Umum mengetahui, pelakon tempatan yang mencipta nama di Indonesia, Miller Khan yang juga abang kepada pelakon Isa Khan dan adik tiri kepada pelakon Sabrina Ali sudah pun menamatkan zaman bujang dengan pilihan hatinya, Farina Rebecca sekitar setahun lalu.
Miller Khan, atau nama penuhnya Mohammad Suhaemi “Miller” bin Ali Dad Khan yang juga pernah membintangi filem Sepet arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu berkongsi yang dia kini cukup bahagia melayari bahtera perkahwinan dan mengharapkan usia perkahwinannya dilanjutkan tuhan sehingga ke Jannah.
Apa perkembangan terbaru Miller? NONA memula bicara. “Saya kini terlibat dalam pengambaran produksi filem seram terbaru yang akan ditayangkan tidak lama. Atas tuntutan kerja dan tawaran di sini, sekiranya saya punya waktu terluang, saya pasti turun ke Kuala Lumpur”.
Bagaimana Miller menjalani kehidupan selepas berumahtangga ini? Boleh kongsikan bagaimana bertemu dengan Farina? “Kami diperkenalkan oleh seorang teman lama. Dan mula jatuh cinta ketika waktu pandemik. Dia seorang yang baik hati, lemah lembut dan sopan, malah dia cukup menenangkan. Kami hampir tidak pernah bertengkar”, ulas Miller.
Ads
Jelas Farina pula, yang merupakan seorang usahawan di Indonesia, walaupun berbeza latar belakang, dia dan Miller dilihat cukup serasi. “Begitupun Miller seorang selebriti terkenal Indonesia, tapi kami juga mempunyai persamaan dari segi kesukaan pada muzik, filem dan dua-duanya kaki mengembara. Kami juga mempunyai misi yang sama”.
Apa beza Miller dahulu dan sekarang? Jelas Farina “Miller mempunyai peribadi yang baik. Dia seorang yang bertanggungjawab, bijak dan charming. Bezanya dahulu, Miller kini lebih romantis. Dia penuh dengan kejutan, malah suasana di rumah juga menyenangkan. Dia tahu bagaimana untuk menggembirakan saya.
Ads
Sejujurnya, saya lebih sukakan versi Miller yang sudah berkahwin berbanding versi berpacaran dahulu. Dahulu Miller baik, namun setelah berkahwin, dia jauh lebih baik. Dia sangat menenangkan walaupun raut wajahnya agak garang. Saya bersyukur dapat hadir ke dalam hidupnya, apatah lagi pasangan adalah cerminan diri kita”, akhiri Farina.
NONA mendoakan semoga perkahwinan Miller Khan dan Farina diberkati dan kekal sehingga akhir hayat.
Alangkah indahnya kehidupan seorang hamba Allah sekiranya menjadikan Al Quran sebagai pendamping setia dirinya, baik dari aspek kehidupan mahupun rohani. Apatah lagi sekiranya berjaya menjadi insan yang menghafaz Al Quran yang mempunyai banyak keberkatan dalam kehidupan.
Ditubuhkan pada 2018, Akademi Al Quran Amalillah atau AKMAL terus terbang tinggi mengembangkan legasi dan empayarnya. Malah kejayaan demi kejayaan diraih menjadi iltizam untuk terus melahirkan Hafiz 30 Juzuk Al-Quran dalam tempoh setahun.
Pada masa yang sama usaha pembangunan akademi ini memiliki enam cawangan serata negeri itu juga semakin disedari.
Ketika ini, akademi terbabit yang beribu pejabat di Marang, Terengganu turut memiliki cawangan di Bukit Beruntung, Batu Pahat, Shah Alam dan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Ketua Pegawai Operasi AKMAL, Imam Muda Fakhrul, mereka terus optimis mengangkat akademi berkenaan ke tahap yang lebih membanggakan.
“Cabaran ketika era pandemik itu memang sangat besar kerana kebiasaan dan tradisi pengajian Al-Quran itu secara berdepan. Tapi mahu atau tidak, kena biasakan cara belajar dalam talian.
“Bagai rahmat dalam ujian, ia membuka kejayaan besar kerana dengan cabaran tersebut kami berjaya mencipta pelbagai modul baru untuk membantu anak muda mencapai misi untuk menjadi Hafiz 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh satu tahun atau kurang termasuk memperkenalkan pengajian tahfiz secara online.
“Kita bersandarkan konsep Fast Track Tahfiz Strategy menggabungkan sistem hafalan, motivasi harian, kajian pelajar secara bersasar dan kaedah pengurusan psikologi bagi mencapai sasaran dan misi yang diingini,” katanya.
Kata Imam Muda Fakhrul atau nama sebenarnya Mohd Fakhrurrazi Hussin lagi, pada 2019, akademi ini pernah tular apabila seorang daripada 20 pelajar telah berjaya hafiz dalam tempoh lima bulan hingga berjaya mendapat liputan meluas media.
“Kisah tular itu membuatkan permintaan tinggi untuk kemasukan pelajar menyertai akademi ini. Cuma kita akui tak mampu menampung permintaan berkenaan kerana kekurangan kemudahan.
“Hingga kini usaha mengumpul dana untuk pembangunan kompleks tahfiz ini masih berjalan. Cawangan di KLIA juga hampir siap pembangunannya.
“Pada tahun 2020 di era pandemik pun, lebih 100 Hafiz dan Hafizah berjaya khatam 30 juzuk dihasilkan. Jun depan juga kita akan adakan majlis graduasi Haflah Takrimi di Terengganu meraikan lebih 200 golongan itu,” katanya.
Tambah Imam Muda Fakhrul lagi, Mac lalu mereka juga berjaya menganjurkan Majlis Khatam Perdana Hafazan 30 Juzuk Al- Quran membabitkan 75 pelajar yang majoritinya berjaya melengkapkan hafazan kurang setahun diadakan serentak di semua cawangan AKMAL.
“Tempoh khatam itu bermula dari tahun lalu hingga awal 2023. Apa yang menakjubkan kita juga berjaya mencatat rekod baru kejayaan seorang pelajar bernama Iman Mardhiyyah Kamaruzzaman yang berusia 12 tahun. Dia berjaya melengkapkan hafazan 30 juzuk selama tiga bulan lebih sahaja.
“Malah pelajar terbabit juga berjaya melengkapkan syahadah tahfiz dalam tempoh lima bulan menjadikan tempoh lengkap hafiz dan syahadah hanya dalam tempoh 8 bulan lebih. Ia satu pencapaian yang amat luar biasa dan sangat membanggakan.
“Malah kehebatan hafazan dan ingatan Al-Qurannya diuji secara disemak terus bacaan 30 juzuk Al-Quran selama dua hari tanpa melihat Al-Quran. Ia dilaksanakan oleh wakil Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dijemput dan pelajar terbabit berjaya memperolehi keputusan Mumtaz (sangat cemerlang) dari institusi berkenaan,” kata bekas peserta Imam Muda Astro Oasis musim kedua itu.
Ini jelas membuktikan AKMAL bukan hanya menekankan soal menghafal Al-Quran dalam tempoh yang cepat, tetapi turut mementingkan penjagaan hafalan yang berkualiti mengikut sistem yang telah disusun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL pula iaitu Ustaz Saifullah Hussin, pendaftaran pelajar baharu dibuat secara berfasa iaitu enam bulan sekali.
“Sistem fast track ini diwujudkan kerana mahu membantu menyelesaikan masalah kebanyakan pelajar tahfiz yang mengambil masa terlalu lama untuk menghafal Al-Quran sehingga menyebabkan mereka agak ketinggalan dalam pendidikan arus perdana dan ini memberi kesan negatif kepada imej pelajar tahfiz itu sendiri.
“Kita juga mahu menjadi peneraju konsep fast track hafazan menjelang 2025 sekali gus melahirkan ramai pelajar tahfiz yang berkualiti dan berktrampilan. Kita turut mahu menjadi pelengkap sistem pendidikan negara dalam tempoh akan datang dengan izin Allah.
“Kita mengharapkan agar usaha ini mendapat sokongan semua pihak dan sudah pasti dengan bantuan semua, cita-cita ini akan dapat direalisasikan tidak lama lagi. Bagi yang mahu menyumbang ke pautan www.hafizsetahun.com/infaq
atau mendaftar pengajian boleh layari www.hafizsetahun.com,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meneruskan tradisi Majalah Nona untuk memperkasakan wanita, sebuah program realiti TV ‘Pencarian Nona Superwoman’ telah dilancarkan secara digital hari ini.
Selari dengan format anugerah pengiktirafan Nona Superwoman Award yang berlangsung pada tahun 2018 dan 2020, penerbit Nu Ideaktiv Sdn Bhd menyasarkan golongan wanita khususnya usahawan yang mampu menjadi inspirasi kepada wanita lain.
Menawarkan hadiah lumayan bernilai sehingga RM50,000, program realiti TV yang diperkasakan oleh USANITA pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Adzliana Binti Prof Dato Sri Dr Hasan ini dicetuskan bagi membantu kaum wanita yang terjejas ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Niat USANITA untuk menjadi platform alternatif kepada usahawan wanita terutamanya dari kategori B40 bagi mengembangkan bisnes mereka dilihat selari dengan niat Majalah Nona dalam memperkasakan ekonomi wanita Malaysia.
Pencarian Nona Superwoman bakal bersiaran secara eksklusif di Astro Prima mulai Julai sebanyak lapan episod. Hanya sembilan peserta yang layak akan dipilih menerusi sesi uji bakat online, seterusnya muncul di kaca TV dan Majalah Nona.
Tirai uji bakat juga sudah mula dibuka kepada peserta yang berminat mulai 24 Mei hingga 6 Jun 2021. Caranya, klik link (sini) untuk mengisi borang penyertaan dan muat naik video pengenalan diri.
SYARAT PENYERTAAN
Kriteria positif, berpersonaliti menarik dan versatil menjadi kelebihan peserta yang memenuhi syarat-syarat berikut:
Usahawan yang menjalankan bisnes secara part time, menjadi ejen, stokis, pengedar atau dropshipper produk lain juga boleh menyertai program Pencarian Nona Superwoman.
Selamat mencuba dan semoga andalah Nona Superwoman yang dicari-cari!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bak kata pepatah, ‘Kerana Mulut Badan Binasa’… itu perumpamaan yang tepat digambarkan kepada lebih 100 pengguna laman sosial yang bakal berdepan kes saman. Semua ini gara-gara komen dan mesej berunsur ugutan dan fitnah yang dilemparkan netizen terhadap Linda Rafar susulan kes dirinya dan jururawat di sebuah hospital kerajaan di Selangor yang tular sekitar Disember lalu.
Meskipun ibu tercinta, Rasimah Abdul Rahman sudah kembali ke rahmatullah pada 11 Januari lalu namun pelbagai spekulasi terhadap Linda Rafar masih berlarutan sehingga ke hari ini. Dek kerana enggan maruah diri, suami dan keluarga menjadi bahan bualan dan diperlekehkan… penyanyi ini lantas mendapatkan khidmat peguam untuk membersihkan kembali namanya.
Menerusi sidang media yang berlangsung hari ini, Linda menjelaskan, “Saya memerlukan pihak lawyer untuk bantu. Saya tak bersalah dan tak menabur fitnah kepada sesiapa pun. Cerita yang diada-adakan itu juga tidak logik. Dengan ini saya terpaksa adakan sidang media untuk mereka (lawyer) jelaskan kepada masyarakat.
Kisah ini berlaku semasa mak sakit di hospital di Shah Alam. Apa yang berlaku adalah dugaan yang besar dan ketika itu saya tak ada memfitnah sesiapa pun. Ia adalah naluri seorang anak yang memperjuangkan hak seorang anak kepada ibu yang tengah kritikal. Apa yang dikesalkan, fitnah daripada orang yang tak tahu cerita di sebalik kejadian itu telah mengaibkan saya dan ahli keluarga.”
Akuinya lagi yang turut ditemani barisan peguam dari Nurul Hafidzah & Associates pada sidang media tersebut, “Sejak kejadian itu saya tak mampu berdepan masyarakat, tak mampu bekerja dan tak tahu macam mana nak menjelaskan kepada orang yang memandang serong terhadap kami sampaikan ia turut mengaibkan arwah mak saya.
Ia memang memberi kesan yang besar kepada diri saya sendiri. Jujurnya, saya tak boleh buat kerja dan tak boleh nak jumpa dengan orang. Sebelum arwah mak sakit lagi memang dia sentiasa ada dengan saya. Kami memang rapat dan saya tak dapat lawan perasaan bila lihat mak tak dilayan sempurna.”
Walau berdepan situasi yang menjejaskan nama baik dia dan keluarga, namun Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar tetap bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan orang sekeliling. “Kekuatan saya datang dari ahli keluarga, kakak dan suami yang banyak beri kata-kata semangat untuk saya teruskan hidup. Banyak dugaan yang pernah saya lalui. Salah satunya kehilangan anak syurga, Rezaimen Keiflin. Saya ambil masa setahun dua untuk recovered dan kembali ceria. Kali ini, saya diduga lagi dengan kehilangan mak pula. Tapi alhamdulillah saya dapat kekuatan dari orang sekeliling dan peminat.”
Berhubung kes saman yang difailkan Linda, kata penyanyi kumpulan Elite ini lagi ia melibatkan kelompok pengguna laman sosial yang mengeluarkan komen negatif dan bukan kumpulan jururawat di hospital tempat ibunya mendapatkan rawatan.
“Saya mencari komen yang betul-betul mengaibkan saya dan keluarga. Salah satunya ada yang tulis, ‘Banned keluarga Linda daripada masuk hospital kerajaan’. Itu antara mereka yang bakal berdepan surat saman kelak. Daripada 10 ribu komen yang ada di Instagram saya tu, lebih 100 orang yang terlibat dan pihak kami masih menyiasat sampai sekarang.
Ia satu perkara yang serius sebab bukan je impak kepada saya tapi kepada suami dan adik-beradik lain. Bayangkan bagaimana nak berdepan dengan rakan sekerja, peminat dan orang ramai yang bertanyakan macam-macam persoalan kepada kami.”
Moga insiden yang berlaku ini dapat dijadikan iktibar buat semua agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan pendapat tentang sesuatu perkara meskipun hanya menerusi media sosial. Seelok-eloknya biarlah perkara ini dapat diselesaikan di luar mahkamah dan tidak terus berpanjangan hingga boleh menjatuhkan reputasi mana-mana pihak.
Foto kredit: Instagram Linda Rafar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun sudah setahun berlalu namun pemergian isteri tercinta ke rahmatullah masih meninggalkan kesan mendalam terhadap Ridz Okumura sampai ke hari ini. ‘Kehilangan’ Allahyarham Akiko Okumura pada 28 Februari 2025 bukan hanya mengejutkan warga maya yang sentiasa mengikuti perkembangannya di media sosial suami, Ridz Okumura.