Kerja Keras Selama Ini Berbaloi, AYDA JEBAT Hadiahkan Rumah Eksklusif Buat Ibu!

Sejuk perut ibu mengandung dapat anak kenang budi seperti Ayda Jebat. Mana tidaknya, walau sudah berjaya Ayda tetap tak lupakan jasa ibu bapa dan mengutamakan keluarga dalam segala hal. Terbaharu, selebriti cantik ini berkongsi detik terindah bersama keluarga yang membuat satu kejutan istimewa buat ibu tersayang, Rohana Mohamed. Rata-rata peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan penyanyi ini turut meluahkan rasa terharu dengan usaha Ayda!

Sambil memuatnaik foto dia memeluk ibu tersayang di hadapan sebuah rumah, kongsi Ayda, “Bismillahirrahmanirrahim. Syukur alhamdulillah. Allah makbulkan doa saya. Rezeki dapat hadiahkan mama sebuah rumah. Saya bagitau Nabil, ada benda saya kena capai sebelum saya kahwin. Inilah antaranya. Buat mama saya bahagia sebelum saya bahagiakan orang lain. Lega hati ni ya Allah.

Saya doakan semua dapat bahagiakan orang tua anda bukan saja dari harta benda, malahan banyak benda lain anda boleh berbakti untuk mereka. Semoga tercapai. Insyaallah. Mama selalu call pesan ‘Kakak jangan kerja kuat sangat, kena rehat jugak.’

Ma, kerja keras saya tak sekuat pengorbanan mama jaga saya & adik-adik. I love you. I will always take care of you, walaupun saya dah kahwin nanti. Always and forever. Senyuman mama tu, priceless. Syukur & terima kasih semua yang menolong & terlibat dalam proses beli & surprise

ni.”

Hati ibu mana yang tidak tersentuh apabila menerima kejutan seperti ini. Difahamkan rumah dua tingkat berkenaan berada dalam kawasan eksklusif Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor! Kalau tengok lokasi dan keluasan rumah, pasti harga kediaman ini mencecah hampir jutaan ringgit. Moga murah rezeki aktres ini sebab menggembirakan hati seorang ibu.

Ayda Jebat atau nama penuhnya Nur Suhada Jebat mula mencipta nama dalam industri selepas menjadi salah seorang peserta program Akademi Fantasia tahun 2011. Kerjayanya dalam dunia seni kemudiannya terus berkembang dalam bidang lakonan dengan membintangi pelbagai drama antaranya Bukan Gadis Biasa dan filem Pinjamkan Hatiku. Selain itu, Ayda juga kembali mengasah bakat nyanyian dan hadir dengan lagu popular seperti Nakal, Pencuri Hati dan Temberang.

Baru berusia 28 tahun, Ayda yang juga seorang pelakon, penyanyi dan duta produk selamat bergelar tunang kepada pengacara Nabil Mahir pada April lalu. Pasangan ini dilaporkan bakal menamatkan zaman bujang pada Januari tahun depan. Tahniah buat Ayda kerana menjadi pembakar semangat buat kaum wanita untuk bekerja keras dan memberikan yang terbaik buat kedua-dua ibu bapa.

 

 

Kredit: Instagram Ayda Jebat

IKLAN
Share