Setiap kali menjelang Zulhijjah dan Aidiladha pasti memori mengerjakan ibadah haji tahun 2018 memberi kesan kepada selebriti cantik, Datin Hajah Fouziah Gous. Mana tidaknya, waktu itulah dia dan suami benar-benar diuji untuk memilih sama ada mahu terus berada di samping anak tersayang ataupun berserah kepada Allah Taala dan menunaikan haji. Biarpun suasana haji tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya disebabkan Covid-19… namun ia bukan penghalang buat umat Islam seluruh dunia untuk terus beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Esa.
Mengimbas kembali kenangan sehari sebelum berangkat ke tanah suci, pasangan romantis ini diduga dengan keadaan kesihatan anak bongsu mereka iaitu Zaheen Yusuf. Dalam keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri selepas dibedah, Datin Hajah Fouziah Gous dan suami, Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof terpaksa meninggalkan Zaheen di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bukan kerana tidak sayangkan anak… sebaliknya mereka yakin urusan ‘jemputan ke rumah Allah’ waktu itu lebih penting daripada segala-galanya. Malah, mereka tetap percaya ia adalah keputusan terbaik waktu itu.
Ads
Menyerahkan hidup dan mati serta nasib keluarganya kepada Allah Yang Maha Esa, Datin Hajah Fouziah dan suami selamat tiba di Tanah Suci pada saat-saat akhir selepas berdepan pelbagai halangan. Mengakui lebih selesa disapa Hajah kerana mahu menghargai kesukaran yang dilalui untuk mendapatkan ‘gelaran’ tersebut, penampilan usahawan berusia 37 tahun ini tampak lebih manis sejak dia memutuskan untuk berhijab kira-kira dua tahun lalu.
Menyimpan kemas semua pengalaman pahit dan manis sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu pada Ogos 2018, Datin Hajah Fouziah terbuka membuat pendedahan eksklusif kepada Nona.
“Dua hari sebelum pergi haji anak saya, Zaheen Yusof tak sihat. Bawa pergi ke klinik dan check tapi tak demam pula. Malam tu lepas balik dari klinik saya jadi nervous bila tengok pampers dia ada darah. Bagi minum air atau susu, dia muntah. Call doktor tapi esok pagi baru doktor akan datang untuk periksa usus anak kami. Memang saya tak tidur langsung sampai ke pagi. Keesokan hari, doktor buat ultrasound. Setelah puas diperiksa, doktor kata semuanya ok dan tak jumpa apa-apa yang meragukan.
Kebetulan masa doktor suruh balik ke wad, Zaheen menjerit. Reaksi sama yang saya nampak bila dia rasa sakit. Terus doktor buat ultrasound dan nampak usus besar dan kecil dia tersangkut jadi kena dibedah. Memang besar dugaan Allah bagi tapi saya bersyukur sebab kebetulan waktu itu ada pakar bedah kanak-kanak yang bertugas dan boleh terus buat operation pada hari sama pukul 5 petang. Sampai Maghrib kami tunggu, tapi anak tak keluar lagi dari bilik pembedahan. Jujurnya, kami suami isteri dah mula tak tentu arah. Segala baju dan kelengkapan haji pun kami tak sempat buat apa-apa lagi.
Zaheen Yusuf ketika masih kecilZaheen di majlis ulang tahun kelahiran ke-2Wajah terkini Zaheen
Ikutkan esok dah nak pergi haji dan kumpulan kami kena berkumpul di KLIA pukul 4 pagi untuk transit di Filipina sebelum bertolak ke Mekah. Tapi sebab anak kena pembedahan kecemasan ni, kami tak jadi ikut kumpulan jemaah seramai 36 orang tu. Walaupun risau dengan keadaan anak, sedikit pun tak timbul niat untuk batalkan hasrat pergi haji. Jadi, sementara tunggu anak keluar dari operation theatre suami sempat beli tiket penerbangan ke Filipina yang dijangka bertolak waktu Subuh.”
Dugaan ibu dua anak ini tidak hanya terhenti di situ. Sebaik mengetahui pembedahan berjalan lancar namun Zaheen terpaksa diletakkan di ICU kerana keadaan dirinya yang masih kecil dan belum sedarkan diri. Waktu menatap wajah anak kecilnya itulah Datin Hajah Fouziah teringat perbualan mereka suami isteri yang secara tak sengaja mengkaji situasi pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehari sebelum dijadual berangkat ke Tanah Suci. Sungguh, ia seolah-olah menggambarkan perkara sama yang sedang dilalui mereka suami isteri pada saat itu.
“Seperti mana Nabi Ibrahim meletakkan Allah dahulu daripada anak kandungnya sendiri, seperti itu jugalah yang harus kami lakukan. Setelah bertanya kepada ustaz, semua ini adalah dugaan dan kena percaya kepada Allah. Sebab itu kami memutuskan untuk pergi mengerjakan haji walau apa cara sekalipun. Saya rasa Allah betul-betul bagi satu kekuatan yang luar biasa. Kami masing-masing macam tahu tanggungjawab nak pergi haji. Walhal bila saya ada di pejabat pun, saya akan tetap bawa anak sebab tak mampu berenggang dengan mereka.
Ads
Tengah malam lepas selesai packing baju semua, kami datang balik ke hospital nak tengok Zaheen tapi dia masih belum buka mata lagi. I try to be strong. Balik rumah, memang tak boleh tidur. Subuh tu, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Filipina. Apa yang boleh saya katakan, bila kita tahu maksud reda yang sebenar, apa saja yang berlaku bukan lagi benda besar.
Sebelum berlepas ke Tanah Suci dua tahun lalu
Dah sampai Filipina kami akhirnya dapat bertemu dengan kumpulan jemaah kami. Mereka sedang tunggu di dalam bas sebab penerbangan kami ditunda. Lepas makan, kami balik semula ke airport sebab waktu penerbangan dalam pukul 12 tengah malam.
Bayangkan keadaan kami suami isteri yang dua hari tak tidur. Memang lesu. Walaupun flight ditunda tapi Alhamdulilah, saya dapat facetime.. chat dengan anak. Ada hikmah tersendiri yang susah nak diungkapkan. Saya percaya Allah bagi benda yang Dia dah rancang yang terbaik untuk kita.”
Ads
Ujian datang menimpa lagi ketika mereka dijadual berlepas ke Mekah. Sebaik saja semua penumpang sudah berada di dalam pesawat, kami kemudian diarahkan keluar atas sebab teknikal. Berbekalkan beg bimbit yang hanya membawa Al-Quran dan telekung serta persalinan yang dipakainya, Datin Hajah Fouziah dan kumpulan jemaah ditempatkan di sebuah hotel di Manila buat sementara waktu. Diam tak diam, mereka terkandas di Filipina selama tiga hari dua malam.
“Masa tu 15 hari bulan Ogos.. ikutkan 17 hari bulan dah tak boleh masuk Mekah sebab dah nak wukuf. Nasib baik kami naik Saudia Airlines dan diberi keistimewaan kerajaan Arab Saudi, jadi tak terlepas wukuf. Kelebihan Allah nak bagi, saya dapat tidur puas-puas. Daripada nak buat haji tamattu.. dapat pula buat haji ifrad. Walaupun makanan, hotel dan segala keperluan kami sepanjang terkandas tu sangat best dan hebat tapi selagi tak dapat pergi Mekah, rasa kosong. Kalau tengok sudut positif pula ketika terkandas ni, saya dapat communicate dengan anak-anak saya very well. Alhamdulillah.
Sampai je malam tu kami semua terus ke Arafah. Masa dekat Muzdalifah, Arafah dan Mina pun kami terkandas. Dengan pakai baju yang sama lagi.. tapi syukur, akhirnya kami dapat mengerjakan haji dengan baik walau berdepan dengan macam-macam dugaan. Bila dikenang kembali semua kenangan ini, saya dapat rasa betapa besarnya cabaran dan
sukarnya to get my ‘Hajah’,” akhirinya.
Alhamdulillah, kini Zaheen sudah pun berusia dua tahun dan abangnya Muhammad Zeeshan, empat tahun. Dari apa yang dikongsikan Datin Hajah Fouziah, jelas menunjukkan betapa besar ‘kuasa’ yakin terhadap Allah SWT. Andai kita reda dengan ketentuanNya, yakinlah Dia ada perancangan yang lebih hebat. Moga impian kita semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti dimakbulkan. InshaAllah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menjadi ibu bukan perkara yang mudah dan bukan perkara yang sukar juga sebenarnya, kita boleh laluinya bila kita yakin dan rasa kita boleh, maka ia akan menjadi mudah. Jika kita rasa sebaliknya maka jadilah sebaliknya.
Monolog pada diri selalu ada, dan bagi mama-mama yang baru bergelar mama atau yang sedang melalui status ini, adakah aku ibu yang baik dan inilah yang selalu menjadi persoalan bagi ibu muda hari ini.
Kami ingin kongsikan 3 tip bagaimana persoalan ini kita boleh kurangkan sedikit demi sedikit. Bagi para ibu di luar sana dapat guard sedikit demi sedikit untuk terus berjuang. Kita adalah ibu yang selalu mencari Allah dan mencari syurga Allah.
Jom kenali tindakan yang paling patut untuk kita lakukan sebelum dan sedang kita lakukan sebagai seorang ibu.
Gambar hiasan (Kredit Instagram Erra Fazira)
1. Kenali diri sendiri
Bila ibu dapat kenal diri sendiri, ibu akan selalu berfikir apa yang aku ingin di dunia ini? Apa yang sedang aku lalui setiap hari? Apa yang menjadi tanggungjawab aku setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan? Ibu perlu selalu kenal apa kekuatan ibu, apa kelemahan ibu, apa peluang menjadi ibu, dan apa ancaman menjadi seorang ibu. Huraikan satu persatu untuk terus kenal siapa anda dan kenapa anda menjadi seorang ibu.
Di sini para ibu, perlu memiliki buku jurnal sendiri dengan tajuk yang menurut para ibu suka dan meresap pada diri sendiri, catat satu persatu dan buat semakan setiap bulan.
Gambar hiasan (Kredit Instagram Datin Shahida)
2. Kenali suami anda
Ketika kita bergelar seorang ibu, kita perlu yakin kita ada yang membantu iaitu seorang suami yang menyempurnakan hidup kita. Bagaimana untuk mengenali suami, kita tidak akan pernah kenal secara keseluruhan atas diri orang lain walaupun dia telah memiliki tanggungjawab terhadap diri kita.
Tapi yang boleh dihuraikan adalah, bagaimana suami kita dapat membantu kita menjadi ibu yang baik. Untuk kali pertama mengenal suami adalah, duduk bersama dalam keadaan keduanya sedang dalam keadaan tenang dan catat satu persatu kelemahan dan kekuatan masing-masing kemudian, catat bersama bagaimana untuk melalui bersama.
Ambil sehelai kertas lagi dan senaraikan bagaimana kita ingin membentuk anak yang telah menjadi amanah kita untuk kita bentuk. Jadikan sebagai journal dan lalui secara tenang keduanya. Bila tugasan masing-masing telah faham dan ada denda bila tidak terlaksana dan ada reward bila terlaksana adalah salah satu cara untuk terus kekal menjadi ibu dan ayah yang baik.
Gambar hiasan (Kredit Instagram Irma Hasmie)
3. Kenali anak-anak anda
Setiap mereka memiliki perangai berbeza, kelemahan berbeza, kekuatan berbeza, peluang berbeza, itulah yang perlu kita sedar. Di sini ibu perlu malah wajib untuk terus istiqamah belajar bagaimana berbicara, bagaimana menggunakan bahasa badan, menggunakan kuasa dan bagaimana mengatasi kelemahan ibu sebagai manipulasi mereka.
Hidup dengan anak-anak Allah berikan pengalaman sejak dalam kandungan, kelahiran mereka belajar berjalan dan bercakap sehinggalah mereka boleh menjadi diri mereka sendiri semua bermula dari seorang ibu dan sebuah rumah.
Para ibu, laluilah dengan tenang, setiap kali bangun dari tidur, mulakan dengan menyebut nama Tuhan mu ALLAH seperti doa yang sudah disusun oleh Rasulullah, bangun dari katil yakinlah ada pahala yang sedang menanti hari ini, pahala itu akan hilang bila ibu mengeluh, pahala itu akan berlalu bila ibu tidak boleh baik dengan suami dan anak-anak.
Jom teruskan bersemangat dengan diri dan menjadikan rumah dan anak adalah ladang yang mengumpulkan segala pahala yang akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Semoga tip ini dapat membantu anda menjadi ibu yang lebih produktif dan cemerlang.
Coretan,
Puan Anna Rosdijanti Binti Ahmat Rusdi
Pengurus Beana Home Quran Sdn Bhd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Budaya isteri bekerja telah menjadi lumrah hidup masyarakat kini. Sesungguhnya tenaga mereka adalah penyumbang utama kepada ekonomi negara maupun keluarga, setara dengan tenaga kaum lelaki. Sama ada bertujuan untuk membantu kewangan keluarga,
membina keyakinan dan imej diri, mengejar cita-cita, keperluan tenaga wanita dalam sektor pekerjaan memang tidak dapat dinafikan. Malah bukan setakat itu sahaja, wanita kini telah berjaya menempatkan diri mereka setanding dengan kedudukan kaum Adam di tempat kerja.
Wanita bergelar ketua pejabat, pengarah jabatan, pengurus besar, pengarah urusan, sebagai seorang menteri maupun gabenor bukan sesuatu yang asing dan memeranjatkan kita kini. Pencapaian wanita sebagai pentadbir sesuatu organisasi cukup membanggakan. Bekerja dengan staf lelaki tidak sedikitpun menjejaskan kredibiliti ketua-ketua wanita ini. Penerimaan masyarakat terhadap wanita sebagai ketua diterima baik di Malaysia.
Namun di sebalik penerimaan yang baik dalam organisasi pekerjaan, masih wujud masalah-masalah dalam kehidupan wanita ini sendiri yang melibatkan kehidupan rumahtangga mereka. Masalah ini akan lebih terasa apabila suami yang dikahwini menjawat jawatan yang lebih rendah daripada si isteri. Berbagai isu boleh timbul, sama ada daripada suami, isteri, ibu bapa, adik-beradik maupun ipar duai yang mampu menggugat keharmonian rumahtangga.
Antara punca yang mencetuskan konflik rumahtangga apabila seseorang wanita itu bergelar ketua adalah:
1. Sikap wanita itu sendiri
Menjadi ketua memerlukan anda bersikap sebagai seorang pemimpin yang sering memberi arahan dan teguran terhadap pekerja anda. Namun, kadang kala sikap anda ini terbawa-bawa hingga di rumah. Anda seakan lupa bahawa suami anda adalah pemimpin rumahtangga dan anda perlu patuh terhadapnya. Sikap tegas yang tidak bertempat serta memberi arahan kepada suami akan hanya menyebabkan suami merasakan anda tidak menghormatinya dan memandang rendah terhadap haknya sebagai pemimpin keluarga.
2. Sikap suami
Sikap ego suami yang melampau juga boleh mencetus konflik dalam hubungan rumahtangga. Ada sesetengah suami yang cuba menunjukkan “kuasa” di rumah kerana kuathir si isteri akan “memijak kepala” hanya semata-mata kerana isterinya seorang ketua di pejabat. Sikap takut akan bayang-bayang sendiri ini akan memberi tekanan terhadap diri sendiri dan keluarga.
3. Sikap ibu bapa
Sikap prejudis sesetengah ibu bapa apabila anak perempuan mereka memegang jawatan tinggi juga menimbulkan ketegangan dalam rumahtangga. Mereka merasakan pasangan anaknya tidak setaraf dengan kedudukan si anak. Bagi mereka, menantu hanya ingin menumpang kesenangan anak mereka. Keikhlasan pasangan si anak begitu dicurigai, pelbagai tanggapan negatif dilemparkan terhadap menantu yang memberi kesan buruk terhadap rumahtangga.
4. Sikap saudara mara dan ipar duai
Istilah “queen control” cukup senonim dengan wanita yang menyandang jawatan tinggi. Persepsi bahawa ketua wanita ini suka mengongkong suami dan berkuasa terhadap setiap keputusan dalam rumahtangga adalah sesuatu yang cukup lumrah. Umpatan, sindiran serta hasutan di kalangan keluarga maupun ipar duai akan menggoncangkan keharmonian rumahtangga.
Kecemerlangan seseorang wanita itu tidak hanya diukur dari pencapaiannya di pejabat, tetapi juga kejayaannya dalam menjadi isteri dan ibu yang cemerlang. Tidak semudah menuturkan, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namum kebijaksanaan anda bertindak pasti dapat membentuk rumahtangga yang gemilang.
Berikut antara tip yang pasti dapat membantu para wanita yang bekerja untuk melayari rumahtangga dengan jayanya.
1. Berubah untuk menikmati perubahan
Merubah ego lelaki bukanlah mudah tanpa kemahuannya. Anda hanya mampu memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlu berubah kepada yang lebih baik untuk membolehkan suami berubah memperbaiki dirinya.
2. Menangkan suami untuk menang
Dalam rumahtangga hanya ada 2 kuasa, pertama kuasa suami dan kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memula dan menyuarakan. Kuasa isteri adalah bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, maka porak perandalah rumahtangga. Sebagai seorang Islam, anda perlu halusi hak dan batas hak suami dan isteri dalam rumahtangga.
3. Kritikan hanya akan membuahkan kritikan
Kritikan adalah sesuatu yang amat merbahaya dalam rumahtangga. Anda perlu bijak menyampaikan rasa tidak puas hati secara halus kepada suami anda. Jika tidak kena dengan gayanya, anda hanya akan melukai nilai diri seorang lelaki, menjejaskan rasa kepentingan dirinya, menimbulkan kekecewaan dalam dirinya yang akhirnya akan menyebabkan dia mengkritik anda pula.
4. Bertanggungjawab akan menikmati kesan tanggungjawab
Tanggungjawab sebagai isteri tidak akan berubah walaupun dunia ini menjadi semakin maju. Begitu juga dengan tanggungjawab suami terhadap isterinya. Selagi tanggungjawab tidak diabaikan malah disempurnakan dengan cukup baik, anda tidak perlu risau. Keharmonian rumahtangga pastinya terjamin.
5. Berikan suami apa yang dia inginkan
Biasanya dua perkara besar yang diingini oleh seseorang suami. Pertama adalah kehendak batinnya dan kedua kehendak untuk menjadi penting dalam keluarga. Berilah apa yang suami anda inginkan dan yang anda mampu berikan. Pastinya dia juga akan melakukan apa sahaja untuk anda dan memberi apa yang anda inginkan.
6. Hormati suami anda sebagai lelaki
Jika anda berusaha untuk bertolak ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama dengan anda. Wajib bagi wanita menghormati lelaki yang menjadi suaminya. Memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri anda, malah ia menjadikan diri anda lebih terhormat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kepesatan teknologi telah ‘merombak’ norma kehidupan manusia yang tidak dijangkau. Perubahan ini meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk dalam bidang muzik.
Jika dahulu konsert hanya didukung oleh penyanyi dan pemuzik tetapi kini teknologi telah mula mengambil alih. Ini terbukti apabila ribuan peminat anime telah membanjiri konsert hologram penyanyi maya, Hatsune Miku.
Siapakah sebenarnya Hatsune Miku ini sehingga mempunyai beribu-ribu peminat seluruh dunia dan sanggup membayar harga tiket yang mahal semata-mata mahu menontonnya beraksi di pentas konsert?
Hatsune Miku adalah penyanyi maya yang hadir dengan penampilan rambut berwarna biru yang diikat dua. Hatsune Miku sentiasa tampil cantik dan ‘kawaii’ serta sering dianggap salah satu karakter dalam dunia anime.
Namun sebenarnya Hatsune Miku bukan watak anime dan merupakan produk peranti yang menghasilkan suara nyanyian wanita. Hatsune Miku membawa maksud The First Sound from the Future (suara pertama dari masa depan).
Baru-baru ini selebriti siber berusia 16 tahun dan berasal dari Jepun ini telah membuat persembahan konsert di Malaysia yang dibawakan oleh Astro & Crupton Future Media, INC.
Selepas membuat 48 persembahan di 7 buah negara, Hatsune Miku Expo 2017 akhirnya sampai di Malaysia buat julung kalinya. Konsert hologram pertama ini telah diiktiraf oleh The Malaysia Book Of Records.
Peminat Hatsune Miku menyaksikan penyanyi maya kegemaran mereka secara langsung buat pertama kalinya di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 16 Disember 2017 yang lalu.
Persembahan pembukaan tirai yang cukup menguja daripada artis serba boleh, Zizan Razak dan bintang sensasi YouTube, Chaleeda Gilbert. Konsert yang dinanti-nantikan oleh peminat-peminat Hatsune Miku turut distrim secara langsung di Tamago, sebuah aplikasi sosial baharu di Asia Tenggara secara percuma.
Hatsune Miku mempersembahkan hampir 30 lagu-lagu popular termasuk The World is Mine, Tell Your World dan Chentaku, lagu yang asalnya dinyanyikan oleh Zizan Razak. Hamizatul Maizan Mohamed
https://www.youtube.com/watch?v=NXsPGNfYo_o
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!