mendapatkan permit eksport ke pasaran jiran seperti Indonesia dan Singapura. Rancangan ini sebetulnya tertunda akibat PKP dan kini giat diteruskan semula sebaik sempadan negara dibuka.
Selain itu, TDC juga dalam proses penstrukturan dan pemantapan organisasi ke arah pengurusan yang lebih berkualiti selepas mendapat pengiktirafan ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Berkualiti).
Semua ini adalah berkat usaha Hafiz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif disamping bantuan pasukan TDC yang berdedikasi. Misi mereka jelas, mahu membuat persiapan awal ke arah peralihan syarikat berhad dalam pasaran bursa, kira-kira lima tahun akan datang.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Che Wann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun sudah setahun berlalu namun pemergian isteri tercinta ke rahmatullah masih meninggalkan kesan mendalam terhadap Ridz Okumura sampai ke hari ini. ‘Kehilangan’ Allahyarham Akiko Okumura pada 28 Februari 2025 bukan hanya mengejutkan warga maya yang sentiasa mengikuti perkembangannya di media sosial suami, Ridz Okumura.