Kagum dengan bakat yang dimiliki Nursaidah Salim. Mana tidaknya, baru berusia 23 tahun tapi macam-macam benda dia boleh buat. Lebih tiga tahun bergelar penyanyi, Saidah yang kini menetap di Kuala Lumpur makin menjadi bualan di media sosial kerana kemampuannya bertutur dalam tujuh bahasa. Bukan calang-calang tu!
Saidah yang membesar di bumi Switzerland selama 15 tahun disifatkan seorang yang berani mencuba perkara baharu, kreatif dan meminati dunia seni. Selain aktif dengan kerjaya nyanyian, dia juga merupakan usahawan dan pengasas produk kosmetik Zucker & Co.
Ketika dihubungi Nona, wanita kacukan Melayu-Cina yang mesra ini teruja berkongsi kisah hidup. Enggan membangga diri dengan kebolehan yang ada, Saidah sebaliknya berharap perkongsian ini dapat dijadikan inspirasi dan pencetus semangat buat ramai wanita.
“Iya, saya merupakan pengasas dan juga pemilik produk kosmetik Zucker & Co. Ia adalah produk kecantikan handmade seperti lip scrubs, lip gloss, lip balms dan glow face mist yang vegan serta bebas ujian terhadap haiwan.
Waktu PKP ni memang banyak habiskan masa dengan memasak sebab saya suka masak di samping fokus kepada strategi jualan secara online. Selain jual produk kosmetik saya juga ada buat bisnes mengajar bahasa Jerman yang terbuka kepada orang ramai.”
Mengulas mengenai perkembangan diri, gadis yang berjiwa optimis ini mendedahkan, “Saya lahir di Zermatt, Switzerland dan dibesarkan di Zurich. Menetap di Switzerland selama 15 tahun dan sekarang tinggal di Malaysia. Sesekali ada juga ulang alik ke sana sebab nak jumpa kawan-kawan.
Masa zaman sekolah dulu, saya pernah berpindah ke 13 sekolah. Saya juga boleh bertutur dalam tujuh bahasa tapi tak semua fluent dan masih lagi belajar. Setakat ini, saya fasih berbahasa Jerman, Swiss German, English dan Melayu.
Sebenarnya saya dapat kuasai bahasa ini kerana pengaruh persekitaran masa tinggal di Switzerland. Di rumah, saya memang cakap Melayu sebab ayah strict suruh cakap Melayu. Ibu pula orang Cina mualaf. Jadi ibu ada ajar saya bahasa Mandarin sedikit,” ujarnya yang mula berdikari dan pindah keluar dari rumah ibu bapanya seawal usia 18 tahun.
Tambah Saidah lagi, “Saya fasih cakap Jerman sebab banyak guna bahasa tu di sekolah dan dengan kawan-kawan. Kami berbual dalam bahasa Swiss German. Bahasa Perancis pula saya belajar dari umur 11 tahun sebab ia subjek wajib di sekolah. Ada belajar grammar, writing semua tapi jarang cakap Bahasa Perancis dengan kawan-kawan. Sebaliknya, belajar bahasa Itali dengan mereka.”
Diaju pertanyaan mengenai bahasa yang paling mudah untuk dipelajari, Saidah berkata mengikut pengalaman… Bahasa Itali dan Sepanyol antara bahasa yang senang untuk belajar sementara Bahasa Perancis pula agak sukar dikuasai.
Menyentuh pembabitannya dalam bidang muzik, Saidah menjelaskan sebelum bergelar penyanyi dia pernah aktif sebagai penari. “Sekarang saya ialah penyanyi syarikat rakaman Suria Records atau dikenali SRC dan alhamdulillah dah ada dua single sepanjang lebih tiga tahun dalam industri muzik. Selain menyanyi, saya juga boleh main beberapa alat muzik seperti piano, gitar dan flute.
Sebab minat nyanyi dan main alat muzik, masa umur 14 tahun saya pernah masuk pertandingan Germany’s Idol 2011. Mungkin juga kerana warisi bakat seni ayah yang boleh menyanyi dan main gitar. Kalau saya menyanyi, ayah akan main gitar. Ada masa, kami akan cipta lagu sama-sama.
Mungkin orang tak tahu saya juga seorang gimnastik dari kecil dan alhamdulillah sampai hari ni masih ingat dan boleh buat. Disebabkan di Switzerland ramai pemenang pingat emas dalam sukan gimnastik, saya tak terkecuali ikut belajar sukan tersebut sejak berusia 5 tahun lagi.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Saidah sempat berpesan agar lebih ramai dapat menguasai lebih daripada satu bahasa kerana ia sangat berguna terutamanya apabila melawat negara asing. “Kita perlu perkasa kebolehan cakap banyak bahasa sebab buat kita rasa seperti berada ‘di rumah’.
Kita juga akan jadi orang yang lebih terbuka bukan hanya kepada budaya tetapi juga tradisi pelbagai masyarakat dan membentuk diri jadi orang yang optimistic. Walau kita dah tahu budaya kita sendiri tapi percayalah banyak yang masih kita tak tahu tentang budaya dan tradisi orang lain. Jadi nasihat saya, cuba untuk belajar bahasa baru demi manfaat sendiri.”
Kredit foto: Instagram Saidah Salim
This website uses cookies.