“Jangan TAKUT untuk MENCUBA. Kalau tidak berjaya pada kali pertama JANGAN MUDAH PUTUS ASA.”-Suzie Eryanty

Dalam usia muda, pemilik butik Temujanji, Suzie Eryanty Mohd Suleiman berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan butik fesyen yang terkenal bukan saja di Malaysia bahkan luar negara.

Berkat kegigihan dan tidak pernah mengalah, wanita yang mesra dengan panggilan Suzie ini berjaya menguruskan perniagaannya yang beroperasi sejak tahun 2014 dengan baik. Walaupun masih baru namun Suzie tidak pernah terlepas dengan cabaran yang dianggap lumrah dalam perniagaan.

SYUKUR
“Sebelum munculnya Temujanji by Suzie Eryanty, saya sering menyarungkan baju rekaan sendiri ke majlis-majlis perkahwinan rakan. Tak sangka pula ramai yang memuji dan bertanya di mana saya beli. Dari situlah timbulnya idea, apatah lagi saya juga bercita-cita untuk menjadi seorang pereka fesyen.

Alhamdulillah setakat ini sambutan sangat menggalakkan dan permintaan kian meningkat. Kebanyakan pelanggan bukan saja dari Malaysia bahkan Singapura, Brunei, Indonesia dan Dubai.

Sebenarnya perjalanan saya masih jauh memandangkan perniagaan pun masih baru. Namun saya bersyukur kerana label saya ini mudah diterima dan mendapat sambutan. Saya berterima kasih kepada insan yang selalu berada di saat susah dan senang saya iaitu Papa dan Mama. Merekalah idola serta mentor saya yang sebenar, lebih-lebih lagi Papa yang bergelar usahawan sejak muda dalam menguruskan perniagaan logistik dan kilang di Westport.

Mama pula kini masih mampu mengusahakan kolam pancing di Negeri Sembilan. Mama banyak mengajar saya dari sudut operasi serta cara mempromosikan produk. Pendek kata kami sekeluarga memang business minded,” bicara anak kelahiran Klang berketurunan Melayu-Portugis-Cina ini. Saya berpegang kepada prinsip iaitu terus berusaha keras tanpa jemu, pekakkan telinga apabila ada hal-hal negatif serta teruskan buat yang terbaik. Sentiasa menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.

MINAT
Selain pakar dalam bidang fesyen, Suzie turut memiliki kebolehan dalam bidang reka bentuk bangunan.“Kebanyakan idea reka bentuk saya curahkan pada dekorasi rumah serta butik. Dekorasi dan fesyen adalah jiwa saya. Selepas tamat belajar saya pernah bekerja sebagai arkitek dan pereka interior. Usia 26 tahun saya berjaya menamatkan pengajian dan memulakan perniagaan Temujanji,” kongsi Suzie yang gemar melakukan aktiviti sosial sejak di bangku sekolah sehingga kini.

RAHSIA CANTIK
“Untuk kekal cantik saya mengamalkan minum air suam sebaik bangun pagi dan sebelum bekerja. Jika ada masa terluang saya akan ke spa bersama Mama. Tak dilupakan ialah sedekahkan senyuman setiap hari.

TIP SUKSES
“Jangan takut untuk mencuba. Kalau tidak berjaya pada kali pertama jangan mudah putus asa. Jadilah seorang yang kreatif. Jangan sesekali menganggap pesaing adalah musuh. Salinglah membantu dan berusaha menjadi insan yang positif,” akhiri Suzie.

Gambar koleksi peribadi : Instagram Suzie Eryanty

 

IKLAN
Share