
Prihatin dan berjiwa rakyat, itulah keistimewaan yang dimiliki figura tersohor, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib. Beliau merupakan isteri kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Kata-katanya memberi inspirasi melambangkan keluhuran jiwanya dalam menjalankan amanah membantu rakyat Sarawak. Beliau menggerakkan yayasan miliknya, Ragad Foundation dengan menyalurkan sumbangan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak serta pembangunan pendidikan golongan luar bandar.
“Saya seorang yang mudah, tidak gemar untuk menyulitkan keadaan. Jika ada rezeki lebih, saya akan terus membantu rakyat Sarawak. Rakyat dan saya tiada penghalang,” ungkap wanita kelahiran Syria berusia 42 tahun ini.
RAGAD FOUNDATION
“Ragad Foundation merupakan sebuah yayasan yang dilahirkan atas tujuan keprihatinan terhadap keperluan rakyat Sarawak khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.
“Memenuhi keperluan ini, kami tidak mengasingkan diri atau bekerja sendiri mahupun mengelakkan diri dari bertembung dengan usaha kerajaan Negeri, sebaliknya kami bergerak sebagai jambatan atau perantara bagi membantu menyampaikan suara rakyat.
“Saya mahu kebajikan anak-anak Sarawak dan wanita Sarawak terbela. Saya juga mahu rakyat Sarawak sama maju dengan rakyat lain di Malaysia. Maka, saya lebih suka turun padang melihat suasana dan keadaan sebenar mereka yang memerlukan. Menyaksikan dari jarak jauh bukanlah satu sifat yang ideal untuk mencerminkan keperibadian saya.”
“Antara momen menyentuh hati semestinya ketika program melibatkan anak-anak yatim. Mereka merupakan individu yang paling dekat dengan saya. Saya amat memahami perasaan mereka yang tanpa kehadiran ibu bapa mahupun adik beradik.
Kita ini beruntung kerana dilahirkan dengan ada segalanya, namun mereka, kasih sayang kekeluargaan atau pelajaran mungkin tidak dapat sepenuhnya. Inilah yang membuatkan saya sentiasa komited untuk memastikan agar anak-anak ini mendapat bimbingan serta pelajaran yang sepatutnya.”
TINGKAT TARAF KEHIDUPAN
“Saya ingin melihat wanita Sarawak berani dan berusaha mencari rezeki untuk diri mereka dan keluarga. Penan Project merupakan salah satu daripada usaha dan program kami untuk memartabatkan wanita Sarawak.
“Kaum Penan ini kaya dengan hasil kraftangan namun masih kurang mendapat tempat di mata dunia. Kraftangan kaum Penan adalah hasil buatan tangan yang rumit. Saya sendiri bangga memakai hasil tangan tersebut.
“Prinsip saya, selagi Yang Maha Esa memberi kudrat dan rezeki selagi itulah saya akan terus berkhidmat membantu serta memanfaatkan kedudukan saya di dalam negeri ini. Pangkat dan kedudukan sekadar pinjaman namun dengan izinNya saya akan memastikan usaha dan khidmat saya dimanfaatkan sebaiknya kepada golongan memerlukan agar mereka mendapat faedah yang terbaik.”
Baca artikel penuh dalam edisi istimewa NONA SUPERWOMAN 2022 yang sudah pun berada di pasaran. Dapatkannya sekarang!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Sinonim Kerja-Kerja Kebajikan, “Jangan Cakap Akak Tak Payung” Jadi trademark Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana Dato Hj Rahmat

Sedekah menjadi antara amalan yang paling berat dilakukan, khususnya manusia yang tidak suka berkongsi harta dengan orang lain. Namun, bagi orang beriman yang memahami konsep sedekah, ia merupakan amalan yang terpuji sebagai bekalan pahala dan sebahagian proses menyucikan diri dan harta, pasti tidak pernah gusar untuk mengeluarkan sebahagian pendapatan untuk insan lain.
Tahukah anda, amalan bersedekah merupakan amalan sunat yang banyak disebut dalam Islam.(AlQuran). Ia merupakan pemberian ikhlas yang sebenarnya menandakan tahap keimanan seseorang, selain bukti ketaatan kepada Allah SWT. Sepertimana yang diperintahkan di dalam surah Al-Baqarah ayat 254: Wahai orang-orang yang beriman! Sedekahkanlah sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datangnya hari ketika tiada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan dan tiada lagi syafaat (iaitu datangnya hari kiamat).
Tidak hairanlah mengapa potongan ayat Al Quran itu menjadi azimat buat Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana Dato Hj Rahmat JP. yang tidak pernah jemu menaburkan bakti dalam melakukan kerja-kerja amal sejak beberapa tahun yang lalu. Pengarah Urusan SRT Travel & Tours ini pernah dianugerahkan gelaran Mrs Malaysia Universe 2019 Charity Ambassador di atas kerja-kerja kebajikan yang dilakukan olehnya. Beliau juga dianugerahkan “First Lady Mrs International Global 2020 di atas kerja-kerja kebajikan dan infaq yang beliau lakukan di dalam mendidik dan memberikan pendedahan terhadap kerja-kerja amal dan kebajikan.
Keprihatinan Datuk Hajah Rozzana terhadap kebajikan golongan yang kurang bernasib baik samada di kalangan ibu tunggal, golongan asnaf, anak-anak yatim mahupun golongan fisabilillah bukan hanya dizahirkan tatkala tibanya bulan Ramadan dan Syawal semata-mata, malah wanita hebat ini sentiasa meluangkan masa dan wang ringgit membantu insan-insan yang memerlukan.
Penerima NONA BEST CHARITY AWARD, NONA SUPERWOMAN 2020 ini tidak pernah lokek membahagikan masa antara tuntutan kerjaya dan kerja kebajikan yang menjadi sebahagian dari darah dagingnya kini.
“Amalan sedekah tidak terhad kepada orang berharta sahaja, sebaliknya orang Islam yang tidak memiliki harta pun boleh bersedekah berdasarkan kemampuannya, asalkan lahir daripada hati yang ikhlas.
Sedekah juga tidak terhad kepada pemberian wang ringgit atau harta benda semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek seperti mengajar ilmu baik dan memberi pertolongan, ” ujar Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana ketika ditemui baru-baru ini.
Ini tercatat di dalam Al Quran surah Al-Saff ayat 11 “Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui hakikat yang sebenarnya”. Ini merupakan tuntutan Allah supaya kita hambaNya berinfaq ke jalan Allah swt. Dalam ayat ini ada menerangkan yang infaq tidak semestinya hanya dari segi harta benda tetapi juga dengan “jiwa” bermakna diri kita sendiri.
Satu demi satu kejayaan ditempa oleh Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana Rahmat menerusi kerja-kerja amal yang dilakukannya. Kini beliau mahu terus menabur bakti untuk anak bangsa menerusi Yayasan yang ditubuhkan sejak tahun 2013. Melalui Program “My #InfaqIhsan” ramai golongan sasaran telah dikenalpasti untuk diberikan bantuan.
Mengambil inspirasi dari watak filem muzikal “Mary Poppins’ , ia melambangkan jiwa infaq yang sentiasa membantu kaum keluarga, sahabat handai, rakan taulan dan sesiapa sahaja yang datang meminta pertolongan dan nasihat darinya. Muzikal filem British yang popular Mary Poppins ini mempunyai ciri-ciri seorang yang kelakar atau good sense of humour, baik hati tetapi tegas yang sangat sinonim dengan keperibadian yang dimiliki oleh Datuk Hajah Rozzana.Dalam erti kata lain yang popular, “Jangan cakap akak tak payung !”Itulah kata-kata yang amat sinonim untuk Datuk Hajah Rozzana Dato’ Haji Rahmat yang dikenali ramai.
“Hampir 30 tahun dalam dunia perniagaan, saya sudah banyak belajar tentang pentingnya mengamalkan sikap profesional dan juga jujur. Bukan sahaja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri. Usah pernah menipu dalam perniagaan kerana jika kita berjaya disebabkan sikap tidak jujur, nescaya suatu hari nanti kita akan jatuh terduduk.
Apabila COVID19 melanda, saya akui perniagaan turut terkesan. Tetapi ini adalah masanya untuk saya merangka strategi dan usaha untuk terus mengemudi perniagaan. Alhamdulillah saya masih lagi boleh bertahan hingga ke hari ini dengan Kerjasama kakitangan dan sokongan keluarga serta pihak-pihak yang terlibat di dalam mengendalikan perniagaan saya. Saya juga yakin dan sentiasa husnuzon dengan Allah. Berkat doa dan pertolongan daripada Allah, insya Allah kami akan dapat melalui ujian yang getir ini.
Menurut beliau lagi, Rezeki itu datang daripada Allah. Adalah penting mencari rezeki yang halal. Rezeki yang halal penuh dengan keberkatan. Ianya akan memberi kebahagiaan dan ketenangan di dalam kehidupan kita.
Tetapi pada masa yang sama, saya mahu berkongsi rezeki dan atas inisiatif itu tertubuhnya Yayasan sebagai platform membantu golongan asnaf dan mereka yang terkesan akibat wabak Covid 19,” ujar wanita yang pernah bertugas sebagai Pramugari di awan biru selama lima tahun sebelum mengambil alih perniagaan yang dimiliki keluarganya.
Menerusi amalan sedekah, seseorang akan dimurahkan rezeki, terhindar bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian buruk atau dalam keadaan tidak beriman (su’ul khotimah) kerana ia membawa rahmat, selain menghapuskan sifat sombong, takbur, ujub serta menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
Cabaran apabila kita berbuat kebaikan dan amal ma’aruf ialah akan wujud pandangan atau persepsi segelintir masyarakat yang mensalah tafsirkan tujuan dan matlamat. Semuanya itu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan sekadar perkongsian demi berdakwah untuk memotivasikan lebih ramai berinfaq ke jalan Allah.
Berbicara soal Yayasan, matlamat utama penubuhan Yayasan tersebut untuk memberikan bantuan dalam kadar segera atau ad-hoc merupakan cara Datuk Hajah Rozzana menghulurkan bantuan. Memahami desakan situasi semasa apabila kebanyakan masyarakat terkesan dengan COVID19, Datuk Hajah Rozzana lebih memberi tumpuan membantu golongan miskin, mereka yang terlibat dengan bencana alam ataupun mereka yang kurang berkemampuan yang mahukan bantuan segera sama ada dari segi keperluan asas, kewangan mahupun perubatan.
Malah, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana dan pasukannya memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuklah para petugas di barisan hadapan dan pesakit COVID19.
“Pada peringkat awal, disebabkan waktu tersebut kita tidak boleh turun sendiri, kita meminta “team #InfaqIhsan” yang berada di kawasan atau daerah negeri tersebut untuk sampaikan bantuan bagi pihak kami kepada golongan asnaf.
Antara negeri yang telah menerima bantuan adalah seperti di Kedah, Kelantan, Melaka, Selangor dan termasuk juga pihak misi kemanusiaan lain yang memerlukan sumbangan. Dan baru-baru ini tumpuan utama beliau ialah di negeri Sabah yang sangat terkesan di Gelombang ke-3 akibat wabak Covid-19. Menurut beliau, Sabah perlukan bantuan segera.

“Kami juga telah berhubung dengan frontliner di Hospital Sungai Buloh untuk memberi bantuan kepada pesakit COVID-19. Malah, saya sendri telah turun padang ke Hospital Sungai Buloh dan melihat sendiri bagaimana para petugas barisan hadapan menjalankan tugas mereka dengan sepenuh jiwa dan raga bagi memastikan pandemik ini dapat dibendung,” ujar Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana yang memastikan sumbangan makanan untuk pesakit Covid disepanjang tempoh PKP Fasa 1 & Fasa 2 diuruskan sebaik mungkin di samping beberapa lagi sumbangan lain yang diperlukan oleh petugas barisan hadapan.
“Sepanjang berada di sana, saya dapat melihat bagaimana para petugas menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama, saya turut berkongsi pengalaman dengan pengikut di laman media sosial agar mereka lebih menghargai petugas kesihatan dan cabaran yang harus mereka lalui setiap hari menyelenggara pesakit di wad Covid 19.”
Ketika diajukan pertanyaan tentang insiden paling terkesan di hatinya sepanjang melakukan pelbagai kerja kebajikan, wanita cekal ini berkata banyak peristiwa yang terkesan di hati dan kesemuanya memberikan satu titik keinsafan buat dirinya. Melihat kepayahan hidup individu lain yang ditimpa musibah, penyakit dan sebagainya menjadikan dirinya lebih bersyukur dengan kurniaan rezeki oleh Allah S.W.T buat dirinya.
“Saya sentiasa mengamalkan sifat SYUKUR, SABAR, REDHA. Redha adalah satu perkataan yang ringkas namun besar maknanya. Dalam apa yang kita lakukan kita perlu reda dengan bagaimana pengakhiran atau keputusannya. Segala usaha telah dilakukan dan keringat telah diperah, jadi biarlah Allah yang memutuskannya dengan reda dan bertawakal. Jika kita reda, maka hati tidak akan mati dan akan terus memandang ke hadapan untuk menghadapi sesuatu yang lebih gemilang. Insya Allah”, katanya seraya mengakhiri perbualan.
JUAL LAPTOP BELI MESIN JAHIT, JANTRA NAQIAH BUKTIKAN MINAT DALAM DUNIA FESYEN

Dunia tak lagi sama dan tak selamanya memihak pada kita. Di saat kita mahu berusaha, di situlah kebahagiaan akan hadir indah pada waktunya. Dan saat kita sedang berikhtiar itu, percayalah perjuangan kita saat ini akan terbayar suatu saat nanti, insyaAllah.
Jantra Naqiah Thongcharoen, 33 tahun, pernah menjadi salah seorang daripada 60 Wanita Inspirasi Nona pada tahun 2015. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang pereka fesyen setelah tamat pengajian di Olympia College PJ & UCSI, Cheras (Sijil Fesyen).
Wanita kacukan Thailand ini juga mempunyai brand sendiri iaitu Jantra Naqiah Thongcharoen (JNT) dan turut berkhidmat sebagai seorang kolumnis fesyen. “Sebelum ini saya bekerja dengan arwah Atok saya selama 10 tahun di Lembaga Pemegang Amanah Kolej Islam Malaysia (LAKIM) sebagai Personal Assistant.
Di bawah jabatan kebajikan, banyak pengalaman manis yang tercipta. Saya dapat bersama dengan anak-anak yatim, warga emas dan golongan susah. Hakikatnya saya gembira buat kebajikan kerana di situlah saya akan lebih bersyukur, appreciate my life and less complain. Ramai orang susah di luar sana. Kita patut membantu mereka dan mensyukuri apa yang kita ada.
Semasa bekerja, saya masih fokus dan aktif dalam bisnes fesyen saya. Impian untuk menjadi seorang pereka fesyen yang terkenal di Malaysia dan di luar negara tetap membara sampai ke saat ini.
Saya juga sedang belajar untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Jika saya mahukan sesuatu, insyaAllah saya akan buat apa sahaja untuk mencapai cita-cita itu. Walaupun banyak halangan, namun saya tidak mahu mensiakan-siakan umur yang masih muda ini.
Saya baru sahaja menyiapkan koleksi yang terbaru iaitu Jantra Loves Fashion (JLF) bagi hujung tahun ini. Ia adalah himpunan RTW dan boleh mampu dimiliki oleh semua wanita. Harga pun berpatutan dan insyaAllah beberapa peratus dari keuntungan akan disalurkan ke dalam projek-projek kebajikan. Saya mahu menolong mereka yang terjejas pandemik COVID-19,” ujar Jantra penuh semangat.
Ramai yang melalui saat pandemik dengan jalan cerita masing-masing, Jantra turut terkesan dalam keadaan ini. “Masalah utama ketika pandemik, saya tidak dapat berjumpa dengan pelanggan kerana dahulu saya akan pergi ke rumah mereka ataupun mereka akan datang ke boutique apartment saya.
Saya percaya hubungan seorang pereka fesyen dengan pelanggan adalah sangat penting. Ia akan berkekalan dengan masa yang panjang. Saya bukan sahaja menganggap mereka sebagai pelanggan bahkan mereka jadi kawan-kawan saya.
Selain itu saya juga boleh mengambil ukuran badan mereka dengan teliti kiranya dapat berjumpa. InsyaAllah, selepas ini kita hidup dalam norma baharu dan semoga dipermudahkan semuanya.”
Bila ditanya tentang pengalaman beliau sewaktu mula menjadi seorang pereka, Jantra mula bercerita panjang. “Selepas SPM sahaja, saya tahu saya mahu mereka pakaian saya sendiri because I love fashion and I want to prove to myself that I can do it.
My mom surprised me with a pink laptop on my 18th birthday. Ia untuk bagi semangat agar menyambung pelajaran di kolej pilihan saya. Tapi saya guna beberapa bulan sahaja. Tak lama kemudian saya jual sebab I was so eager to do my own brand, my label. I end-up beli kain-kain dan mesin jahit yang murah. When my mom found out she got so mad at me. Oops! Sorry, Mama. I love you,” ujar Jantra ketawa sendiri.
“Selepas tamat pengajian saya pada tahun 2008, saya menyertai beberapa pertunjukan fesyen seperti Youth ’09, No Man’s Land and a few more fashion shows. I can’t recall all. Tapi saya ingat lagi, saya potong kain senget sebab saya mahu cepat menyiapkan 10 pasang rekaan dalam masa 2 minggu. Akhirnya design saya jadi ‘Toga dress’ untuk my big fashion show at Youth ’09 yang dilangsungkan di PWTC.
So happy and excited for my new journey. Saya harus belajar dari pengalaman dan membuat lebih banyak rujukan dalam bidang fesyen, terutama dari segi teknik dan kemahiran.
Walaupun kena ikut perkembangan semasa tapi sebenarnya saya lebih suka pakaian tradisional seperti kain songket dan batik. Banyak koleksi rekaan saya juga diperbuat daripada kain songket dan batik serta sifon.”
Memegang prinsip ‘be kind to others, regardless of religions, races, cultures and backgrounds’. Bagi Jantra, kita semua sama sahaja. Layani semua orang dengan kasih sayang dan rasa hormat. InsyaAllah hidup lagi bertambah bahagia, ceria dan aman.
“Saya ingat ketika semangat ini rapuh dan mahu putus asa, arwah Atok always nasihat untuk percaya diri sendiri, bertabah menghadapi cabaran dan bersabar. Bukan senang untuk berjaya.
But you must believe in yourself no matter what. Sering ambil kritikan sebagai sesuatu yang positif, be better, do better. Jadikan ujian sebagai cabaran walaupun ramai meragui usaha kita.
Kita semua boleh berjaya, insyaAllah. Dengan azam yang kuat, doa, sifat konsisten dan pemikiran yang positif, anda pasti akan berjaya dalam bidang masing-masing,” jelas Jantra penuh semangat.
Bagi Jantra semua wanita mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri. “Setiap daripada kita mempunyai impian dan berusahalah untuk mencapainya. Biarpun ditimpa pelbagai cabaran, kita harus ingat kenapa kita mulakan bisnes dari awal.
Selain itu, jangan kedekut ilmu, selalu berkongsi tentang produk kita di kalangan keluarga dan kawan-kawan. Kalau ada masa, join kelas online untuk belajar ilmu perniagaan dan marketing. Carilah masa untuk mencari ilmu supaya kita lebih berpengetahuan,” bicara Jantra yang meletakkan harapan untuk bergelar seorang ibu suatu hari nanti.
“Saya mahu keluarga yang besar. Mungkin sejak kecil lagi jadi anak tunggal, jadi kadang-kadang rasa sunyi juga. Doakan saya ya, terima kasih!”
Cekal, Profesional & Berpengalaman, DATUK NORA A MANAF Ikon Korporat Wanita Unggul Dan Sukses

Wanita hebat ini tidak perlu lagi diperkenalkan, terutama dalam bidang korporat dan perbankan. Memiliki pengalaman lebih dari 20 tahun dalam kepimpinan di syarikat multinasional dan organisasi besar, memerentasi beberapa sektor termasuk akademik, telekomunikasi, tekonologi dan perkhidmatan kewangan, Datuk Nora Manaf adalah definisi seorang wanita yang cekal dan profesional.
Datuk Nora Manaf, 58 tahun, figura berprofil tinggi ini merupakan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank sejak dari tahun 2008 dan merupakan seorang ahli Lembaga Pengarah Yayasan Khazanah. Datuk Nora merupakan seorang Akauntan Bertauliah dan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA). Beliau memegang Sijil pasca siswazah dalam pembangunan sumber manusia dari Universiti Cornell dan juga jurulatih, ‘Gallup Strength’ Tahap II. Datuk Nora turut mempengerusikan beberapa jawatankuasa peringkat kebangsaan dan memegang beberapa keahlian Lembaga Pengarah termasuk Lembaga Pengarah Etiqa General Insurance Berhad dan MBB Labs Private Limited, Bangalore.
PENCAPAIAN DEMI PENCAPAIAN
Di Maybank, tanggungjawab Datuk Nora adalah merangka strategi modal insan di seluruh Kumpulan termasuk membentuk dan melaksanakan strategi perniagaan yang diselaraskan dengan aspirasi dan objektif Kumpulan. Beliau juga bertanggungjawab untuk semua aspek kakitangan, iklim tempat kerja dan prestasi.
“Saya bermula sebagai seorang akauntan bertauliah. Kemudian berkhidmat dengan beberapa syarikat multinasional dan organisasi tempatan yang besar di beberapa sektor termasuk sektor telekomunikasi di Maxis dan separa konduktor di Intel, serta terlibat dalam sektor pendidikan dan rundingan.
Ketika itulah saya dipelawa untuk menyertai Standard Chattered dan berkhidmat selama 9 tahun dalam peranan pengurusan termasuk Ketua Sumber Manusia, Scope International (subsidiari milik penuh Standard Chartered UK Plc) serta jawatan pembangunan kepimpinan di London dan dalam kerja integrasi di Hong Kong pasca pengambilalihan SCB terhadap Chase Retail Bank. Dari situlah bermulanya perjalanan saya dalam industri perbankan,” jelas Datuk Nora Manaf khabarnya cukup handal memasak Beriyani Udang dan seringkali memasaknya untuk warga kerja Maybank tatkala setiap Aidilfitri.
Dan benarlah kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. Selama 9 tahun bertugas bersama Standard Chattered, Datuk Nora Manaf sudah berpengkalan hampir ke serata dunia bermula dari Hong Kong, London, Filipina dan Indonesia.
Dan akhirnya hatinya terdetik untuk pulang semula ke Malaysia selepas menerima panggilan dari seorang individu yang cukup dikaguminya. “Suatu hari dirinya menerima panggilan daripada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar yang pada ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank mempelawa saya untuk menyertai Kumpulan Maybank pada Oktober 2008,” imbas Datuk Nora.
Hasil berkat reputasi, kelayakan dan usaha keras wanita besi ini beliau bersyukur dirinya diberikan tanggungjawab tersebut menyertai Maybank, salah sebuah bank tersohor dan diyakini di Malaysia. Bayangkan, ini merupakan jawatan keempat belas yang disandangnya dan hampir kesemua amanah ditawarkan khas buatnya.
“Ramai beranggapan wanita tidak ramai dalam perbankan. Salah anggapan itu. Di Maybank sendiri kini sudah mencatatkan 48% pembabitan wanita dalam pengurusan dan profesional. Jadi dalam mana-mana industri sekalipun, walaupun wanita seringkali dipandang sebelah mata bila sesuatu industri mulai diperkatakan, tetapi wanita zaman kini bukan seperti zaman dahulu. Wanita sekarang boleh dikatakan lebih bijak, cekal dan punya kelebihan tersendiri. Yang pasti, semua ada peluang untu berjaya.”
Malah Datuk Nora sendiri adalah seorang wanita yang tidak lepas dari misinya dalam memperkasakan wanita lain. Beliau merupakan Penaja Eksekutif untuk Majlis Mentor Wanita Wanita Maybank yang ditubuhkan pada 2013 di mana organisasi ini berfungsi dalam struktur semasa Bank untuk menyokong pembangunan wanita serta menjadi Mentor untuk Program Kepimpinan Wanita ICAEW-TalentCorp.
Pada 2016, Datuk Nora telah dianugerahkan anugerah “Beacon of Light” di Sidang Kemuncak Kepimpinan Wanita Kebangsaan anjuran Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Datuk Nora turut berucap pada seminar Wanita dalam Kepimpinan di Universiti Oxford pada 2016. Universiti Pengurusan Singapura (SMU) turut menerbitkan Kajian Kes, bertajuk “Maybank: Transformasi Organisasi melalui Sumber Manusia” dengan kerjasama Datuk Nora pada 2019. Pada 31 Mac 2021, Datuk Nora dianugerahkan Anugerah Top 50 Impact Lifetime Achievement Awards untuk Kecemerlangan Wanita oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.
Sepanjang terlibat dalam dunia korporat dan perbankan, kehebatan beliau dalam memimpin, merencana dan menguruskan turut diperakui dengan pelbagai pengiktirafan, antara beliau pernah dinobatkan Global Top 50 Human Resource Professional serta dilantik ke Talent Compact 4.0, Panel Penasihat Bakat Industri Talent Corporation Malaysia Berhad. Pada tahun 2018, beliau telah dilantik ke Kumpulan Penasihat Menteri Sumber Manusia Malaysia. Pada Februari 2020, beliau telah dianugerahkan sebagai Banker Bertauliah oleh Chartered Banker Institute, yang beribu pejabat di Edinburgh, Scotland, United Kingdom.
WANITA JUGA MAMPU MEMIMPIN
Hebatnya Datuk Nora Manaf bukan hanya terletak pada keperibadian, jati diri dan kepintarannya, namun kebijaksanaan strategi beliau menguruskan sesebuah pasukan dan jabatan dengan profesional sekali. Melihat pada rekod prestasi, sudah semestinya Datuk Nora Manaf mempunyai corak kepimpinannya sendiri.
Untuk bacaan penuh, dapatkan edisi Nona Superwoman 2023 yang kini sudah berada di pasaran.
Baca artikel penuh penerima NONA Profession Award – Datuk Nora A Manaf di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Saksikan video temubual eksklusif NONA bersama Datuk Nora A Manaf menerusi pautan di bawah: