Jika Vivy Yusof & Neelofa Pernah Bergelar ’30 Under 30 Asia’ Kini Giliran Nor ‘Phoenix’ Diana

Pada tahun 2017, Pengasas Bersama, Fashionvalet, Datin Vivy Yusof dan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor telah mengharumkan nama negara apabila tersenarai sebagai orang yang paling berpengaruh kerana berjaya memasuki senarai The Forbes 30 Under 30 Asia.

Foto: Instagram @neelofa
Foto: Instagram @vivyyusof

Senarai 30 Under 30 Asia ini merangkumi 10 kategori yang mempunyai 30 orang yang tersenarai dengan kejayaan masing-masing. 10 kategori tersebut termasuk teknologi konsumer, teknologi perusahaan, hiburan dan sukan, seni, kewangan dan ekonomi, industri pembuatan dan tenaga, penjagaan kesihatan dan sains, usahawan sosial, media, pemasaran dan pengiklanan serta rincit dan e-dagang.

Penyenaraian Nor ‘Phoenix’ Diana untuk tahun 2020 ini adalah sebagai pengiktirafannya dalam dunia sukan. Gadis yang mempunyai berat 43 kilogram dan ketinggian 155 sentimeter ini menjadi wanita Muslim Malaysia pertama menyertai acara gusti profesional.

Foto: Facebook Forbes Asia

Gadis manis yang berusia 19 tahun ini merupakan Ahli Gusti Hijab Pertama di dunia. Nor ‘Phoenix’ Diana mula mencipta fenomena setelah memenangi tali pinggang pada pertandingan Pro Wrestling-The Wrestleconi.

Siapa sangka dalam usia yang sebegini muda, Nor ‘Phoenix’ Diana yang mempunyai nama Syaradeeba ini berjaya menempatkan diri dalam senarai yang paling dikehendaki ini.

Menceritakan bagaimana hati anak ke-4 daripada 5 beradik ini boleh ‘jatuh cinta’ dengan dunia gusti yang sering digambarkan dengan kekerasan ini, “Saya bermula dengan minat sebab selalu bermain PS2 dengan adik lelaki dan tengok gusti WWE masa umur 14 tahun.

Ketika tingkatan 4 saya mencari sendiri tentang gusti. Akhirnya saya dapat berhubung dengan MYPW dan Coach Ayez. Saya telah diberi tunjuk ajar dan mendapat latihan di bawah kendalian Coach Ayez Shaukat Fonseka (Co Founder MyPW).

Kemudian saya telah diberi peluang beraksi di bawah nama My Pro Wrestling (MyPW Developmental Centre) iaitu satu-satunya tempat training ahli ahli gusti tempatan di Malaysia.

Gelanggang ini telah dibuka dan ditanggung sepenuhnya oleh Datin Maria Abdullah termasuk menyediakan lokasi untuk para ahli gusti profesional membuat persembahan. Selain beraksi di sini saya juga telah dihantar beraksi di luar negara,” bicara gadis yang diberi gelaran Nor ‘Phoenix’ Diana ini.

Ketika ditanya mengapa memilih sukan ini, jawabnya, “Professional wrestling bukan sahaja fokus pada sukan hiburan, tetapi ianya juga fokus pada meningkatkan keupayaan atletik, kekuatan fizikal dan mental, serta pembentukan peribadi diri, karisma dan keyakinan diri. Di samping itu, ianya juga merupakan seni mempertahankan diri yang praktikal.

Dalam industri gusti professional serata dunia, kebiasaannya wanita hanya dilihat sebagai pemanis mata dan tidak diambil serius kehebatan dan bakat mereka.

Saya berjaya membuktikan bahawa wanita sepatutnya dilihat atas bakat mereka dan diambil lebih serius. Namun begitu, di Malaysia pro wrestling, tiada sebarang deskriminasi terhadap bakat-bakat baik lelaki mahupun wanita,” jelas Nor ‘Phoenix’ Diana yang pernah mewakili Malaysia Pro Wrestling di luar negara.

Nasihat Nor ‘Phoenix’ Diana kepada remaja yang suka melakukan aktiviti tidak bermoral, “Cari minat yang mendalam, seperti sukan atau hobi yang berfaedah. Kemudian fokus betu-betul dengan bidang yang diceburi. Jangan buat sambil lewa, dan set kan target yang tinggi serta cuba buat yang terbaik untuk capai target itu,” kata Nor ‘Phoenix’ Diana penuh semangat.

Foto: Instagram @nordianapw

IKLAN
Share