Gaya Hidup

Jom ‘Jemput’ Rezeki, Amalkan 7 Tip Lipat Gandakan WANG RINGGIT!

Saya kenal rapat akan satu pasangan suami isteri, di mana gaji bersih gabungan kedua-dua mereka mencecah hampir RM8,000 pada setiap bulan. Akan tetapi, apa yang mengejutkan saya, pasangan ini hampir tidak mempunyai sebarang simpanan setiap akhir bulan malah dihimpit hutang keliling pinggang!

Bertanyakan terus pada mereka, saya dapati perbelanjaan mereka lebih diutamakan ke arah perkara-perkara yang tidak sepatutnya dibazirkan dan seharusnya mempunyai perancangan kewangan yang lebih sistematik. Di bawah tersenarai beberapa perbelanjaan yang pada kebiasaannya, akan membuatkan saku kita kering-kontang jika tidak diuruskan dengan bijak:

1. PENGANGKUTAN

Tidak dinafikan, kita amat memerlukan kenderaan untuk ke sana ke mari, tetapi kereta mungkin bukan jalan yang terbaik untuk melakukannya. Ini kerana, kereta menelan banyak belanja dan memerlukan kos yang tinggi untuk penjagaan dan servis. Kereta juga akan mengalami susut nilai harga seperti tiada hari esok.

Bagi memastikan kereta anda tidak memakan terlalu banyak belanja, jumlah perbelanjaan kereta dalam satu bulan dan bandingkan dengan perbelanjaan lain. Ketahui peratusan perbelanjaan kereta berbanding perbelanjaan lain. Jika anda dapati, perbelanjaan tinggi melangit, sudah tiba masanya untuk mengurangkan kos perbelanjaan.

Tip: Jika anda boleh, lambatkan proses pembelian sebuah kereta selama yang mungkin. Jika anda benar-benar memerlukan sebuah kereta, cuba dapatkan hanya sebuah untuk satu keluarga. Sekiranya anda benar-benar  ingin  memiliki sebuah kereta, lihat tips berikutnya.

2. BELI KERETA TERPAKAI

Jika anda amat memerlukan sebuah kereta pertimbangkanlah untuk mendapatkan kereta terpakai. Model kereta lama 1-2 tahun akan menyusut kira-kira 30% atau lebih berbanding harga kereta baru. Bayaran muka, bayaran ansuran, dan premium insuran juga adalah lebih rendah. Pilih dengan bijak untuk model kereta yang murah dan tidak memakan minyak yang banyak.

3. FIKIR SEBELUM MELAKUKAN SEBARANG LANGGANAN

Dewasa ini, terdapat pelbagai jenis keahlian dan perkhidmatan yang tumbuh bagai cendawan. Kebanyakan promosi yang berjaya menggoda ramai untuk menyertai dengan kos kemasukan sifar atau rendah. Misalnya keanggotaan gimnasium atau kelab-kelab kesihatan. Ramai yang mendaftar untuk langganan tahunan dan tidak hirau untuk menggunakan keanggotaan tersebut selepas beberapa bulan. Sebaliknya, daftarlah untuk satu jangka masa pendek untuk mencuba terlebih dahulu sebelum anda mendaftar untuk satu tempoh yang lebih panjang.

4. KURANGKAN CAJ TELEFON BIMBIT

Cuba meminimumkan caj telefon bimbit anda, melainkan syarikat anda membayar bil-bil tersebut, kerana perbelanjaan telefon bimbit boleh meningkat dengan cepat. Saya juga dapati bahawa ada antara rakan-rakan sepejabat yang bukan dari bahagian jualan atau pemasaran, di mana bil telefon mereka jauh lebih tinggi berbanding rakan-rakan saya yang berada di bahagian jualan! Jika anda tidak boleh mengehadkan penggunaan telefon bimbit anda, cuba dapatkan perkhidmatan prabayar.

Lihat saja kini, syarikat-syarikat telefon bimbit mengemukakan pelbagai cara untuk membuatkan anda membelanjakan lebih banyak wang dengan memuat turun nada-nada muzikal, muat turun berita dan perkembangan sukan terkini. Perkhidmatan seumpama ini bakal meningkatkan bil telefon mudah alih anda sewenang-wenangnya.

5. BELI-BELAH DALAM LAMAN SESAWANG

Anda boleh mendapatkan apa jua yang dikehendaki dari dalam laman sesawang dan kebanyakannya menjanjikan tawaran yang hebat. Kos pengendalian kedai di alam maya adalah amat minima kerana tidak perlu membayar sewa dan kos pengiklanan; akan tetapi jangan lupa memeriksa caj penghantaran.

6. BELI-BELAH BARANGAN DI LUAR MUSIM

Contoh yang amat ketara, apabila anda adalah membeli benda-benda pada akhir musim atau jualan penghabisan stok, anda boleh mendapat diskaun atau potongan harga yang banyak.

7. TUKARKAN HOBI ANDA KEPADA SUATU PERNIAGAAN

Hampir setiap orang mempunyai hobi atau ilmu pengetahuan khas tentang sesuatu topik. Gunakan bakat kreatif anda dan tukarkanlah ia menjadi satu sumber pendapatan. Jika anda celik komputer atau perisian, mulakan perniagaan sambilan yang berkaitan dengan komputer atau sebagainya.

Sesungguhnya, apa yang penting adalah sebijak mana kita menguruskan perbelanjaan wang, bukan sebanyak mana wang yang kita peroleh.

IKLAN
Share