Esok, satu lagi sejarah tercipta apabila Malaysia bakal mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Upacara Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Mengenali peribadi Raja Permaisuri Agong ke-16 ini… baginda bukan hanya gemar memasak bahkan cukup prihatin dengan isu masyarakat terutamanya melibatkan golongan susah dan kesuburan wanita. Disebabkan itu, Tunku Azizah berkenan menjadi Pengasas Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah merupakan puteri ketiga kepada pasangan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Ismail bersama isterinya Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah. Dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru… kakanda lelakinya kini ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hasil perkahwinan bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda dikurniakan empat orang putera dan dua puteri iaitu Tengku Amir Nasser, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Tunku Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan meneruskan pendidikan ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah. Selain itu, baginda juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan memegang pelbagai jawatan bagi persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Antaranya selaku Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia, Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi PERTAP dan Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang (WI).
Raja Permaisuri Agong ke-14
Seri Paduka Baginda Tuanku Hajah Haminah binti Hamidun merupakan Sultanah Kedah serta Raja Permaisuri Agong yang ke-14. Baginda dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.
Baginda mendapat gelaran Che Puan Kedah sehinggalah pada 9 Januari 2004 apabila baginda ditabalkan sebagai Sultanah Kedah.
Raja Permaisuri Agong ke-13
Seri Paduka Baginda Tuanku Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disemberi 1973. Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996.
Baginda dilantik menjadi Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 berikutan perlantikan Seri Paduka Baginda Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Raja Permaisuri Agong ke-12
Ads
Seri Paduka Baginda Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid merupakan ahli kerabat diraja Kelantan dan Terengganu yang diputerikan pada 6 Jun 1946. Baginda berkahwin dengan Tuanku Syed Sirajuddin pada 15 Februari 1967.
Pada 14 Julai 2000, baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Perempuan Perlis.
Raja Permaisuri Agong ke-11
Seri Paduka Baginda Tuanku Siti Aishah telah dilahirkan pada 18 November 1971. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong kesebelas apabila Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 26 April 1999 hingga 21 November 2001.
Raja Permaisuri Agong ke-10
Seri Paduka Baginda Tuanku Najihah Tuanku Besar Burhanuddin dilahirkan pada 11 September 1924. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong ke-10 ketika Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang juga merupakan putera kedua bagi Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
Tuanku Najihah bergelar Raja Permaisuri Agong ke-10 mulai 26 April 1994 sehingga 25 April 1999. Di samping itu, baginda turut memperoleh pendidikan formal di Sekolah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah dan London School of Oriental Studies.
Raja Permaisuri Agong ke-9
Ads
Baginda ialah Raja Permaisuri Agong yang kesembilan berikutan perlantikan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong dari 26 April 1989 hingga 25 April 1994.
Baginda juga merupakan rakyat jelata yang pertama dilantik sebagai Raja Permaisuri Agong. Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun binti Mohamad Ali dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1932.
Raja Permaisuri Agong ke-8
Seri Paduka Baginda Sultanah Zanariah Almarhum Tengku Panglima Raja Ahmad berasal dari keluarga diraja Kelantan. Baginda merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad bin Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar ibni DYMM Sultan Muhammad II.
Baginda merupakan permaisuri kepada Sultan Mahmud Iskandar Alhaj ibni Almarhum Sultan Ismail dan menjadi Raja Permaisuri Agong kelapan sejak 26 April 1984 hingga 25 April 1989.
Raja Permaisuri Agong ke-7
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Muhammad merupakan Raja Permaisuri Agong ketujuh mulai 26 April 1979 hingga 25 April 1984. Baginda juga ialah permaisuri kepada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
Raja Permaisuri Agong ke-6
Almarhumah Tengku Zainab Almarhum Tengku Mohamed Petra merupakan Raja Permaisuri Agong keenam mulai 21 September 1975 hingga 29 Mac 1979. Baginda juga merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang mewarisi takhta kerajaan negeri Kelantan dari tahun 1960 hingga kemangkatannya.
Ads
Raja Permaisuri Agong ke-5
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahmad merupakan Raja Permaisuri Agong kelima sejak 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Baginda adalah permaisuri kepada Almarhum Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Raja Permaisuri Agong ke-4
Yang di-Pertuan Agong ke-4, Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III ialah suami kepada Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja yang merupakan Raja Permaisuri Agong keempat bermula 21 September 1965 hingga 20 September 1970.
Raja Permaisuri Agong ke-3
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail merupakan Raja Permaisuri Agong ketiga sejak 21 September 1960 hingga 20 September 1965. Baginda merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Syed Putra Alhaj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Raja Permaisuri Agong ke-2
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Ampuan Jema’ah Almarhum Raja Ahmad merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kedua sejak 14 April 1960 sehingga kemangkatan Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 1 September 1960.
Raja Permaisuri Agong pertama
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tunku Kurshiah Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin merupakan Raja Permaisuri Agong pertama sejak 31 Ogos 1957 hingga kemangkatan Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960.
Dalam berhadapan pendemik COVID19, ramai di kalangan individu terjejas dari segi pendapatan sama ada terpaksa dipotong gaji atau elaun, cuti tanpa gaji ataupun diberhentikan kerja.
Pastinya ia memberi kesan terhadap pengurusan kewangan apatah lagi jika mempunyai keluarga untuk ditanggung. Inisiatif kerajaan mengumumkan Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini disambut dengan rasa kelegaan khususnya bagi individu atau ahli yang menghadapi masalah kewangan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, seramai lapan juta pencarum KWSP layak untuk mengeluarkan wang mereka sehingga RM10,000. Manakala had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.
Namun begitu, setiap individu harus bijak menguruskan kewangan supaya wang yang diterima dapat disalurkan atau digunakan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan menjalani kehidupan dalam saat sukar ini. Antara perkara yang boleh diberi perhatian khusus adalah menanamkan tabiat menabung dan seterusnya melabur bagi kegunaan di masa hadapan.
Secara umumnya golongan pelabur ini terbahagi kepada beberapa kumpulan. Sebelum anda melangkah lebih jauh dalam dunia pelaburan, anda perlu tahu dalam kumpulan mana anda berada. Carilah di mana letaknya diri anda, analisis diri dan buat perancangan yang sesuai untuk anda.
PENDATANG BARU
Mereka yang berada dalam kumpulan ini adalah golongan yang baru berjinak-jinak dengan dunia pelaburan dan memiliki pengalaman melabur yang agak cetek. Kesedaran untuk mencapai matlamat kewangan menerusi tabungan dan pelaburan memang ada. Namun, dalam keghairahan membuat pelaburan, mereka ada kalanya mendapatkan panduan daripada sumber maklumat atau orang yang salah. Memulakan langkah dengan gerak yang songsang akhirnya menjuruskan diri menjadi mangsa skim penipuan. Tip:
Dapatkan panduan melabur daripada pakar atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengalaman, misalannya daripada mereka yang berlesen. Sentiasa berhati-hati dengan peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi, terutamanya dengan kadar yang segera, jangan cepat “gelap mata”. Bersabarlah, jangan bertindak terburu-buru terutama bila wujudnya sebarang keraguan. Sebaliknya, ambil masa untuk belajar dan membuat analisis mengenai pelaburan yang bijak.
PELABUR BERWASPADA
Pelabur jenis ini akan mengelakkan diri daripada pelaburan yang berisiko tinggi. Mereka mengambil masa untuk memahami sesuatu produk. Seterusnya membuat analisis dan berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan. Pilihan pelaburan mereka adalah produk yang stabil. Mereka biasanya tidak mengharapkan pulangan yang tinggi dalam pelaburan, cukup sekadar jaminan pulangan dan dapat memelihara modal mereka. Tip:
Jangan cepat percaya dengan janji “pulangan terjamin” atau “modal terpelihara”. Telita setiap tulisan pada prospektus syarikat kerana setiap pelaburan itu pasti mempunyai risiko tersendiri. Anda perlu berhati-hati dengan tawaran yang menjanjikan pulangan terjamin yang tinggi tanpa berhadapan dengan sebarang risiko.
PELABUR PASIF
Setelah membuat pelaburan, golongan ini biasanya menyerahkan segalanya kepada mereka yang bertanggungjawab. Mereka tidak ambil peduli untuk memantau perkembangan pelaburan mereka. Segala penyata kewangan, laporan tahunan, nota kontrak dan pelbagai dokumen pelaburan yang dihantar tidak langsung diambil endah, apatah lagi untuk memfailkan sebagai rujukan akan datang. Sikap tidak acuh dan lepas tangan pelabur ini akan mengundang kesan negatif terhadap pelaburan mereka. Apabila segalanya jatuh merudum, tiada apa lagi yang dapat dibuat melainkan gigit jari. Tip:
Pantau pelaburan anda! Jangan ambil mudah dan mengharapkan agen kewangan anda semata-mata. Ianya duit anda, jadi anda perlu lebih prihatin terhadap pelaburan anda. Jangan sesekali mempunyai persepsi bahawa setiap pelaburan itu akan bergerak sendiri dengan lancar setiap masa. Sensitiviti anda terhadap keadaan pasaran dan prestasi pelaburan akan membolehkan anda menilai semula pelaburan anda terutama jika ianya tidak menguntungkan.
KAKI JUDI
Golongan ini biasanya berani mengambil risiko tinggi. Mereka mudah tertarik dengan khabar angin dan ramalan panas pasaran. Kerugian dalam pelaburan bukan satu yang menggerunkan mereka. Keuntungan cepat dan pelaburan tambah nilai adalah agenda utama dalam pelaburan. Membuat keputusan pelaburan berdasarkan instinct dan bukannya maklumat yang tepat boleh menyebabkan mereka membuat pelaburan yang salah yang akhirnya membawa kerugian yang besar. Tip:
Bergantung kepada naluri dan ramalan panas bukan cara yang bijak dalam membuat pelaburan. Anda perlu ingat keandalan fakta dan angka dalam pelaburan tidak boleh disangkal dengan khabar angin yang tidak tentu kesahihannya. Jangan salah guna keberanian anda dengan mengambil risiko menbuta tuli. Setiap maklumat yang diterima perlu disusuli dengan penilaian bernas. Fahami risiko yang bakal dihadapi dan perlengkapkan diri sebelum berhadapan dengannya.
PELABUR BIJAK
Golongan ini sentiasa memantau setiap pergerakan pelaburan mereka. Setiap keputusan dalam pelaburan yang dilakukan berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai. Keputusan mereka tidak dikuasai emosi tetapi berdasarkan penilaian tentang keburukan dan kebaikan pelaburan yang bakal dilakukan. Golongan ini sentiasa mendapatkan nasihat daripada mereka yang arif dan berlesen dalam bidang pelaburan. Peka dengan keadaan pasaran dan bersedia menukar strategi pelaburan asalkan matlamat kewangan mereka dapat dicapai. Tip:
Inilah tabiat pelabur yang berjaya. Jangan patah semangat kalau anda tidak tergolong dalam kumpulan ini. Teruskan menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan berjaya. Langkah awal penting dalam menentukan kejayaan masa hadapan. Peka terhadap pasaran dan rajinlah belajar. Pelaburan bukanlah sesusah yang disangka, bila anda sudah mendapat “tune” dunia pelaburan, segalanya akan berjalan lancar. Sikap memainkan peranan utama dalam setiap kejayaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Gerun melihat keadaan perut seorang wanita yang menghidap ketumbuhan fibroid. Pembesaran perutnya tidak ubah seperti wanita hamil cukup bulan! Walaupun penyakit berkaitan peranakan wanita seperti ketumbuhan fibroid, adenomyosis dalam rahim, endometriosis, ovarian cyst, kanser rahim dan kanser payudara sudah lama dihidapi wanita namun punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui.
Menurut Pakar Sakit Puan, Dr Hamid Arshat, selain faktor genetik atau baka, punca-punca persekitaran seperti kelemahan imuninasi badan, toksin dan hormon estrogen berlebihan dalam tubuh wanita serta ketidakseimbangan hormon estrogen dan progesteron lebih berperanan dalam ketumbuhan tersebut.
Beberapa situasi yang menyebabkan hormon estrogen meningkat ialah kegemukan atau obesiti.
Lemak- lemak yang berlebihan boleh menggalakkan pembentukan estrogen serta pengurangan progesteron.
Selain daripada kilang telur, sumber lain bagi estrogen ialah kilang adrenal yang terletak di atas buah pinggang. Wanita yang mengalami masalah pembengkakan ovari seperti Polycystic Ovaries Syndrome (PCOS) juga sering mengalami masalah hormon estrogen berlebihan dan kekurangan hormon progesteron.
Oleh itu, Dr Hamid mencadangkan beberapa langkah untuk mengawal tindakan atau pengaruh estrogen agar ketumbuhan dapat dikurangkan. Estrogen dibentuk daripada kolesterol melalui rangkaian tindakan biokimia, dan enzim aromatase diperlukan.
Langkah-langkah Mengawal Estrogen
1. Kekalkan berat badan ketahap yang sesuai mengikut kiraan BMI kerana kegemukan boleh menggalakkan penghasilan estrogen yang berlebihan.
2.Lakukan senaman kerana senaman mempunyai pelbagai faedah di antaranya dapat mengimbangkan hormon estrogen dan progesteron
3.Mengawal stres. Selain boleh meningkatkan hormon cortisol/steroid, stres juga mempunyai pelbagai pengaruh yang boleh mengancam kesihatan wanita. Ia juga meningkatkan tahap estrogen.
Oleh itu, ambillah langkah – langkah mengawal stres seperti membaca Al-Quran, solat, berzikir, berselawat ,bersenam selama 30 minit sehari, yoga dan yang paling mudah adalah dengan melakukan deep breathing exercise.
Deep breathing exercise ini boleh dilakukan di mana- mana setiap satu atau dua jam. Ini dapat menenangkan fikiran dan sekaligus dapat mengimbangkan hormon Estrogen dan Progesteron.
Jenis Makanan Yang Mengawal Tahap Estrogen
Buah delima
Sayur-sayuran (brokoli, kubis, sawi dan bayam)
Minyak zaitun
Cendawan Shitake
Biji Anggur (grapeseed)
Oat
Buah-buahan citrus (lemon, limau kasturi, limau bali & limau nipis)
Bawang Putih
Kunyit
Minyak Kelapa Dara
Buah-buahan Beri
Sumber: Facebook Dr Hamid Arshat
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bulan ramadan penuh keberkatan hampir tiba!! Dan semestinya sudah ramai yang merencana pelan lokasi berbuka puasa dengan juadah menyelerakan bersama rakan dan keluarga tersayang. Bagi mereka yang mendambakan nostalgia berbuka puasa ala tradisional dengan suasana ketenangan desa yang mendamaikan, apa kata anda kunjungi Shook!
Rasai kelazatan pelbagai hidangan penuh menyelerakan diiringi suasana harmoni yang seimbang bercirikan Melayu dengan hidangan bufet resepi lama kampung yang disusun rapi dan diperabadikan oleh chef berpengalaman Chef Rafizan.
Pelbagai hidangan khususnya menu warisan turun temurun tersedia untuk dinikmati, antaranya Rendang Ayam Berempah dan Daging Hitam. Jangan ketinggalan untuk merasai sendiri sambal tradisi terkenal Chef Rafizan yang diinspirasi dari resipi orang tua yang ditumbuk dengan sempurna, pasti menceriakan pengalaman berbuka puasa anda, dengan harga sangat berpatutan!
Hanya MYR125++ setiap dewasa dan MYR60++ setiap kanak-kanak, pakej bufet Ramadan ini akan bermula 24 Mac – 21 April 2023 dari pukul 6.30 petang – 10 malam. Untuk tempahan, sila WhatsApp/call +60 18 929 8060 atau e-mel shook@thestarhilldining.com.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!