
Khairy Jamaluddin serah surat rayuan kembali ke UMNO pada malam ke-26 Ramadan, momen yang menitip sejarah penuh bermakna. Satu pertemuan yang sarat simbolik berlangsung apabila Khairy Jamaluddin menyerahkan sendiri surat rayuan untuk kembali menyertai UMNO, parti politik yang pernah menjadi asas perjalanan awal karier politiknya.
Bagi ramai pemerhati politik, momen apabila ‘Çhief’ Khairy Jamaluddin serah surat rayuan kembali ke UMNO bukan sekadar perkembangan politik biasa. Ia terasa seperti kisah seorang anak yang mengetuk pintu rumah lama selepas melalui perjalanan yang panjang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan bahawa beliau menerima sendiri surat rayuan tersebut daripada Khairy pada malam berkenaan.
Menurut Ahmad Zahid, pertemuan itu berlangsung dalam semangat ‘Rumah Bangsa’, satu usaha untuk menemukan kembali mereka yang pernah berpisah serta merapatkan semula hubungan yang pernah renggang dalam keluarga besar perjuangan.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan selepas Khairy Jamaluddin serah surat rayuan kembali ke UMNO itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan akan meneliti permohonan berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat oleh kepimpinan parti.



Dalam kenyataannya, Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa dalam perjalanan politik, perbezaan pandangan tidak semestinya membawa kepada perpisahan yang kekal.
“Biduk lalu, kiambang bertaut,” katanya, merujuk kepada keperluan mencari jalan penyatuan demi masa depan yang lebih kukuh.
Perjalanan Politik Khairy Jamaluddin
Peristiwa Khairy Jamaluddin serah surat rayuan kembali ke UMNO turut mengingatkan ramai kepada perjalanan panjang tokoh ini dalam politik Malaysia.
Nama Khairy Jamaluddin Abu Bakar bukanlah figura asing dalam landskap politik negara. Dilahirkan pada 10 Januari 1976, Khairy merupakan anak kepada bekas diplomat Malaysia Datuk Jamaluddin Abu Bakar dan Datin Rahmah Abdul Hamid.
Beliau menerima pendidikan awal di United World College of South East Asia di Singapura sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Oxford di United Kingdom dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE).
Sekembalinya ke Malaysia, Khairy memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Khas kepada Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Langkahnya dalam politik semakin kukuh apabila beliau aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO dan kemudiannya dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO pada tahun 2009.




Sepanjang kariernya dalam pentadbiran negara, Khairy pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Malaysia, antaranya:
- Menteri Belia dan Sukan (2013–2018)
- Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (2020–2021)
- Menteri Kesihatan Malaysia (2021–2022)
Ketika menjadi Menteri Kesihatan, beliau memainkan peranan penting dalam pengurusan komunikasi serta dasar kesihatan negara sepanjang pandemik COVID-19.
Peranan itu menjadikan beliau antara tokoh politik yang lebih dekat dengan rakyat dalam tempoh mencabar tersebut.
Namun perjalanan politik tidak sentiasa tenang. Pada Januari 2023, Khairy Jamaluddin dipecat daripada UMNO selepas keputusan parti dibuat susulan Pilihan Raya Umum ke-15.
Sejak itu, beliau lebih dikenali sebagai penganalisis politik dan hos podcast yang aktif membincangkan pelbagai isu semasa negara. Isteri Khairy Jamaluddin, Nori Abdullah merupakan anak perempuan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pasangan ini berkahwin pada Oktober 2001 dan dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Averroes.

“Saya Hanya Mahu Kembali Sebagai Anak Kapal”
Selepas Khairy Jamaluddin serah surat rayuan kembali ke UMNO, beliau turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas melalui pertimbangan yang panjang.
Khairy juga merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana menerima kunjungannya dalam semangat keterbukaan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang penuh makna.
Dalam rayuan tersebut, beliau memohon agar pemecatan keahliannya dibatalkan dan nombor keahlian asalnya diaktifkan semula.
Namun yang paling menarik perhatian ialah nada kerendahan hati dalam kenyataannya. Khairy menegaskan bahawa beliau tidak meminta sebarang jawatan atau kedudukan dalam parti.
“Cukuplah untuk saya diberi peluang menjadi seorang anak kapal biasa.”
Beliau menggambarkan parti itu sebagai sebuah bahtera bangsa yang perlu terus belayar meredah cabaran zaman.
Jika ada papan yang longgar, katanya, beliau akan membantu mengetatkannya.
Jika ada paku yang perlu dipalu, beliau akan memalunya.
Jika ada ruang yang perlu ditutup agar air tidak masuk, beliau akan memastikan ia tertutup dengan kemas.
Di penghujung kenyataannya, Khairy menulis dua ayat ringkas yang sarat emosi:
“Insya-Allah. I’m coming home.”
Malam 26 Ramadan dan Makna Kepulangan
Hakikat bahawa detik ini berlaku pada malam ke-26 Ramadan memberikan simbolik yang mendalam. Ramadan sering menjadi ruang untuk manusia kembali kepada fitrah. Memaafkan, memperbaiki hubungan dan mencari penyatuan.
Dalam konteks yang lebih luas, peristiwa ini turut mengingatkan bahawa perjalanan politik tidak hanya tentang perbezaan pandangan. Ia juga boleh menjadi ruang untuk menemukan kembali titik persamaan.
Tanpa memihak kepada mana-mana parti, detik ini membawa harapan agar masyarakat Melayu terus mencari jalan untuk berdiri bersama dengan kebijaksanaan dan kematangan.
Kerana pada akhirnya, perjalanan sebuah bangsa tidak hanya ditentukan oleh siapa yang pernah pergi. Tetapi juga oleh keberanian seseorang untuk pulang dan kesediaan hati untuk menerima.
Dan pada malam yang hening di penghujung Ramadan itu, seorang anak politik memilih untuk kembali mengetuk pintu rumah yang pernah membesarkannya.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/zizi-kirana-sambut-ramadan-di-syria/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





