Kediaman Harum Dengan ‘ASAP WANGI’, Asalkan Tidak Disertai JAMPI SERAPAH

Rumah adalah syurga kita. Untuk mencipta keselesaan, salah satu caranya adalah dengan menjadikan kediaman harum dan segar. Aroma terapi, semburan pewangi dan lilin adalah pilihan yang sering digunakan. Namun, masih ada yang memilih cara tradisional seperti membakar gaharu dan palet pewangi di rumah. Adakah ia berdosa?

“Jika membakar gaharu atau sebarang bentuk pewangi yang menggunakan arang sehingga keluarnya asap tanpa disertai dengan jampi atau niat untuk memanggil syaitan, TAK MENGAPA. Rasulullah pun memasang pewangi di kediaman dan meminta agar masjid-masjid juga dipasang pewangi. Dulu-dulu, pewangi cendana memang dibakar dan ia mengeluarkan asap yang berbau harum.” Dr. Kamariah Yusoff, Ketua Pusat Pengajian di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam.

 

Tips yang anda boleh gunakan untuk menjadikan kediaman berbau harum:

Bersihkan sampah di rumah
Cuba periksa tong sampah di dalam rumah jika anda mula ‘menangkap’ bau busuk. Gunakan sabun lemon dan letakkan di dalam tong sampah yang telah dikosongkan. Campurkan dengan air dan biarkan sabun lemon menghilangkan bau yang kurang menyenangkan itu.

Segarkan kembali permaidani
Taburkan soda penaik pada keseluruhan permaidani dan biarkan seketika. Kemudian, baharulah sedut soda tadi dengan menggunakan vacuum

atau hampagas. Boleh juga digunakan pada tilam!

 

Potpuri dari dapur
Panaskan air dengan hirisan epal, lemon, oren, kayu manis, bunga cengkih dan rempah yang anda suka. Gunakan api perlahan dan tambahkan air jika mahu. Haruman yang dihasilkan boleh membuatkan anda rasa tenang dan segar.

 

Lilin
Gunakan lilin pewangi untuk yang sesuai untuk kediaman anda. Sekiranya anda mempunyai kediaman yang luas, gandakan penggunaan lilin di setiap sudut.

Daun pandan
Ambil beberapa helai daun pandan dan hiris nipis. Tambahkan juga beberapa kuntuman bunga yang berbau harum seperti bunga melur, bunga ros atau bunga kenanga. Bungkus dengan kain net dan jadikan seperti potpuri. Selain mengharumkan rumah, daun pandan juga dibenci oleh lipas.

IKLAN
Share