
Wajah cantik manisnya masih seperti dulu sewaktu menjadi finalis Pencarian Dewi Remaja 1985/86, edisi pertama yang dijuarai oleh Tengku Anis Tengku Ismail. Wanita tinggi lampai ini dikenali peminat sebagai penyanyi wanita yang memiliki aura tersendiri menerusi suara serak-serak basah yang menjadi identitinya.

Walau kini Sharifah Sheril Aida Syed Kechik sudah menjangkau usia 52 tahun namun kejelitaannya masih memukau pandangan. Sambil tertawa kecil bila ditanya tentang rahsia kecantikannya, jawab ibu saudara kepada pelakon dan pengacara, Scha Alyahya ini, “Saya tak ada petua atau rahsia tertentu, bila dah berusia ni kita kena jaga kesihatan terutama pemakanan.


Saya berhati-hati dengan setiap pengambilan pemakanan sebab ayah saya ada diabetes dan ibu pula ada kanser. Jadi saya selalu buat check-up. Senaman yang sesuai dengan usia juga saya amalkan dan kalau ada masalah jangan fikir sangat dan sentiasa berfikiran positif,” ujar adik kepada penyanyi Datuk Seri Syed Sobri yang menghasilkan album pertama, Tiada Arah Tujuan pada tahun 1988.


KELUARGA
Wanita yang mesra disapa Sheril Aida ini walau bagaimanapun telah memperlahankan kerjaya seni selepas berkahwin dengan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Railey Jeffrey pada 23 Disember 1988 ketika usianya 20 tahun. Akur dengan ketentuan Ilahi, setelah 25 tahun hidup bersama sebagai pasangan suami isteri, akhirnya mereka berpisah secara baik pada 2013.

Walaupun sudah tidak mempunyai ikatan suami isteri namun Sheril Aida tetap bersahabat baik dengan bekas suaminya dan turut menjadi saksi ‘pemergian’ Datuk Railey ke negara abadi. “Arwah memang seorang suami dan ayah yang baik serta penyayang. Beliau ‘dijemput’ pun dengan baik apabila menghembuskan nafasnya yang terakhir betul-betul ketika azan asar sedang berkumandang pada 26 Disember tahun lalu.

Memang sejak tahun 1998 Datuk Railey mengidap Parkinson tapi keadaan kesihatannya baik sampailah hari beliau meninggal dunia, mendapat serangan jantung. Saya memang langsung tak sangka itu adalah hari terakhirnya dan masih ingat lagi kata-kata terakhir yang beliau ucapkan kepada saya ialah “Terima kasih” sambil tersenyum.
CUCU
Kehidupan ini perlu diteruskan dan kini Sheril Aida bahagia di samping keempat-empat anaknya, Nur Thania, 32 tahun, Mohd Hazrul Andika, 30 tahun, Nur Puteri, 27 tahun dan Muhammad Hafiz, 24 tahun. Seorang masih sudah berkahwin dan tiga lagi masih bujang. Sheril Aida juga kini semakin ceria melayan dua orang cucunya, Armani Idris, 5 tahun dan Ariana Iman Narcella, 2 tahun serta menjaga ibunya Hajah Siti Aminah Jusoh.




Sheril Aida pernah menguruskan sebuah syarikat produksi miliknya, DiMuara Pictures yang menghasilkan program untuk televisyen selama sembilan tahun. Namun, operasi syarikat produksi ini terpaksa dihentikan dan kini Sheril Aida mahu menumpukan perhatian dengan mendalami ilmu agama.