Kesesakan LUAR BIASA Menuju Singapura, Mungkin Ada Rakyat Malaysia Tak Sempat Masuk Sebelum 12 Malam

Bermula petang tadi kelihatan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berpusu-pusu menyeberangi Tambak Johor ekoran implikasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia mulai 18hb Mac hingga 31hb Mac 2020.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengisytiharkan bahawa Malaysia mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18hb Mac hingga 31hb Mac 2020 di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19. Ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu yang diumumkan Perdana Menteri secara langsung menerusi media elektronik dan media sosial pada pukul 10.00 malam.

Menerusi perkongsian Khaty Ahmad Feraal, seorang warganegara Malaysia yang setiap hari ulang alik ke Singapura untuk bekerja ini, kelihatan ramai rakyat Malaysia tidak sanggup lewat tiba di Singapura telah mengambil keputusan berjalan kaki sambil mengusung beg pakaian menyeberangi Tambak Johor. Ini berlaku ekoran kesesakan yang luar biasa di sana.

Khaty Ahmad Feraal

Kongsi wanita yang bekerja di sektor perkhidmatan Singapura ini, “Saya dalam perjalanan pulang dari Singapura ke Johor Bahru tadi. Kelihatan memang ramai yang berjalan kaki tadi untuk menetap di Singapura selama 14 hari.

Mereka mengambil keputusan untuk jalan kaki mungkin sebab jalan raya begitu sesak sehingga langsung tak bergerak. Mungkin mereka takut tak sempat kalau tunggu bas. Sekarang saja dah pukul 8.00 malam,” kongsi wanita ini yang bersyukur apabila syarikatnya membenarkan untuk bekerja dari rumah.

Menurut BERNAMA, majikan di Singapura telah menyediakan penginapan sementara untuk pekerja-pekerja Malaysia. Menteri Perdagangan dan Industri Republik itu, Chan Chun Sing berkata majikan pekerja Malaysia yang perlu menempatkan kakitangan mereka di penginapan sementara itu boleh mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan dan persatuan perdagangan.

Menurut laporan, Chan Chun Sing berkata, Singapura telah membuat pelan luar jangka sekiranya berlaku gangguan bekalan makanan barangan keperluan dari Malaysia. Singapura mempunyai bekalan karbohidrat seperti beras dan mi untuk tempoh melebihi tiga bulan di peringkat nasional.

Sementara itu Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura dalam laman sesawangnya berkata banyak syarikat berusaha untuk menyediakan penginapan kepada pekerja yang sering berulang-alik di antara sempadan Singapura dan Malaysia.

Menurut MOM syarikat juga boleh menggalakkan pekerja terlibat untuk tinggal bersama saudara-mara, rakan-rakan atau kawan sekerja yang sudi menyediakan penginapan kepada mereka untuk sementara.

IKLAN
Share