Kejayaan Luar Biasa Sebagai Atlet, YDP Agong Kurnia Gelaran ‘DATUK’ Kepada Jaguh Skuasy NICOL DAVID!

Sekalung tahniah buat jaguh skuasy negara, Nicol David yang kini dikurniakan gelaran Datuk. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada jaguh dan lagenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Beliau sememangnya layak diangkat sebagai ikon! Jika dihitung pencapaian Datuk Nicol memang tidak terkira banyaknya.

Datuk Nicol berusia 38 tahun merupakan antara 12 penerima PJN pada sesi kedua istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mendahului senarai penerima bagi istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali yang turut dikurniakan Panglima Jasa Negara.

Istiadat berlangsung dalam norma baharu susulan wabak Covid-19 dengan tetamu yang hadir perlu memakai pelitup muka, disaring suhu badan dan mengimbas kod MySejahtera di balai keselamatan Istana Negara.

Mengimbas kembali kejayaan Datuk Nicol, beliau merangkul gelaran Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia pada Februari lalu. Datuk Nicol juga berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia seawal usia 15 tahun.

Sepanjang pembabitannya sebagai atlet skuasy, Datuk Nicol meraih gelaran Juara Dunia sebanyak 8 kali dan mengumumkan persaraan pada tahun 2019.

IKLAN
Share