Juara Dunia 3 Kali, Legenda Ratu Boling Malaysia Shalin Zulkifli Kini Bergelar Datuk

Bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2023, nama ratu boling negara Shalin Zulkifli diangkat sebagai salah seorang penerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk hari ini.

Tampil elegan dalam persalinan kurung kelabu dan selendang putih, Datuk Shalin Zulkifli mewakili barisan ahli sukan negara yang menerima PMW di atas sumbangan besar mereka kepada negara.

Terkenal dengan gelaran Ratu Tenpin Boling, Datuk Shalin Zulkifli yang dilahirkan di Kota London ini pernah menjuarai Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali iaitu di Malaysia (2003), Mexico (2007) dan Las Vegas, Amerika Syarikat (2017).

 

 

Jasa dan bakti wanita yang kini berusia 44 tahun ini mengharumkan nama negara bukan calang-calang.

Datuk Shalin banyak menghabiskan masa remaja di gelanggang boling bagi memastikan prestasinya kekal berada di tahap terbaik dan mula bermain boling sejak usianya 9 tahun lagi.

Pemegang Ijazah Sains Sukan ini juga telah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu di tahun 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002. Bukan itu sahaja malah Shalin mempunyai kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat di peringkat senior.

 

 

 

Foto: Instagram @shalinzulkifli

 

Meskipun sudah bersara dari gelanggang boling negara, Datuk Shalin masih aktif melatih anak bangsa agar terus mengharumkan nama Malaysia dalam arena boling khususnya.

Selain Datuk Shalin Zulkifli, beberapa ahli sukan lain yang turut menerima PMW ialah bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Lim Teong Kim; atlet bina badan Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan bekas Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Karate Malaysia Datuk P. Arivalagan.

 

HARI WILAYAH PERSEKUTUAN

Astro Awani

Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan kali ini, adalah yang terakhir disempurnakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 mulai 31 Jan 2019.

“Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada pagi ini adalah merupakan kali terakhir yang dapat beta sempurnakan sebagai Yang di-Pertuan Agong,” titah baginda pada istiadat itu di Istana Negara hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri Kabinet.

IKLAN
Share