
Ummi Nazeera Jadi Wakil Ibu Beri Sumbangan Zakat Kepada Sekolah
Kemunculan Ummi Nazeera yang bertandang ke sebuah sekolah baru-baru ini bagi menjayakan satu majlis sumbangan nyata menarik perhatian khalayak. Jika sebelum ini kelibat figura berkenaan sering dilihat pada majlis anugerah dan fesyen tetapi kali ini Ummi tampil berbeza sebagai tetamu kenamaan dalam acara formal.
Ummi Nazeera menerusi perkongsian di media sosial mendedahkan keberadaannya di salah sebuah sekolah berprestij di Kelantan tersebut adalah sebagai mewakili ibunya, Dato’ Sri Maziah Musa bagi menyempurnakan Sentuhan Kasih Ramadan Majlis Agihan Zakat di SMK Tok Janggut 2026 pada 15 Mac lepas.
Berdasarkan foto-foto yang dimuat naik aktres Nur Kasih tersebut, ketibaan Ummi disambut mesra kakitangan sekolah dan diiring masuk ke perkarangan sekolah seperti seorang wakil rakyat!
Malah rakan-rakan artis dan peminat sempat berseloroh tentang gaya Ummi yang tak ubah seperti Yang Berhormat (YB).
Anggun dan kemas mengenakan kemeja korporat syarikat milik ibunya iaitu Pointray (Malaysia) Sdn Bhd, selebriti berusia 35 tahun ini turut ditemani suami tercinta, Dr Mohd Izzar.
Pemilik nama Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin ini turut diberi peluang untuk memberi ucapan kepada para pelajar selain beramah mesra dan menyantuni mereka.
Kongsinya, “Alhamdulillah peluang menjalankan amanah mewakili bonda saya, Dato’ Sri Maziah Musa dan pihak syarikat untuk menyampaikan zakat kepada pelajar-pelajar SMK Tok Janggut.
Semoga ia memberi manfaat dan menjadi asbab keberkatan buat kita semua. Jadilah seperti ikan di lautan, walau airnya masin, isinya tetap tawar.
Semoga adik-adik terus teguh dengan prinsip dan jati diri dalam menempuh kehidupan. Terima kasih kepada pihak sekolah dan para guru atas sambutan serta usaha mendidik anak-anak bangsa.”
,Yang pasti, ini bukanlah kali pertama Ummi menghadiri acara rasmi mewakili syarikat milik Dato’ Sri Maziah. Pada November tahun lalu dia turut diundang menghadiri KanWork Charity Hi-Tea 2025 dan menyampaikan replika cek sumbangan kepada pejuang kanser.
Menyentuh latar belakang ibu Ummi Nazeera, Dato’ Sri Maziah Musa merupakan tokoh usahawan sukses dan berkarisma serta jelita pada usia 60an. Bahkan wanita hebat ini juga sering hadir menemani Ummi atau abangnya Nazreem ke majlis-majlis fesyen.
Dato’ Sri Maziah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pointray (M) Sdn Bhd yang mengusahakan perniagaan dalam bidang perkilangan, perabot dan fabrik.
Menjengah Instagram milik Dato’ Sri Maziah, kredibilitinya sebagai ahli perniagaan mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak. Antaranya merangkul Woman Entrepreneur Excellence, Top 10 Most Enterprising Company dari SME & Entrepreneurship Business Award 2017.
Dato’ Sri Maziah turut pernah menerima Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2014 dan Usahawan Cemerlang Negeri Terengganu 2016.
This website uses cookies.