“Jangan Mudah Menghukum Kesilapan Orang Lain” NABILA RAZALI Cekal Hadapi Cabaran Anak Seni

Nabila Razali antara artis muda yang cukup disenangi, mudah memberi kerjasama serta sangat komited. Penulis mengenali Nabila ketika namanya berada di puncak populariti. Lagu ‘Pematah Hati’ berjaya melonjakkan namanya sebaris artis tersohor tanahair.

Manakala lagu ‘Peluang Kedua’ duetnya bersama MK K-Clique benar-benar memberi ‘penangan’ besar terhadap karier seni Nabila Razali apabila muzik videonya meraih jutaan tontonan di saluran YouTube.Kini nama Nabila Razali sering menjadi sebutan bukan saja dalam nyanyian bahkan lakonan. Dan sepanjang itulah juga berbagai cabaran yang dihadapi oleh gadis berusia 28 tahun ini.

Dipuji dikritik sudah menjadi lumrah bagi anak seni sepertinya. Tak mudah melatah, Nabila terus tersenyum meneruskan langkah walau gundah hatinya tiada siapa yang tahu.

Apatah lagi, bukan mudah untuk membina karier seni lebih-lebih lagi di zaman sosial media. Hendak mencari silap walau hanya sebesar zarah cukup mudah, hanya di hujung jari saja. Netizen hanya bersenjatakan papan kekunci untuk menghentam. Kadangkala kecaman itu melebihi pujian.

Terdahulu, walau pernah dikritik hebat dan digelar peserta bersuara ‘chipmunk’ ketika menyertai program realiti TV popular, Akademi Fantasia musim ke-10 namun graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan ini sentiasa positif. Nabila menjadikan kecaman sebagai titik mula kepada kebangkitannya sehingga berjaya meraih populariti yang tak terduga gara-gara lagu ‘Pematah Hati’.

“Saya mendapat kekuatan daripada peminat yang tanpa henti menyokong karier saya dari dahulu sampailah sekarang. Sokongan peminat mencetuskan semangat luar biasa dalam diri saya untuk terus bertahan dalam industri.

Bersama para peminat setia yang sentiasa memberi sokongan.

Kecaman dan kritikan yang mengatakan saya tak boleh menyanyi menjadikan saya lebih kuat. Ilmu dari kelas vokal yang saya sertai dulu dipraktikkan sekarang. Alhamdulillah rezeki saya dalam industri seni masih ada. Untuk sukses perlu cekal menghadapi cabaran kerana itulah yang mematangkan diri saya untuk menempuh hari-hari mendatang.

Saya sangat kagum dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah. Bukan hanya dari segi kehebatan vokal bahkan aura personaliti yang dimiliki oleh kedua-dua figura tersohor itu.

Bersama idola Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Penyanyi hebat, Dayang Nurfaizah turut menjadi sumber inspirasi Nabila Razali.

Pastinya mereka lebih tabah mengharungi liku-liku dalam perjalanan seni. Saya benar-benar menginspirasikan semangat mereka yang layak digelar ikon,” kongsi Nabila yang berpegang kepada prinsip, sentiasa meletakkan niat yang betul dalam apa jua perkara di samping fokus dan konsisten.

MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
Semoga saya dapat mengembangkan lagi bakat ke peringkat lebih jauh seterusnya membahagiakan ibu dan bapa yang selama ini menjadi tulang belakang dalam karier seni saya.

Tanpa sokongan mereka tak mungkin saya dapat menjadi seperti hari ini. Tak mungkin juga saya dapat berdiri sekuat hari ini. Pesanan saya buat semua, jangan mudah melatah dan menghukum kesilapan orang lain. Luaskan lagi minda anda agar kehidupan menjadi lebih baik dan bermanfaat buat semua.”

Kredit Foto: Instagram @nabila.razali & @dayangsayangkamu

IKLAN
Share