Jika Rindu Mengunjungi Masjidil Haram Boleh Kunjungi Masjid Razaleigh di Gua Musang

Masjidil Haram adalah satu di antara 3 destinasi yang sangat dituntut untuk dikunjungi oleh umat Islam selain Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.

Sebagai seorang yang beragama Islam pasti menyimpan hasrat dan cita-cita agar suatu hari nanti dapat menjejakkan kaki dan bersolat di Masjidil Haram. Bagi mereka yang sudah sampai ke masjid ini pula pasti mempunyai perasaan untuk datang berkunjung lagi dan lagi.

Bagi menyemarakkan lagi rasa rindu untuk bersolat di Masjidil Haram, kita mempunyai alternatif dengan berkunjung ke Masjid Razaleigh yang merupakan ikonik terbaharu di Gua Musang, Kelantan.

Berkeluasan 70,000 kaki persegi, Masjid Razaleigh ini direka dengan rekaan unik dan menarik menggunakan binaan berkualiti tinggi termasuk jubin dibina di atas tapak seluas 1.5 hektar.

Mula dibina pada akhir 2016, Masjid Razaleigh telah diilhamkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ini mampu menampung sehingga 3,500 jemaah pada setiap masa dengan dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram.

Kerja-kerja akhir pembinaan masjid sejak tiga tahun lepas yang menelan belanja RM28 juta masih berjalan dan bakal siap hujung tahun ini ataupun tahun hadapan.

“Masjid Razaleigh adalah yang termoden di negara ini dan belum ada dibina di tempat lain. Ia bercirikan Masjidil Haram di Makkah termasuk disediakan ruangan belajar tawaf bagi bakal haji mengikuti kursus secara sebelum ke Makkah,” kata Tengku Razaleigh.

Tambah Tengku Razaleigh, beliau sendiri mengeluarkan idea untuk membina masjid baharu termoden dan tercanggih itu supaya dapat memberi keselesaan bukan sahaja kepada jemaah daripada penduduk tempatan tetapi juga pengunjung dari luar.

“Kita sentiasa pantau pembinaan masjid ini supaya ia dapat disiapkan ikut jadual dan mempunyai seni bina menarik seperti yang kita lihat Masjidil Haram di Makkah.

“Masjid yang terletak ditapak Balai Polis lama di bandar lama, disini, bila dibuka nanti ia akan menjadi mercu tanda baharu bagi mengantikan masjid lama kerana kerap tenggelami banjir,” kata Tengku Razaleigh.

Sumber: BERNAMA
Foto: Hanita Jalaluddin

IKLAN
Share