
Marian Rivera Kini 42 Tahun Masih Popular Dalam Industri Seni Filipina
Nama Marian Rivera bukan lagi asing dalam industri seni hiburan di Filipina. Dia tidak hanya berjaya menawan peminat seni dengan kecantikan rupa paras. Tetapi juga bakat lakonan hebat yang dipersembahkan dalam setiap naskhah drama mahupun filem yang dibintangi.
Bersandarkan kelebihan yang ada dalam diri, Marian Rivera Gracia Dantes menjadi antara selebriti berkelas A di Filipina dan kekal utuh dalam dunia seni hiburan di sana. Dari zaman anak dara hingga sudah bergelar ibu kepada dua cahaya mata, populariti jelitawan ini tetap melonjak.
Bertuah empunya badan dikurniakan pakej lengkap. Tidak hairanlah, dia sering menjadi buruan dan menghiasi kempen jenama tempatan serta antarabangsa. Pendek kata, apa saja yang digayakan pasti menjadi rebutan peminat setia.
Tanggal 12 Ogos lalu genap 42 tahun usia Marian Rivera. Menjadi antara figura berjaya dan kaya di Filipina, aktres ini melakar pencapaian membanggakan apabila menggondol Best Actress Award Cinemalaya 2024.
Marian menjadi inspirasi golongan wanita bukan sekadar kerana bakat yang dimiliki tetapi juga keterampilan diri yang anggun, awet muda dan elegan. Pandai isteri Dingdong Dantes ini jaga badan!
Bersempena ulang tahun kelahiran, Marian mengambil kesempatan menitipkan ucapan terima kasih buat mereka yang tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap kariernya selama ini.
“Bab 42. Bersyukur atas kehidupan yang begitu indah dan penuh makna, dan yang paling utama, bersyukur terhadap insan sekeliling yang mengisinya dengan penuh kasih sayang. Hati saya penuh dengan rasa syukur.”
Tidak ketinggalan meraikan ulang tahun kelahiran Marian Rivera ialah suami tercinta, Dingdong Dantes.
Ucapnya, “Saya percaya saya mendapat tempat duduk terbaik di rumah ini, menyaksikan sendiri bagaimana awak berkembang menjadi seorang wanita hebat hari ini.
Saya melihat awak menjalani begitu banyak peranan, sebagai seorang ibu, isteri, anak perempuan dan sahabat. Saya rasa, itulah hakikat sebuah perjalanan hidup. Untuk terus belajar, terus berkembang dan terus berusaha menjadi versi terbaik diri kita.
Saya sangat bangga dengan siapa awak hari ini dan teruja untuk melihat apa yang menanti awak di hadapan. Selamat hari lahir, sayang.”
Artikel https://www.nona.my/makin-berjaya-dari-bisnes-bunga-segar-marian-rivera-teroka-dunia-fabrik-pula/
Marian dilahirkan pada 12 Ogos 1984 di Madrid, Sepanyol. Dia merupakan anak kepada Francisco Javier Gracia Alonso dan Amalia Revera ini yang memiliki pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari De La Salle University Dasmarinas.
Bapa Marian merupakan warganegara Sepanyol manakala ibunya pula rakyat Filipina. Disebabkan perkahwinan campur tersebut, Marian mampu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Tagalo.
Bakat Marian juga mula bersinar selepas kejayaan drama MariMar, Dyesebel, Amaya dan Temptation of Wife. Bahkan Marian juga ada bakat menyanyi. Sebelum ini Marian sudah menghasilkan dua album iaitu Marian Rivera Dance Hits dan Retro Crazy.
Marian Rivera berkahwin dengan aktor kacak Dingdong Dantes pada 30 Disember 2014. Hasil perkongsian hidup selama 12 tahun, pasangan romantis ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Maria Letizia dan Jose Sixto G Dantes IV.
This website uses cookies.