Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ‘musuh’ tradisinya dari China, Lin Dan dipilih dalam Hall of Fame Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023.
BWF dalam kenyataan memaklumkan dua legenda badminton yang merupakan pemain perseorangan lelaki paling dominan ketika era kegemilangan mereka telah dipilih dalam senarai pemain luar biasa badan induk dunia itu.
Majlis pemasyhuran itu dijadualkan pada 26 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Presiden BWF Poul-Erik Hoyer yang memuji kedua-dua pemain atas impak dalam pertandingan berkata, mereka akan diingati lebih daripada pencapaian dan kejayaan yang dicapai dalam kejohanan disertai.
“Chong Wei dan Lin Dan adalah antara duta terulung sukan badminton sepanjang dua dekad yang lepas. Dengan persembahan cemerlang, mereka menarik peminat dari seluruh generasi kepada sukan ini.
“Kedua-dua mereka layak berada dalam Hall of Fame,” katanya.
Ads
Chong Wei, 41 dan Lin Dan, 40, yang memulakan kerjaya mereka di peringkat antarabangsa pada awal 2000, menempa nama dalam sukan badminton sehingga masing-masing memutuskan untuk bersara pada 2019 dan 2020.
Chong Wei yang bersara akibat masalah kesihatan kanser hidung dialaminya telah meraih 47 gelaran Siri Super/Jelajah Dunia BWF sepanjang 19 tahun penglibatannya dan memegang gelaran nombor satu dunia selama 349 minggu.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu merupakan pemain badminton paling berjaya Malaysia, dengan tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 serta tiga gelaran naib juara kejohanan dunia pada 2011, 2013 dan 2015.
Sementara Lin Dan yang tiada tandingan pada penyertaan di kejohanan utama dengan dua gelaran jaguh Olimpik dan lima kejohanan dunia.
Ads
“Ukuran penguasaan antara mereka, mereka berentap sebanyak lima perlawanan akhir Sukan Olimpik dan 10 Kejohanan Dunia BWF. Chong Wei dan Lin Dan mencipta beberapa rekod sepanjang kerjaya mereka.
“Mereka juga menjadi aset penting pasukan dalam kejohanan berpasukan,” menurut BWF.
Semoga kejayaan kedua-dua bintang badminton ternama ini jadi inspirasi buat kita semua.
Ads
Sumber: Astro Awani & BERNAMA
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sememangnya anak adalah cermin dan pantulan daripada pelakuan ibu dan bapa. Setiap yang terzahir daripada sifat dan tabiat anak kebiasaanya mengikut ‘acuan’ dan apa yang dilihatnya menerusi perlakuan ibu dan bapa.
Asbab melihat kegigihan ibu dan bapanya aktif mengusahakan perniagaan sejak kecil telah membuka mata Linda Roos dan menjadikannya menyimpan cita-cita untuk bergelar usahawan. “Sejak daripada kecil lagi saya telah melihat dunia keusahawanan di depan mata.
Arwah abah dan mama saya menjalankan perniagaan mereka sendiri. Arwah abah buat bisnes pembangunan projek perumahan Ampang Indah manakala mama pula mengusahakan perniagaan hiasan dalaman,” tutur wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini memulakan bicara.
Mengutip semangat ibunya yang optimis mengembangkan perniagaan menjadikan wanita lulusan Universiti Multimedia dalam jurusan Creative Multimedia & Media Innovation ini berazam untuk mempunyai bisnes sendiri. “Saya sering lihat ketabahan dan kesungguhan mama bekerja sendiri.
Sering kali saya mengikut mama pergi kerja dan kadang-kadang duduk di meja pejabat mama dan berangan-angan sebagai seorang ‘bos’ sehingga staf mama sendiri memanggil saya ‘bos kecil’.
Sejak zaman sekolah lagi saya menyimpan impian untuk mempunyai perusahan sendiri seperti mama. Berbekalkan bakat melukis yang ada, saya melukis karakter kartun Sailormoon dan Dragon Ball untuk dijual sebagai poster. Daripada sekolah lagi saya sudah mula membuat aktiviti jualan sesama rakan,” tutur Linda Roos atau nama sebenarnya Noor Fazlinda Roos Affandey.
USAHAWAN WANITA
Beruntung Linda Roos kerana mempunyai keluarga yang mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan yang sangat dicintainya ini. “Saya menjadi saksi melihat kehebatan mama dalam dunia keusahawanan ini. Mama saya selalu berpesan dunia bisnes tanpa ilmu dan keberanian tidak akan menjadikan kita berjaya dalam apa yang kita hendak lakukan.
Saya pegang hasrat untuk terjun dalam dunia perniagaan dan menjadi usahawan sehingga saya benar-benar yakin. Berbekalkan ilmu yang dipelajari dan pengalaman dalam industri ini serta networking yang saya ada barulah saya berani buka perniagaan Sendirian Berhad di usia 26 tahun,” ucap wanita yang kini berusia 36 tahun dan mempunyai hobi berbasikal.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini telah mencipta kelainan dalam dunia niaga dengan mengetengahkan bisnes rekaan hiasan dinding. “Saya pilih untuk mewujudkan bisnes produk hiasan dinding sebab hasil daripada rujukan pasaran dan tinjauan yang saya lakukan, rata-rata orang sekarang mengabadikan foto istimewa mereka hanya di platform media sosial sahaja.
Kita sendiri boleh lihat sampai berpuluh ribu foto peribadi tersimpan dalam telefon pintar. Tabiat orang sekarang yang sentiasa ingin benda yang mudah dan cepat sebab masa memang berlalu bergitu pantas.
Jadi, produk hiasan dinding saya ini hanya ikut 3 langkah untuk dimuat turun dalam sistem dan akhirnya bila tempahan sampai di rumah tinggal pasang sahaja. Produk kami juga tidak memerlukan pelanggan menggunakan paku untuk mengetuk dinding kerana sudah disediakan pelekat khusus untuk hiasan dinding.
Lagipun, memang niat asal saya untuk mewujudkan kembali tangible value kepada generasi akan datang sebab generasi sekarang lebih memandang ke arah ‘comments and share‘ setiap foto yang dikongsi di media sosial.
Tapi sebenarnya foto atau memori kita ni lebih daripada itu. Tengok sahaja cara ibu bapa kita ambil setiap foto masa kecil dan simpan untuk tatapan masa depan di dalam album dan dinding rumah. Sebab mereka tahu value of appreciation,” terang Linda Roos panjang lebar.
SOKONGAN KELUARGA
Menjadi usahawan sangat penting mempunyai support system yang bagus. Linda Roos bersyukur kerana mempunyai sebuah keluarga yang sangat menyokongnya. “Mama adalah inspirasi saya untuk sentiasa meneruskan dalam dunia perniagaan. Kata-kata nasihat dan pengalaman yang selalu beliau ceritakan buat saya kuat dan kena bersedia untuk face the worst in order to survive dalam dunia perniagaan.
Suami dan anak-anak pula adalah sumber semangat saya untuk buat yang terbaik kerana melihat mereka yang sentiasa terhibur dan berbangga dengan pencapaian membuatkan saya lebih seronok untuk berjalan lebih jauh lagi.
Saya percaya restu dan doa seorang suami yang buatkan saya masih kuat bertapak dalam dunia perniagaan ini. Manakala adik beradik saya mereka yang menjadi rujukkan terdekat dalam memberi pendapat dan sokongan moral,” ujar anak keempat daripada lima orang adik-beradik ini mengakhiri perbualan.
Linda Roos bersama 11 finalis lain bakal menemui anda semua menerusi Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh USANITA.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pertama kali melangkah keluar dengan transformasi hijab sepenuhnya, Fazura akui sungguh tenang.
Sembunyikan amal ibadahmu, sebagaimana engkau menyembunyikan aib-aibmu.
Penghijrahan Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura sememangnya sudah diduga sejak awal lagi. Bermula dari sekadar berhijab hanya pada bulan Ramadan, Fazura dilihat perlahan-lahan menyenangi helaian yang lebih longgar dan sopan.
Tidak mendadak, akhirnya transformasi Fazura secara rasmi berlaku pada penghujung 2021. Fattah Amin dan ahli keluarga Fazura pastinya menjadi orang terawal paling gembira melihat perubahan wanita berusia 39 tahun itu.
Perancangan manusia itu usaha dan perancangan Allah itu takdir. Sudah ditentukan penampilan Fazura sebagai penghias cover digital Majalah Nona sempena Ramadan ini akhirnya membuka banyak kisah yang menjadi tanda tanya.
“MasyaAllah, Dia permudahkan semua yang Faz buat. Apa saja yang terdetik di hati, tiba-tiba jadi mudah. Now I respect myself more!”
Ketika ditanya soal penghijrahan, jawapan Fazura ini menerangkan perasaannya.
“Saya pun risau masa mula-mula nak berhijrah dulu. Tapi niat saya hanya untuk Allah Taala. Bukan untuk riak.
Semua ibadah yang saya buat, biarlah itu di antara diri saya dan Allah SWT. Bukan untuk media sosial. Bukan untuk tatapan umum.
Kalau ‘ditayangkan’ saya sedang bersolat atau mengaji, terasa macam riak pula dan itu amatlah sia-sia.” Fazura
Sambil mengiyakan pendapat bahawa untuk bertudung itu mudah tapi untuk beristiqamah itu yang susah, Fazura yang sangat menyenangi bacaan Yasin dan surah Al-Waqiah tegas berpegang pada niat sebenarnya, iaitu menjadi wanita Muslimah.
“Of course everyone has their own struggle. Macam saya yang baru berhijrah pun, hati selalu berbolak-balik.
Saya selalu berdoa dan mohon juga doa semua kepada Allah agar kebaikan ini berterusan buat selama-lamanya.”
Fazura juga menolak sangkaan klise tentang fenomena artis bertudung semata-mata untuk berniaga. Itu baginya ibarat kerja si penunggang agama!
Husnuzon dengan takdir Allah, pasti hikmah di sebaliknya besar sekali. Sebagai wanita yang pernah menjadi ikon fesyen, adakah jiwa Fazura terhadap seni fesyen telah benar-benar berubah?
“Sekarang Faz lebih seronok dan suka berfesyen, malah makin suka explore macam-macam gaya hijabi. Mujurlah sejak dulu Faz seorang yang ringkas dan suka tudung bawal.
Koleksi wardrobe pun banyak seluar jeans dan oversized shirt yang sesuai dengan diri Faz yang baru. Cuma itulah, Faz nak cuba lebih banyak stail berbeza.” Fazura
Galak Fazura bercerita usikan teman hijab stylist, rasa insecure tentang ‘pipi tembam’ bagai tak boleh dipisahkan.
“Mereka selalu melenting bila saya minta ‘depankan’ tudung. Saya suka minta stail yang buat pipi nampak runcing dan tirus. Padahal pipi tak tembam pun. Kita je selalu rasa macam tu pada diri kita.”
RAMADAN
Sambutan Ramadan tahun ini tentu sekali lebih meriah selepas dua tahun menyambutnya dalam suasana pandemik. Bermula 1 April 2022, Malaysia secara rasmi memasuki fasa peralihan endemik COVID-19, sekaligus membenarkan semula pembukaan bazar Ramadan, berterawih di masjid serta pulang ke kampung halaman.
Walau bagaimanapun, ibadah puasa pastinya tidak akan sama seperti dulu selepas bapa Fazura kembali ke rahmatullah dua dekad lalu.
“Yang paling Faz rindukan adalah berpuasa dengan arwah ayah. Teringat momen-momen bangun sahur, terawih dan bersolat bersama. Dan of course dengan keadaan Faz hari tu, bermacam-macam rezeki yang Allah bagi, I wish he’s here.
Alhamdulillah tahun ini merupakan tahun kedua bersama Fatima. Faz sangat-sangat gembira untuk bersama dengan dia, mungkin this time dia akan ikut bangun bersahur, berterawih dan dapat beraya dengan saudara-mara. Faz juga look forward untuk mengadakan open house nanti, insya-Allah.
Sebenarnya tiada apa-apa persiapan yang khusus, sekadar beli groceries untuk masak sahur dan berbuka. Untuk sahur biasanya Faz suka makan sup-sup, singgang, kurma dan susu. Selain tu amalkan TruFitz dan TruShakes untuk jaga kesihatan.”
Tentang persiapan raya?
“Untuk raya ni Faz dah buat tempahan baju dengan pereka baru pilihan Faz. Tapi yang paling ditunggu-tunggu tentulah juadah raya kesukaan kami iaitu lemang, ketupat, rendang daging dan kuah kacang. Fattah pun suka lemang, tapi dia paling suka sate dan apa-apa saja yang pedas.
Raya norma baharu bagi Faz adalah apabila kita menjaga diri kita, keluarga kita dan orang sekeliling kita. Make sure bila balik sebelum jumpa anak, mandi dulu.
Macam Fatima, Faz dah tak bawa dia keluar. Tradisi berkunjung dari rumah ke rumah pun belum masanya lagi, demi keselamatan. Malah kalau saya adakan open house, mungkin Fatima cuma muncul seketika.” Fazura
PERNIAGAAN
Menyifatkan kejayaan Tudung Fazura sebagai rezeki luar biasa daripada Maha Pemurah, wanita berusia 39 tahun itu terus berpegang pada nawaitu ingin membantu lebih ramai usahawan wanita.
Sambil bergiat aktif dalam dunia seni, Fazura juga bergelar usahawan dalam masa yang sama. Pembukaan butik House of Doll di Bangsar merupakan percaturan awal beliau dalam dunia perniagaan.
Kini, ibu kepada Nur Fatima Aisya ini telah berjaya melahirkan lebih banyak rangkaian jenama iaitu Fazbulous, Fazura Skincare, Fazura Beauty, Tudung Fazura, Trudolly dan sebagainya.
Ketika sesi temu bual ini dijalankan, sempat juga penulis menyaksikan satu lagi sejarah baru dalam hidup selebriti jelita itu. Impian Fazura untuk menjual telekung akhirnya tertunai dengan kolaborasi Muhayya Magical, milik pakar motivasi Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.
Apa yang jelas selepas penghijrahan ini, empayar bisnes Fazura terus berkembang pesat dan menguntungkan tanpa gimik merapu atau strategi murahan,
Tudung Fazura antara jenama hijab masa kini yang mencipta fenomena, sekaligus meletakkan nama beliau sebaris dengan usahawan selebriti Muslimah paling disegani. Satu persatu kejayaan direkodkan, antaranya koleksi Ramadan dan Syawal yang terjual ratusan ribu helai dalam tempoh yang singkat!
KERJAYA
Fazura terlebih dahulu menceburi bidang pengacaraan sebelum terjebak dalam dunia lakonan. Menjadi hos rancangan RTM, Teens World (TV2) disusuli dengan beberapa tawaran berlakon yang datang mencurah.
Beliau berjaya meraih anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik FFM17 menerusi filem sulungnya, Bicara Hati ketika usia baru menginjak 21 tahun.
Bakat Fazura telah dikesan oleh pelakon veteran terkenal, Datin Rosnani Jamil. Fazura terus mencipta nama apabila membawa pulang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2010 melalui filem Pisau Cukur.
Di FFM27, sekali lagi telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Manisnya Cinta di Cappadoccia.
Masih ingat lagi, Fazura pernah digelar Kim Kardashian Malaysia kerana menjadi artis pertama yang mempunyai program realiti sendiri? Facing Up To Fazura yang bersiaran di saluran E! Asia umpama ruang keemasan untuknya bergelar selebriti antarabangsa.
Tidak sekadar cemerlang di layar perak, Fazura terus mengukir nama dalam bidang nyanyian. Penyanyi jelita ini pernah tampil dengan beberapa single antaranya Sayangi Dirimu, Hancur Aku, Cinderella dan Bisa Apa.
Kehandalannya memasak laksa dan rendang membawa nama Ping Coombes tersohor ke seluruh England. Anak kelahiran Ipoh, Perak itu juga baru saja diangkat sebagai juara program MasterChef UK Champion of The Champions, anjuran BBC One awal Januari 2022.
Wanita berketurunan Cina dan berusia 40 tahun itu pada awalnya melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford, United Kingdom pada tahun 2000.
Selepas berumah tangga dengan Andrew Coombes pada tahun 2006, ibu kepada Alexa dan Luna ini mula mengasah bakat dan mempopularkan masakan Malaysia serta menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi.
Sering dijemput dalam rancangan talk show seperti This Morning dan Sunday Brunch, Ping turut dilantik sebagai Malaysia Kitchen Ambassador pada tahun 2016 bagi mempromosikan masakan Malaysia di luar negara.
Terkenal dengan masakan Malaysia autentik, air tangan Ping sering mendapat pujian masyarakat di sana.
Penulis buku dan guru masakan hebat ini turut menjual pelbagai pek lauk-pauk seperti daging masak lemak, ayam masak merah, kari ayam Melaka, nasi ayam, pan mee, cucur dan roti canai kepada pelanggannya di sekitar Bath, England.
Sebagai pengusaha kecil, semua masakannya dipek segar selepas dimasak. Menu air tangan Ping At Home ni sememangnya sangat laris serta mendapat banyak tempahan setiap minggu. Tengoklah tu, menu Malaysia di bumi Inggeris!
Ping Coombes melakar sejarah apabila dipilih sebagai pemenang MasterChef UK Champion of The Champions pada awal Januari. Beliau sebelum ini juga pernah memenangi MasterChef 2014 menerusi menu masakan berinspirasikan Malaysia.
Wanita berwajah keibuan ini kembali untuk program yang diadakan sempena sambutan tahun baharu itu dan bersaing dengan beberapa bekas juara lain termasuk juara 2011 Tim Anderson, Saliha Mahmood Ahmed (2017), Kenny Tutt (2018) dan Irini Tzortzoglou (2019).
BAGAI MIMPI
“Kembali ke dapur MasterChef mengembalikan begitu banyak kenangan indah dan ia membuatkan saya berasa gembira.
Saya meletakkan diri saya di sana sekali lagi, terbuka kepada kritikan jadi apabila menerima pujian, saya rasa sangat gembira.” Ping Coombes
Tambahnya, kemenangan ini adalah hadiah tahun baharu terbaik untuknya dan bersyukur kerana boleh berkongsi kecintaan tersebut dengan ramai orang.
“Masih banyak yang perlu dipelajari dan dikongsi dengan anda semua untuk tahun-tahun mendatang.
Kalau anda datang ke Bath, pastikan anda nikmati Ping At Home chilled meal atau datang ke Pings Makan Club.” Ping Coombes
Salah satu cabaran malam itu menyaksikan Ping memilih menyediakan masakan terkenal Malaysia iaitu nasi ayam claypot dan ais kacang, kedua-duanya dengan versi tersendiri, menampilkan meringue berperisa mawar dan mousse jagung.
“Saya pilih untuk membuat makanan jalanan yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia. Membesar dengan nasi ayam, saya pastikan perapan ayam diletakkan di atas nasi ketika ia hampir-hampir masak di bawah.
Ada kemahiran yang mesti dipelajari supaya nasi ayam claypot ini masak sempurna.” Ping Coombes
Salah seorang juri, Gregg Wallace menyifatkan masakan Ping sebagai ‘benar-benar lazat’, manakala John Torode, berkata masakan itu menonjolkan dua sisi berbeza Ping.
Tahniah Ping Coombes, semoga kejayaan ini menjadi inspirasi dan terus mengangkat nama masakan Malaysia di mata dunia. Nah, bukankah negara kita kaya dengan pelbagai masakan lazat setanding dengan cita rasa antarabangsa?
Foto: Instagram Ping Coombes
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
MasyaAllah, lunak suara Afiqah Jalil yang merupakan anak kepada selebriti veteran iaitu Jalil Hamid. Ternyata Afiqah atau lebih dikenali sebagai Iqa bertuah kerana mewarisi bakat ayahanda tersayang dalam bidang muzik. Dah namanya anak kepada penyanyi, pasti darah seni mengalir deras dalam diri wanita ini.