Gaya Hidup

Jangan Duduk Lama-Lama, Berdiri 1 Minit Pun Boleh Bakar Kalori!

Istilah Sitting Disease merujuk kepada amalan duduk yang terlalu lama dan sering dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti atau sindrom metabolik. Ia juga berpengaruh untuk meningkatkan paras tekanan dan gula dalam darah, lebihan lemak di sekitar pinggang serta tahap kolesterol yang abnormal. Penghidap turut terdorong kepada kanser dan pelbagai penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung koronari, strok atau serangan jantung.

Peningkatan gaya hidup sedentari termasuk penggunaan gadget yang berlebihan juga mencetus fenomena ‘the couch potato effect’.

Berdiri, walaupun seketika, dapat membantu membina otot, memberikan postur yang baik, membakar kalori serta meningkatkan kelancaran darah dan metabolisme. Pun begitu, risiko akibat duduk terlalu lama sukar dipulihkan meski anda meluangkan masa berjam-jam untuk bersenam.

Pakar-pakar kecergasan mengesyorkan agar setiap individu berjalan sebanyak 10,000 langkah sehari bagi mengurangkan risiko kesihatan. Hanya satu penyelesaian mudah; bangun, bergerak dan kurangkan masa duduk anda.  Di pejabat, sentiasa fikirkan cara untuk berdiri atau berjalan untuk melakukan sesuatu perkara. Antaranya:

  1. Berdiri sewaktu membuat panggilan telefon.
  2. Selain mengirim e-mel, anda boleh berjalan ke meja ketua atau rakan sekerja yang lain untuk berbincang.
  3. Jika anda perlu bekerja menggunakan meja untuk jangka masa yang lama, cuba tukar kepada meja berdiri atau meja kaunter.
  4. Berdiskusi sambil berjalan-jalan bagi mengelakkan terperuk di bilik mesyuarat.
  5. Ambil jalan paling jauh untuk sampai ke ruang fotostat, pencetak atau pantri.
  6. Susun kedudukan barangan di luar jangkauan tangan. Contohnya fail di tempat tinggi, alat tulis digantung atau mengecas telefon di meja sebelah. Apa sahaja yang mendorong anda agar bergerak dari tempat duduk!
  7. Gunakan kerusi kayu tanpa alas tangan yang secara tidak langsung ‘memaksa’ anda agar duduk dengan tegak dan bergerak selalu berbanding kerusi berkusyen yang selesa.
  8. Menggunakan alat senaman NordicTrack Deskmill baharu yang membolehkan anda bekerja dan bersenam dalam satu masa. Revolusi versatil daripada Amerika Syarikat ini menggabungkan fungsi meja kerja dan treadmill agar anda dapat ‘Walk & Work’

Dengan membuat pergerakan, walaupun hanya gerakan santai sudah cukup sebagai permulaan ke arah kesihatan yang lebih baik. Anda bukan sahaja dapat membakar kalori, malah membantu menurunkan berat badan serta meningkatkan tenaga. Malahan, aktiviti yang melibatkan otot terutamanya apabila anda berdiri atau berjalan juga dapat melancarkan proses pemecahan lemak dan gula dalam badan.

 

FAKTA!

Sejurus duduk, pembakaran kalori mula menurun sebanyak 1 kalori seminit. Bermaksud jika anda duduk selama sejam, anda mensia-siakan 60 kalori berbanding jika berdiri.

 

IKLAN
Share