Kaum wanita begitu sinonim dengan kemilau indah barangan kemas PANDORA. Usaha Datin Sri Zarida Noordin membawa masuk ke pasaran tempatan jenama yang digilai ramai wanita ini bagai orang mengantuk di sorong bantal. Peminat PANDORA tidak perlu lagi ke luar negara untuk memiliki set barang kemas ini.
Sebagai wanita, mengemudi sebuah syarikat yang terkenal memerlukan komitmen dan ketegasan. “Sebagai seorang ketua, peranan saya adalah untuk membangunkan pasukan yang telah terbina. Saya tidak akan boleh berjaya tanpa sokongan daripada pasukan. Kami perlu bekerjasama demi mencapai matlamat dalam perniagaan ini.
Saya selalu menekankan kepada pasukan saya untuk meletakkan diri sendiri sebagai pelanggan. Sebagai pelanggan apa yang kita harapkan daripada jurujual dan selalu menggembirakan hati pelanggan. Khidmat pelanggan sangat penting dan saya banyak menganjurkan kursus khidmat pelanggan di kalangan pasukan saya.
Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang ketua dan mengamalkan dasar terbuka di kalangan pekerja. Mereka boleh datang berjumpa dengan saya bila-bila masa sahaja dan boleh berbual tentang apa sahaja isu. Saya tidak mempunyai sebarang hierarki dan menganggap semua pekerja adalah sama.
Ads
Saya berharap dapat memotivasikan pasukan menjadi seorang yang lebih baik. Apabila mereka mencapai sasaran secara tidak langsung saya mencapai peranan saya sebagai seorang ketua,” tegas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
Menurutnya, nilai teras yang sering diterapkan dalam pasukannya adalah kejujuran dan keikhlasan. Tambah Datin Sri Zarida kedua-dua nilai ini sangat dalam setiap aspek kehidupan. Satu lagi nilai utama yang dipegang oleh wanita ini adalah setiap orang adalah usahawan. Anggap kerjaya yang diceburi merupakan perniagaan sendiri baharu semua orang boleh berjaya.
Ads
Kami sangat menekankan jualan selepas perkhidmatan. Selepas membuat pembelian, pelanggan bebas untuk datang kembali jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati pembelian tersebut.
Ads
Apa sahaja yang dipersoalkan pelanggan kami akan cuba menangani dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama kita membina kepercayaan di antara syarikat dan pelanggan,” jelas Datin Sri Zarida.
Membawa masuk jenama antarabangsa PANDORA ke tanah air merupakan percaturan. Berjaya menjadi outlet yang pertama di Asia bukan suatu tugas yang mudah.
“Jenama PANDORA sudah tidak perlu diperkenalkan lagi ketika kami bermula pada tahun 2010. Saya masih ingat ketika di awal pembukaan dahulu ramai yang teruja apabila akhirnya terdapat sebuah concept store PANDORA di Malaysia.
Saya bersyukur kerana segala aturan kami dipermudahkan dengan masa yang tepat dan peluang tapak perniagaan yang sangat strategik. Ini adalah antara faktor kejayaan PANDORA dan telah dinobatkan sebagai salah satu francais terbaik PANDORA di Asia,” terang Pengarah Urusan PANDORA Malaysia & Brunei ini. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Orangnya masih terlalu muda. Berkahwin pada usia 21 dan menjadi seorang ibu pada usia 22. Bagi gadis lain yang sebaya, ibaratnya masih mentah dan mungkin sedang bergelumang dengan buku pelajaran atau kerjaya yang baru bertapak.
Lain kisahnya bagi Tya Arifin. Isteri kepada anak tiri Dato’ Siti Nurhaliza, Asyraf Khalid itu tidak pernah merasakan beban menggalas status ibu muda, malah berbangga dengan kelahiran Arif Jiwa Asyraf, 4 bulan.
Biarpun pada awalnya sedikit kekok, pasangan ini banyak belajar melalui pengalaman orang lain, merujuk Google dan melalui sendiri fasa try and error untuk menguruskan anak.
@tyaarifinnwJadi seorang ibu diumur 22thn itu sebuah tantangan yang mengasyikkan. Ga mudah dan ga susah. Dengan dia aku jadi banyak tau apapun ttg baby. Terimakasih Arif sudah menjadi tempat belajar ibu. Jangan bosen ye nak. I Love You!
Kalau ibu muda lain cepat putus asa untuk menyusukan anak, Tya pula sebaliknya. Wanita kelahiran Palembang itu tekad menyusukan anak secara eksklusif dan dilihat mengamalkan beberapa suplemenbooster untuk menambah susu badan. Kuat betul semangat Tya meskipun ketika bulan puasa.
@tyaarifinnwAku merasakan kebahagiaan terdalam saat menyusui bayi kecilku. Kami mengalami kontak batin terindah saat itu, really indescribable feeling. Jadi kalaupun harus menyusui berkali-kali dalam seharipun, meskipun melelahkan tapi senang rasanya.
Memang betul kata orang, bila dah ada anak kita secara automatiknya akan mahir menjadi ibu. Tya berkali-kali mengungkapkan perasaan sayangnya buat si permata hati. Hari-hari yang berlalu sungguh menyenangkan, malah terasa begitu cepat Arif membesar tanpa mereka sedari.
Nampak betul wajah keibuan Tya, paling Nona suka mestilah rambut Tya yang lebat berwarna hitam tu. Sihat dan beralun betul.
Semoga kisah ibu muda seperti Tya ini terus menjadi inspirasi kepada ibu-ibu muda yang lain. Walaupun sibuk sebagai ibu, tetap bijak jaga penampilan dan bentuk badan. Tak percaya tengoklah sendiri!
Tip Urus Masa Sebagai Ibu Muda
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau sudah kreatif apa pun ‘menjadi’. Bukan sekadar lukisan, kebolehan Ustazah Asni juga bukan calang-calang. Terbaharu, di kala berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Allah SWT telah mengilhamkan beliau untuk mencipta tabung sedekah Subuh dan tabung korban sebagai saham akhirat.
Lantas kreativitinya itu dikongsi buat semua pencinta karya seninya yang sentiasa tertunggu-tunggu dengan ‘buah tangan’ terbaharu.
TERCETUSNYA IDEA
“Tercetusnya idea untuk mewujudkan tabung sedekah Subuh ini adalah ketika saya sedang mengisi hasil lukisan yang ditempah ke dalam bekasnya. Tiba-tiba terdetik di fikiran saya, selain lukisan alangkah baiknya kalau bekas itu juga dapat memberi manfaat kepada penerimanya. Lalu saya pun mendapat idea untuk mencipta tabung sedekah Subuh.
Sebenarnya saya sudah pun memulakan projek tabung DIY ini sejak PKP lagi. Ideanya pun datang secara kebetulan, alhamdulillah saya terinovasi untuk melakukan beberapa perkara. Antaranya tabung DIY ini. Saya turut mencipta bentuk Kaabah daripada kotak-kotak.
Tabung ini diperbuat daripada paip PVC yang dipotong kemudian dibersihkan, digosok dan dicat mengikut kreativiti. Pada awalnya saya mengikut warna asal buluh pada tabung ini sehingga ramai yang ingat itu adalah buluh lemang. Sekarang ini saya upgrade semula menjadi edisi istimewa atau premium. Saya hasilkan dalam pelbagai bentuk seperti Frozen untuk anak perempuan, dan Spiderman untuk anak lelaki, pilihan warna biru dan merah.
GALAKKAN BERSEDEKAH
Tujuan utama tabung sedekah ini ialah untuk menggalakan kita bersedekah pada setiap hari dan setiap pagi. Maka dengan adanya tabung sedekah Subuh ini pagi-pagi lagi kita boleh masukkan wang. Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah bersedekah kerana bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana, dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi & al-Tabarani)
Selepas solat Subuh boleh masukkan wang ke dalam tabung. Ketika memasukkan wang niatkan untuk bersedekah. Dari segi berapa jumlah wang yang hendak dimasukkan tidak kisah asalkan ada niat untuk bersedekah pada pagi itu. Ajar juga anak-anak kita untuk menabung dengan niat hendak beramal sedekah.
Boleh keluarkan seminggu sekali atau sebulan sekali, terpulang. Yang pentingnya niat untuk bersedekah pada setiap hari telah pun terlaksana. Jika kita tidak tahu kepada siapa hendak bersedekah, boleh gunakan wang tersebut untuk belanja makan anak-anak, keluarga atau kawan-kawan. Itu juga dianggap bersedekah.
Seterusnya ialah tabung korban. Kita digalakkan melakukan ibadah korban pada setiap tahun, bukannya sekali seumur hidup. Korban umpama renew roadtax, setiap tahun kena renew. Maka kita hendaklah melatih diri dan anak-anak faham bahawa setiap orang paling tidak pun ambil satu bahagian.
Kita satu keluarga jangan langsung tiada bahagian dalam ibadah korban. Kalau kita mampu menabung untuk pergi bercuti, kenapa tidak boleh menabung untuk korban? Sedangkan itu tanda bukti cinta kita kepada Allah SWT.
Ajar tangan kita untuk selalu memberi. Kita hendak ajar diri kita supaya ‘harta’ ada di tangan. Apabila ada di tangan senang untuk lepas. Tapi kalau harta ada di hati itu yang jadi bakhil (kedekut). Ini juga adalah training untuk mengajar keluarga dan anak-anak bahawa rezeki bukan untuk kita. Dalam hidup ini kita perlu belajar memberi. Barulah hidup kita akan bahagia.”
DAKWAH MELALUI KAYRA SENI
“Terpukau melihat setiap naskhah lukisan yang dikongsi di Instagram milik pendakwah terkenal, Ustazah Asni Mansor. Lukisan yang indah, unik dan semestinya kreativiti itu datangnya dari jiwa seni yang halus. Tidak sekadar cantik bahkan setiap lukisannya itu dititipkan cebisan doa dengan maksud yang cukup mendalam.
Saya berdakwah melalui karya seni iaitu lukisan. Saya mula serius dalam lukisan sejak lapan tahun lepas. Saya memang sukakan apa jua yang berkaitan dengan seni. Selain melukis saya juga suka berqasidah, bermain kompang dan piano. Saya yakin bahawa ada bakat-bakat tertentu yang sangat berguna untuk berdakwah.
Selalunya sebelum berkarya saya akan berdoa terlebih dahulu untuk mendapatkan ilham daripada Allah SWT. Dua tiga tahun lepas sebuah stesen televisyen ada menjemput saya untuk membuat tafsir Al-Quran. Alhamdulillah tercetusnya idea untuk saya taddabur ayat itu dengan satu karya yang saya tafsirkan maksud-maksudnya.
Kadangkala tercetusnya idea apabila saya banyak menerima direct message (DM) daripada wanita-wanita yang mempunyai masalah seperti rumahtangga. Maka saya akan kongsi doa-doa melalui lukisan untuk mereka amalkan setiap hari. Saya juga kongsikan di Instagram, doa Nabi Yaakub AS yang merintih dan merayu kepada Allah SWT. Kalau Nabi pun mengadu dan merintih kepada Allah SWT kenapa tidak kita.
Selain itu, saya turut kongsikan doa-doa yang bagus untuk kita amalkan setiap hari. Contohnya kalau kita suka letakkan perhiasan di rumah, biarlah perhiasan itu bermakna. Bila dilihat dan disebut kita boleh amalkan serta mendapat pahala. Itulah maksud saya berdakwah melalui karya seni. Bukan sekadar cantik tetapi juga memberi manfaat.
Telah banyak karya seni yang telah saya hasilkan, mungkin sudah hampir mencecah seribu karya sepanjang lapan tahun. Antara penyokong serta yang telah membeli hasil karya seni saya ialah Cik Puan Muda Julita Aishah, Jihan Muse, Heliza Helmi, Fara Fauzana (Fafau), Sherry Alhadad, Diana Amir dan sahabat-sahabat di Brunei.
PENDORONG
Antara sahabat baik yang menjadi pendorong kuat untuk saya terus melukis ialah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas. Kedua-duanya sangat memberi galakan kepada saya supaya terus berkarya kerana kata mereka ini merupakan satu kelainan dan sangat bagus untuk dikongsikan. Selain itu, ibu juga pendorong kuat saya. Adakalanya beliau rajin mengikut saya pergi berkarya.”
Ustazah Asni sangat bersyukur dan gembira kerana keempat-empat anaknya mewarisi bakat melukis. Masing-masing mempunyai minat serta karakter yang tersendiri. Paling ketara boleh melukis ialah anaknya yang keempat.
Ternyata, dakwah melalui karya seni ini merupakan satu kelainan yang cukup hebat dengan bersandarkan kebolehan yang dipinjamkan oleh Allah SWT untuk memberi manfaat buat insan-insan lain.
Kredit Foto & Video: Instagram Ustazah Asni Mansor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, siapa yang tidak kenal dengan usahawan muda berusia 31 tahun, Nur Liyana Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Yaana Lee ini. Tidak berseorangan menggemudi empayar perniagaan, Yaana Lee turut dibantu oleh suaminya, Muhammad Hafiz Abdul Hamid yang merupakan tulang belakang utama di sebalik jenama Leeyanarahman.
Bukan mudah menjadi seorang public figure apatah lagi dikenali dalam dunia perniagaan. Ada saja dugaan yang menerpa. Pantang silap sedikit pasti menjadi ‘buah mulut’ khususnya di kalangan warga maya (netizen). Antaranya isu fashion show dan rentas negeri. Pun begitu, bagi Yaan Lee dia punya alasan tersendiri pada setiap perkara yang dilakukan. Apa yang penting dia dan suami menyelesaikan setiap isu yang berbangkit secara profesional.
“Bercakap tentang dugaan memang tidak pernah habis. Saya sendiri tidak nafikan setiap tahun kami pasti akan berdepan dengan dugaan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang musim perayaan. Seperti mana isu yang tular baru-baru ini tentang fashion show Leeyanarahman sehingga dikecam teruk oleh warganet. Majlis tersebut dikatakan gagal mengikut SOP seperti mana ditetapkan.
“Sejujurnya perkara ini berlaku di luar jangkaan. Sebagai manusia biasa adakalanya kita akan terlepas pandang dan di luar kawalan kami. Namun saya sendiri tidak ambil mudah dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Bohonglah kalau tidak rasa tertekan. Saya ambil masa dalam beberapa hari untuk bertenang dan berfikir. Kemudian saya da suami sepakat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana itulah yang terbaik demi menjernihkan keadaan. Alhamdulillah isu tersebut beransur reda.
Saya ambil pengajaran dan sedar bahawa dalam berniaga kita perlu bersikap profesional. Di samping itu, kita juga perlu ada sikap realistik iaitu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat. Sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan memandang kepada keadaan semasa.
BISNES
Mula menerajui dunia perniagaan pada usia 23 tahun bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi ketika itu masing-masing mempunyai komitmen sebagai pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Pun begitu, kerana minat dalam dunia perniagaan kedua-duanya dapat menyeimbangkan komitmen sebagai pelajar dan usahawan dengan baik. Impian bergelar graduan ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan serta usahawan sukses berjalan seiring.
“Kami memulakan perniagaan sekitar tahun 2012 secara online. Ketika itu kami sedang menuntut di universiti yang sama dan belum bergelar suami isteri. Permulaannya agak mencabar juga kerana perlu seimbangkan antara belajar dan berniaga. Namun kami anggap cabaran itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.
Segalanya bermula apabila saya mereka busana hari raya yang saya reka dan jahit sendiri, kemudian memuat naik gambar busana tersebut di laman sosial. Tidak sangka pula ramai yang bertanya dari mana saya membelinya. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan berjumlah RM1500 dan kami berjaya menghasilkan 14 helai busana.
Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Dari keuntungan tersebut kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit bermula dari 14 kepada 28. Kemudian menjadi 36 helai sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar. Selepas itu kami menghentikan rekaan tersebut dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain,” kongsi ibu kepada Tyara Luthfia yang kini berusia dua tahun.
Menurutnya, dia dan suami menggunakan duit pinjaman PTPTN sebagai modal permulaan. Berkat kesungguhan mereka akhirnya jenama Leeyanarahman semakin terkenal.
Pada tahun 2014 pasangan ini mendirikan rumahtangga sekaligus memudahkan lagi urusan mereka dalam perniagaan. Langkah menjadi lebih jauh terutama atas urusan kerja. Dua bulan berkahwin mereka membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sental. Bermula hanya berada di tingkat satu, setahun kemudiannya mereka berjaya memiliki bangunan sendiri setinggi lima tingkat atas nama Leeyanarahman.
KESAN PANDEMIK COVID-19
Langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dunia perniagaan, tidak selamanya indah belaka. Ada onak dan duri yang harus ditempuh. Pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran utama ketika ini khususnya terhadap ekonomi dunia. Segalanya berubah secara total sehinggalah tercetusnya norma baharu.
Jenama Leeyanarahman turut merasai impaknya sehingga Yaana Lee terpaksa menutup butik fizikalnya dan hanya memberi tumpuan terhadap perniagaan online. Pun begitu, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu ia benar-benar memberi tamparan hebat terhadap jenama Leeyanarahman. Impaknya sangat besar sehinggalah kami terpaksa menutup butik fizikal. Kini kami hanya memfokuskan kepada perniagaan online sahaja. Insha-Allah, andai pandemik ini berakhir kelak kami mungkin akan membuka semula butik tersebut.
Kesan lain ialah impian kami untuk membuka butik di Jakarta pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan gara-gara COVID-19. Permintaan sangat tinggi di Indonesia, itulah salah satu punca kami berhasrat untuk membuka butik di sana. Namun belum ada rezeki lagi buat masa ini. Semoga pandemik ini segera berakhir dan dapatlah kami meneruskan impian yang masih belum tercapai ini.
Apa pun kami tetap bersyukur kerana sejak memperkukuhkan perniagaan online, kami dapat membantu ramai orang terutama yang hilang pekerjaan. Antaranya dengan menawarkan untuk menjadi reseller dan personal shopper Leeyanarahman. Kami turut membuka peluang kepada mereka untuk menyertai program Usahawanita Leeyanarahman. Untuk program ini mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 dan dapat menjana pendapatan sampingan serta diberikan komisyen.
NASIHAT BUAT USAHAWAN
Prinsip saya, semua orang boleh berniaga pakaian tetapi pentingnya ada minat. Kalau ada kemahiran menjahit itu satu bonus. Selain itu, kalau berniaga pakaian perlu ada identiti sendiri contohnya menghasilkan rekaan yang unik dan tersendiri. Saya sendiri ada kemahiran menjahit maka saya akan buat semuanya sendiri bermula dari melukis, menghasilkan embroidery dan sebagainya. Idea baru, ada identiti sendiri. Orang boleh ceduk rekaan kami tetapi mereka tidak boleh tahu idea-idea baru yang bakal menyusul.
Semua koleksi Leeyanarahman adalah ready-made dan custom made. Walaupun ketika ini keadaan ekonomi sangat mencabar namun alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat bagus lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
Bagi mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan, perkara paling utama ialah minat atau fokus. Ini kerana ianya akan memudahkan perjalanan perniagaan kita di kemudian hari. Jangan sekadar mengikut trend atau terpengaruh dengan yang indah-indah sahaja kerana bimbang perniagaan anda itu tidak kekal lama. Bila ada minat, walau sebesar mana pun cabaran yang datang kita pasti kuat menghadapinya kerana kita ada matlamat yang jelas.
Sebab itulah minat saya terhadap fesyen tidak pernah pudar walau apa pun cabaran datang termasuk kecaman-kecaman dari luar. Sejujurnya, apabila kita berada di atas tidak semua senang melihat kita berjaya. Namun, itulah sebenarnya yang menjadikan saya dan suami lebih kuat dan bersemangat,” akhiri Yaana Lee yang sentiasa turun padang bersama team Leeyanarahman dalam setiap urusan perniagaan. Jelas membuktikan bahawa dia seorang ketua yang sentiasa ambil tahu akan kebajikan staf.
Selain fesyen, Yaana Lee turut mengusahakan 2 lagi jenama miliknya yang masih baharu iaitu Ynalee Beaute dan Tepung Pengaseh.
Kredit Foto: Instagram @yaana.lee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!