Kejutan Berganda! Peserta Mula Tunjuk ‘Taring’, PENCARIAN NONA SUPERWOMAN Kian Mencabar

Makin ‘panas’ dan mencabar Pencarian Nona Superwoman. Memasuki episod 3, kemampuan peserta terus diuji dengan pelbagai kejutan. Semua ini demi memberi persediaan kepada 12 finalis dalam menghadapi cabaran dalam dunia keusahawanan.

Dalam tayangan episod 3 malam tadi, penonton bukan hanya dikejutkan dengan penampilan hos baharu, Nadia Annuar dan juri jemputan, Datuk Rosyam Nor. Malah peserta turut berdepan sesi penyingkiran yang pertama.

Lebih mengejutkan, finalis yang berada di kedudukan tercorot iaitu Syamimi Khalil dalam episod 2 sebelum ini mengambil keputusan untuk menarik diri. Ini sekaligus menyaksikan tinggal 11 finalis yang berentap merangkul gelaran juara bagi program sulung Pencarian Nona Superwoman.

Episod 3 Digital Marketing
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd, Datin Adzliana Dato’ Sri Dr Hasan

Berlangsung di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur, ruang legar di hotel bertaraf dunia ini menjadi saksi keupayaan 11 wanita bersaing merebut tempat dalam program realiti berkenaan. Seiring trend pemasaran masa kini yang menjurus ke arah pendigitalan, cabaran episod 3 adalah mengenai digital marketing.

Sebelum diberi tugasan daripada juri tetap, Datin Adzliana Dato’ Sri Dr Hasan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd dan pengacara terkenal, Awal Ashaari, peserta terlebih dahulu mengikuti kelas digital marketing

bersama mentor perniagaan muda, Andika Putera.

Mereka kemudian diminta membuat pembentangan Digital Campaign dan Media Platform untuk menyelesaikan situasi peniaga golongan B40 yang mengalami masalah ketika tempoh pandemik Covid-19.

Hasil daripada pembentangan tersebut, Emma Bee dan Sarah Ismail berada di kedudukan dua terbawah. Namun rezeki tidak berpihak kepada Emma Bee yang meraih markah terendah seterusnya disingkirkan daripada Pencarian Nona Superwoman.

Emma Bee tersingkir di Episod 3 Pencarian Nona Superwoman

Program ini adalah yang julung kali diadakan khusus buat usahawan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Matlamat program ini bertujuan menyuntik inspirasi dan memberi peluang baharu kepada para peserta agar bangkit memajukan empayar perniagaan memandangkan setiap daripada peserta ini memiliki latar belakang bisnes yang berbeza.

Terus setia mengikuti perjuangan peserta Pencarian Nona Superwoman dalam usaha mereka menjadi ahli perniagaan yang berwibawa dan penuh karisma.

Pencarian Nona Superwoman bersiaran setiap hari Rabu jam 9.00 malam di Astro Prima yang dibawakan secara eksklusif oleh Majalah Nona dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd serta diperkasakan sepenuhnya oleh USANITA.

IKLAN
Share