Jangan Biar Sumpah Seranah Membunuh Jiwa, Catatan Cikgu Emmet Tentang Kes PELAJAR BUNUH DIRI Buat Ramai Tersentak!

Penulisan seorang pendidik bernama Cikgu Emmet sememangnya tak pernah gagal menzahirkan kecintaan beliau terhadap dunia perguruan yang diceburi. Cikgu Emmet merupakan seorang guru dari Perak, namun telah berkhidmat lebih dua dekad di Sarawak.

Terkesan dengan tragedi yang menimpa M Vasanthapiriya, seorang pelajar tingkatan dua yang menggantung diri akibat tertekan dengan tuduhan mencuri telefon pintar milik seorang  guru, Cikgu Emmet tampil meluahkan perasaannya buat guru-guru seangkatan.

Salam takziah buat adik M Vasanthapiriya yang menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi.

Mendiang sebelum ini cuba membunuh diri setelah dituduh oleh gurunya mencuri telefon bimbit.

Dikhabarkan pelajar ini turut dimarahi dihadapan pelajar lain malah semasa berjumpa ibubapa mendiang pun mendiang dimalukan dihadapan ibubapanya.

Antara kandungan surat terakhirnya ialah: “I want to thank my parent for take care me. I love you so much and i am so sorry” demikianlah catatan Piriya dalam suratnya sebelum cuba menggantung diri.

Sahabat saya yang sangat dihormati terutama para komrad pendidik.

Benarlah kata-kata pujangga terdahulu bahasa LISAN ITU LEBIH TAJAM DARI MATA PISAU. Saya yakin kata-kata lah yang menjadi senjata membunuh Priya. Mungkin ada kata-kata yang diluahkan dengan emosi tak stabil dan amarah yang melampau hingga boleh meruntun jiwa anak 14 tahun ini.

Kalau sebelum ini SIFAT MALAS untuk membuang kerusi buruk milik seorang manusia telah membunuh seorang remaja india yang berjalan dibawah saat Si Pemalas menghumbankan kerusi dari tingkat tinggi hingga menimpa remaja yang sangat baik dan menjadi harapan ibunya telah terkorban. Hari ini seorang remaja mati kerana Sifat Bongkak Sombong dan Takbur seorang manusia yang menjawat jawatan sebagai pendidik.

Saya juga guru…dan guru bukan maksum. Kita sama seperti mana-mana penjawat lain yang mudah khilaf dan culas.

Maka sebagai pembina asas negara dengan mendidik jiwa-jiwa muda ini harus lah dilakukan dengan bersabar dan berhemah.

Kalau dahulu kita boleh bangga dengan tamparan cikgu disiplin mampu menjadikan kita berjaya. Kita bangga dengan pulasan telinga oleh ustaz menjadikan kita umat yang taat. Namun kini zaman sudah banyak berubah. Ada diantara kita gemar mengunakan sumpah seranah dalam mendidik. BODOH TOLOL BANGANG mungkin jadi kalimat yang kita zikirkan pada telinga pelajar pelajar bermasalah.

Bilamana ada kejadian kecurian maka ugutan,cacian dan bentakan bersilih ganti diujarkan pada tertuduh.

Sedarlah komrad yang dikasihi, kadang kala kata-kata ini mampu menghiris hati tanpa mengeluarkan darah tapi airmata. Kata-kata ini boleh melukai jiwa tanpa darah namun berparut. Kata-kata boleh menyentak henyak emosi hingga remuk redam.

Apalah cercaan yang diterima oleh adik Priya ini hingga sanggup menjadikan nyawa sebagai galang ganti.

Beringatlah wahai sahabat guru ku,

Luapan marah yang tercetus akibat karenah pelajar kita haruslah ditangani secara bijak dan berhemah. Jangan biarkan emosi hangat membuka pintu para iblis masuk menyiram minyak kemarahan dan kebencian hingga mulut kita menyemburkan api makian yang merentungkan jiwa anak-anak pelajar yang masih hijau.

Semoga peringatan ini juga menjadi panduan untuk saya agar tidak mengikut emosi dalam melaksanakan pengajaran.

Kita pendidik maka didiklah dengan penuh bijaksana kerana akhirnya yang kita inginkan ialah kemenjadian anak didik yang baik, cemerlang dan berjaya dimasa hadapan.

Klik blog beliau di sini >>> Cikgu Emmet

=====================

Kronologi kes Vasanthapiriya

Vasanthapiriya, pelajar malang di SMK Methodist di Nibong Tebal, dipanggil untuk disoal siasat oleh 3 guru pada 2.00 petang Rabu lepas. Salah seorang guru wanita, menuduhnya mencuri telefon bimbit iPhone 6 miliknya. Setelah dia menafikannya, seorang lagi guru yang lain memukul belakang badannya di hadapan pelajar lain.

Masih tidak puas hati, Vasanthapiriya kemudian dikurung di sebuah bilik di kuarter pejabat guru selama 5 jam, tanpa makanan atau dibenarkan ke tandas. Pada 6.45 petang, suami guru yang hilang telefon bimbit itu tiba di sekolah. Pasangan itu mengancam akan membawanya ke polis tetapi kemudian membawa Vasanthapiriya ke rumahnya untuk bertemu ibu bapanya. Remaja itu kemudian lari ke biliknya, sementara ibu bapanya dan penuduhnya keluar rumah untuk menyelesaikan perkara itu.

Bapanya yang berusia 50-an, pulang sekitar 8.20 malam terpaksa memecah pintu bilik anaknya selepas panggilannya tidak disahut. Vasanthapiriya didapati tidak sedarkan diri dan tergantung pada sehelai selendang yang diikat pada paip pendingin hawa. Kakinya tersentuh di lantai dan dia masih hidup. Bapanya melakukan rawatan kecemasan dan membawanya ke hospital setelah gagal.

Tepat jam 3.30 pagi, 1 Februari 2018, selepas beberapa hari bertarung nyawa, pelajar itu menghembuskan nafas terakhirnya dan pergi buat selama-lamanya. Norzalina Mohd Alias

IKLAN
Share