Personaliti media sosial, Maryam Younarae yang juga isteri kepada pempengaruh media sosial ‘Durian Kimchi’, Ryzal Ibrahim berniat untuk terus mempraktikkan pemakaian khimar di Malaysia seperti mana yang menjadi persalinan kebiasaan kebanyakan wanita di negara Timur Tengah.
Menurut Maryam, pemakaian khimar ini boleh memberikan keselesaan buat para wanita melakukan aktiviti harian dan pada masa sama memudahkan urusan ketika solat.
Katanya lagi, penggunaan kualiti kain daripada Korea Selatan juga nyata memberikan keselesaan buat si pemakai.
Khimar Lebih Selesa Dan Praktikal Berbanding Telekung
“Saya buat khimar ini untuk kegunaan seharian atau ketika berjalan-jalan. Boleh juga digunakan sewaktu solat.
“Memakai telekung untuk aktiviti harian mungkin agak tak sesuai kerana ia labuh dan kainnya tebal, tapi khimar ini sangat selesa.
“Bagi orang yang tak tahu mengenai khimar terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan saya, mereka tertanya-tanya saya tak panas ke? Selesa ke?
“Jadi, saya mahu mereka cuba sendiri. Oleh itu, saya sudah merancang untuk mewakafkan khimar ini di masjid-masjid di Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.
Ads
Maryam berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran Khimar MaryamNarae by Maryam You Narae bertempat di Lola by SeraiGroup KLGCC.
Terkilan Khimar Masih Belum Terkenal Di Korea!
Bagaimanapun, pelakon filem Mat Tudung Begins ini akui agak terkilan apabila pemakaian khimar masih belum boleh diterima ramai lebih-lebih lagi di negara kelahirannya, Korea Selatan.
“Pada Oktober lalu, saya balik ke Korea. Saya ada berkongsi video memakai khimar ketika ke pasar. Video tersebut telah viral dan menerima 12 juta tontonan.
“Orang-orang di Korea melihat saya dalam keadan pelik. Sebagai manusia, saya juga ada perasaan takut dan tertanya-tanya apa yang mereka fikirkan.
“Buat pertama kalinya, saya mengeluh kepada Allah. Kalau nak saya memeluk Islam, kenapa lahirkan saya sebagai orang Korea dan bukannya orang Malaysia? Kenapa beri saya situasi susah?,” ujarnya lagi.
Ads
Bagaimanapun, hal tersebut tidak sesekali melunturkan semangatya untuk berkongsi tentang keindahan Islam.
“Kemudian saya dapat jawapan. Kerana saya orang Korea Selatan dan seorang muslim, jadi, lebih mudah untuk saya mendekati mereka dan berkongsi tentang Islam.
“Saya akan terus tunjukkan perkara yang baik-baik. Sama seperti suami saya, Ryzal. Ketika dia membawa saya memeluk Islam, dia tak pernah paksa saya buat itu ini tapi dia menunjukkan contoh.
“Bila sudah terbiasa, saya pula ada keinginan untuk belajar sendiri. Setiap perkara yang berlaku ada prosesnya. Kita tak boleh terus berubah 360 darjah,” ulasnya lagi.
Pada masa sama, Maryam turut memaklumkan dia memulakan bisnes pakaian muslimah ini sebagai tanda untuk menghargai nikmat rezeki yang telah dikurniakan Allah.
“Ramai tahu saya peroleh rezeki yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Ada orang bila dapat rezeki, mereka hanya berterima kasih tapi tak buat apa-apa.
“Bila dapat rezeki, kita kena memanfaatkan pemberian itu. Allah nak kita memanjangkannya untuk perkara yang baik. Ini cara saya saya memanfaatkan rezeki,” akhirinya.
Untuk rekod, Maryam You Narae merupakan wanita asal Ansan, Gyeonggi-do, Korea Selatan sebelum berkahwin dengan pempengaruh media sosial asal Malaysia, Nik Muhammad Rizal dan popular dengan Youtube ‘Durian Kimchi’, Maryam hanyalah seorang wanita biasa yang mengusahakan kedai menjual kuih walnut bersama ibunya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Masuk tahun ini, sudah sebelas tahun Sharifah Aminah Syed Mohssain bergelar ibu kepada lima orang anak. Secara luaran, tiada apa yang membezakan wanita berusia 39 tahun ini dengan ibu-ibu lain yang mempunyai anak kecil dan dalam masa sama sibuk dengan kerjaya masing-masing. Naluri keibuan yang terpancar pada wajah Sharifah Aminah menutupi segala kekurangan diri.
Realitinya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sharifah Aminah. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang telah dijaga dengan sempurna oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu sejak kecil lagi.
Dialah ibu dan dia jugalah bapa kepada lima anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 11 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 10 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 9 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 4 tahun. Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami… Sharifah Aminah teguh menguruskan segala keperluan anak-anak seorang diri.
Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan. Sungguh mulia!
Ketika selamat bernikah dengan suami tercinta
Namun, tanggal 25 Disember dua tahun lalu… tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa penyayang ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah saya sementara menunggu dia mencari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi lepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis… kami berdua gilir-gilir jaga.
Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua sampai anak yang kelima. Masa sudah ada anak dua, majikan beritahu yang dia mahu ambil anak angkat juga sebab belum dapat anak lagi.
Sharifah Aminah bersama lima anaknya
Tapi bila saya sudah dapatkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat dan selamat dilahirkan, lain pula jadinya sebab majikan saya tadi cakap yang dia belum bersedia. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya lapangkan dada untuk jaga anak kembar mereka sekaligus jadi anak ketiga dan keempat. Alhamdulillah.
Ingatkan sampai takat itu saja… tapi rupanya Allah hendak bagi rezeki anak angkat lagi dekat saya. Hendak dijadikan cerita, ada seorang kawan bawa wanita yang sarat mengandung ke rumah saya pukul 2 pagi. Seminggu kemudian, dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, suami isteri yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Sudahnya, saya yang ambil anak ini dan bawa ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Jujur saya beritahu, ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan yang kita sudah mengambil anak angkat, kemudian perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk tanda tangan beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkat. Selepas tempoh 2 tahun, barulah secara rasminya proses pengambilan anak angkat selesai.”
Membahasakan diri dengan gelaran Umi ketika berada bersama anak-anak, Sharifah Aminah juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu semata-mata mahu menyembunyikan status diri. Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib lima anaknya.
“Tak dinafikan saya terima banyak feedback orang ramai tentang hal ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua. Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri.
Sedang menanti kelahiran cahaya mata
Alhamdulillah, semua anak-anak disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri. Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah… walaupun hakikatnya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia.
Paling penting, ambil anak dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka akan terbela kelak,” pesannya yang kini sedang hamil zuriat sulungnya sendiri hasil perkahwinan bersama suami tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sempurnanya solat itu bermula dengan sempurnanya wuduk itu. Dan kalau solat kita tak sempurna, gerenti hidup kita pun takkan sempurna. Kunci segala-galanya adalah solat.
Sebagai wanita, bermekap memang menjadi satu keperluan walaupun setakat memupuk bedak dan gincu. Tambahan pula musim raya nanti, tentu lebih banyak mekap yang dipakai, umpamanya eyeliner, maskara dan pemerah pipi.
Cuma satu hal yang selalu menyusahkan adalah ketika berwuduk. Nona tertarik dengan penjelasan Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad ini melalui Facebook Live beliau, berkenaan status wuduk jika sisa mekap masih melekat. Nampak ringan tapi berat sebenarnya. Info yang baik untuk para wanita, so jom tambah pengetahuan kita!
“Tadi ada seorang patient datang nak check mata dengan saya. Kemudian dia nak bergambar walaupun dah siap bertelekung untuk sembahyang. Saya tengok matanya, dia dah siap berwuduk tapi eyeliner masih ada.
Dia kata takpe Prof, orang kata boleh ambil wuduk macam ni. Jadi saya pun jawab tak boleh, tak sah wuduk. Eyeliner patient tu walau selepas dilap dengan tisu basah pun masih ada sisa yang tertinggal. Terpaksa pakai oil cleanser, barulah bersih dan sah wuduknya.
Saya faham wanita suka pakai eyeliner supaya mata nampak besar. Tapi risikonya adalah tak sah wuduk, malah merugikan masa. Ramai kurang tahu sebenarnya, kelopak mata atas kita adalah sebahagian anggota wuduk.
Berlainan dengan celak. Pakai celak boleh, macam saya pakai ni di kelopak bawah. Ada seorang wanita Arab pernah beritahu, garis bawah mata tu bukan anggota wuduk. Jadi boleh pakai, macam kita ikut sunah Nabi.
Begitu juga dengan produk mekap mesra wuduk lain yang senang ditanggalkan. Betul boleh pakai tapi masa berwuduk, pastikan ia ditanggalkan.
Saya sebenarnya kasihan dengan ramai di luar sana yang beli macam-macam produk. Saya tak tahulah sempurna ke tidak berwuduk dengannya. There’s no such thing as masih ada maskara atau apa pun ketika wuduk. Sama juga dengan sunblock atau apa saja yang kalis air, jawapannya tak boleh. Lipstik pun sama, especially yang tebal dan susah untuk ditanggalkan.
Saya pernah tanya sorang anak saudara saya di Mekah, macam mana dengan natural oils? Dia jawab boleh. Contohnya kita pakai minyak kelapa, minyak zaitun atau minyak argan dekat muka kemudian ambil wuduk, itu boleh.
Jadi amalkan membawa sebotol minyak yang kecil ke mana-mana. Minyak zaitun contohnya, untuk cuci muka kita bersih-bersih. Lepas solat nanti, pakailah balik mekap yang kita suka tu.”
Hukum pakai bulu mata palsu?
Prof Muhaya turut memberi pendapatnya tentang amalan membuat extension bulu mata. “Saya bukan ustazah tapi setahu saya hukumnya bila kita menyambung bulu mata atau pakai bulu mata palsu ni berdosa.
Dulu saya pun pernah pakai bulu mata palsu masa shooting Mata Ke Hati. Saya tak tahu masa tu tapi seorang Ustaz ni beritahu berdosa.”
Sumber: Facebook Prof Dr Muhaya
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hairan dari manalah dia mendapat kekuatan itu. Bersendirian membesarkan Nur Zahra Adriana, anak syurga yang disahkan kurang sempurna sifatnya.
Mengetuk pintu hati Mardhia Yusof, 30, ibu tunggal berwajah putih gebu ini agar berkongsi pengalamannya dengan Adriana, 3, sampai sekarang masih berbekas sebak di jiwa.
Adriana didiagnosis menghidap Aicardi Syndrome. Pakar meletakkan kes malang itu dalam kategori Cerebral Palsy Spastic Quadriplegic Stage 4 memandangkan karakter Aicardi yang menyamai Cerebral Palsy.
Antaranya lambat belajar, pertumbuhan fizikal yang perlahan, masalah pertuturan, masalah penglihatan dan sebagainya.
Yana pergi sekolah
Menambahkan lagi beban yang sedia berat di bahu, Mardhia atau Mar, berpisah dengan bekas suami semasa mengandung. Walaupun masih struggle dengan kehidupan sekarang, kisah ketabahan dan pengorbanannya patut menjadi iktibar buat ibu ibu lain.
Ceritakan perasaan Mar apabila positif hamil?
Saya dapat tahu pregnant pada bulan Ogos 2013. Macam orang lain, saya juga memanjatkan rasa syukur kehadrat Ilahi. Rasa gembira tak terkata, walaupun agak terkejut kerana kurang bersedia waktu itu.
Pada awal kehamilan, alhamdulilah tak banyak alahan atau morning sickness yang teruk. Masa tu saya selalu buat ujian imbasan di klinik kesihatan Presint 9, Putrajaya.
Bagaimana dapat tahu tentang masalah anak dalam kandungan?
Sebenarnya sejak trimester pertama lagi saya dah rasakan something is not right. Mungkin sebab terbeban dengan masalah peribadi yang berlaku serentak, membuatkan saya tak ambil peduli sangat.
Sampailah masuk trimester kedua. Saya perasan pergerakan bayi dalam perut kurang aktif. Bila pegang perut, baby kecil.
Masuk bulan kelima dan keenam pregnant (November dan Disember 2013), saya buat detail scan 4D di Klinik Az-Zahra Bangi. Tapi tak nampak dan doktor suruh datang lagi pada bulan Januari 2014.
Masa itulah saya terima perkhabaran buruk. Doktor periksa otak bayi tak fully formed dan ada cairan CSF (Cerebrospinal Fluid) dalam otak sebelah kiri.
Kes saya segera dirujuk ke HUKM. Saya ke sana pada 28 Januari 2014 dan berjumpa Prof Dr. Norzi. Beliau sahkan benar.
Saya masih ingat kata-kata Prof, “Unfortunately, yes. it’s ventriculomegaly, brain not fully formed. Nothing can be done until delivery.”
Allahu! Saya terduduk menangis di depannya. Otak saya kosong. Tak boleh terima lagi. Saya terkejut. Sedih. Kecewa. Rasa ujian yang datang bertalu-talu beratnya.
Masa yang sama, saya baru saja berpisah dengan bekas suami.
Adik saya yang ikut teman, berusaha keras memujuk. Keluarga saya tak putus-putus beri sokongan dan motivasi agar semangat saya kembali.
Alhamdulilah saya bertuah kerana adik dan kakak saya kedua-duanya doktor perubatan. Merekalah yang paling banyak membantu pada saat saya buntu mencari jawapan.
Prof Dr. Norzi suruh saya datang sekali lagi pada 14 Februari 2014 untuk ujian pre-natal MRI. 2 minggu kemudian, keputusan pun keluar.
Allahuakbar! Satu lagi berita buruk, tapi kali ni saya dah bersedia. Walau apa pun yang bakal saya dengar, saya tekad meneruskan pregnancy sungguh pun tahu anak yang lahir nanti tak sempurna.
Beliau pegang tangan saya dan berkata, “Ibu, sabar banyak-banyak. We found another abnormalities. Septo-optic dysplasia. Her left eyeball is missing. Tak ada mata kiri. Dengan ada cairan di otak sebelah kiri. Tiada corpus callosum to control motor function.Will prone to have seizures.”
Saya? Cuma terkedu bila beliau serahkan sehelai kertas bertulis septo-optic dysplasia. Saya balik. Google. Tanya kakak. Maksud semua terms, effects and managements.
Keadaan emosi Mar masa tu?
Bercampur-baur. Hari malang saya terima khabar buruk, hari itu jugalah saya diuji dengan hal rumah tangga yang hancur berkecai-kecai. Saya betul-betul berserah pada Allah. Apa pun terjadi, saya akan jaga anak ni sampai nafas terakhir saya.
Bunyi macam klise, tapi inilah realiti hidup yang penuh dengan drama.
Reaksi bekas suami Mar tentang hal ini?
Sebelumnya dia tak tahu. Tapi Prof ada pesan, selain berdoa pada Allah, banyakkan solat hajat, taubat dan tahajud, saya tetap kena beritahu bekas suami.
Bila saya beritahu, dia tak percaya! Katanya baby will be okay. Hinggalah bila baby lahir, dia dan mak dia terkejut…
Saya yang sudah tahu dan bersedia lebih awal, tak adalah rasa sedih sangat. Cuma sebagai ibu, saya bimbangkan nasib anak. Fikirkan nafkah dan masa depannya.
Mujurlah bekas suami bertanggungjawab dan tetap sayangkan anak kami. Selepas selesai hal custody di Mahkamah, Adriana pun macam faham yang ibunya jaga weekdays dan ayahnya jaga weekend. Saya bersyukur kerana kami masih berbaik demi anak. Dan alhamdulilah, saya yakin Adriana pun faham.
Keadaan Mar dan Adriana selepas kelahiran?
Allah Maha Adil dan Penyayang. Mungkin tahu saya bersendirian dan berpantang sendiri, Dia permudahkan urusan bersalin. Saya dapat bersalin normal dan baby pun tak banyak ragam.
Ketika saya sangat memerlukan bantuan, keluarga sentiasa di sisi menjaga kami berdua. Ayah yang jaga saya berpantang dan kakak dalam diam buat assessment pada saya kalau-kalau saya alami depression.
Tapi Adriana keeps me sane. I make myself busy with her.
Ummi pun sentiasa bagi nasihat, ingat Allah. Mungkin itu yang menjadi kekuatan saya sampai sekarang. Yakin dengan Allah. Reda dengan ujian-Nya. Terima qada’ dan qadar dengan hati terbuka.
Dan bila tiap kali saya lihat Adriana tidur malam, saya akan bisik ke telinganya, “Yana pinjamkanlah Mama kekuatan. Tunggu Mama Papa kat syurga ya”.
Kerana jauh dalam hati, saya cuma hamba Allah yang lemah tak berdaya. Saya kena lebih kuat daripadanya untuk beri dia kekuatan dan kegembiraan.
Perkara paling manis yang Adriana pernah buat untuk Mar?
Bila Adriana mula sebut nama dia sendiri ‘Adriana’. Masa tu adik saya sedang pangku dia dan ajar sebut namanya. Tiba-tiba Adriana ikut dan sebut Adriana. Waktu itu dia baru berumur 2 tahun lebih.
Malah sudah tentu, waktu Adriana pandai tersenyum dan sebut ‘Ma’ (awal tahun 2017). Dan terbaru, dia sudah pandai angkat tangan sendiri, cari tangan Mama dan pegang erat-erat. Tak nak saya tinggalkan dia.
Amalan untuk mendidik anak? Kongsikan tip atau cara penjagaan yang diamalkan?
Amalan untuk didik anak istimewa, tiada rahsia. Rata-rata semua tahu, untuk Muslim, kitab Quran adalah yang terbaik. Ajar sebut kalimah Allah sudah cukup.
Bila Adriana kena sawan, saya ajar Yana, “Minta pada Allah. Allah, fit go away“. Alhamdulillah lama-lama Adriana boleh sebut Allah dan kalimah Alhamdulillah. Memang terkejut pertama kali dengar dia ucap Alhamdulillah dengan jelas. Subhanallah.
Doktor neuro pernah beritahu, “She cannot walk, cannot talk”. Saya terdiam dan yakin semua jadi dengan kuasa Allah. Kun fayakun. Kita harus usaha yang terbaik.
Malah kami pernah sampai ke Kedah berubat alternatif, tapi tak berhasil. Tak apa, janji kita usaha. Memang kena banyak bersabar menjaga anak istimewa.
Yes, everyday is challenge. Sentiasa berdoa Allah permudahkan segala urusan. Ibu ayah jangan mudah putus asa. Kuatkan semangat, emosi dan hati. Elakkan tunjuk sedih dan menangis depan anak. Usaha selagi boleh.
Yang penting kena yakin dan minta pada Tuhan. Kalau stres jaga anak, talk to someone you trust (ahli keluarga atau doktor). Dan ibu bapa yang ada anak istimewa, jaga kesihatan diri sendiri dahulu. Kerana kalau kita sakit, siapa yang akan jaga anak kita pula?
Harapan Mar untuk anak istimewa ini?
Semoga Allah makbulkan doa saya dan kami sekeluarga. Semoga Adriana dapat berjalan, dapat bercakap dan dapat melihat.
Semoga Adriana dapat hidup sihat seperti kanak-kanak normal yang lain, insyaAllah. Kalau bukan atas dunia, Adriana pasti sempurna dalam syurga tunggu Mama nanti. Saya sentiasa doakan keajaiban Allah. Kerana jadi, maka jadilah ia.
Rancangan untuk diri Mar sendiri?
Saya sedang berusaha berdikari menguruskan Adriana sendiri. Sebelum ni, ayah atau mak yang akan temankan saya hantar dan ambil dia di sebuah sekolah khas di Brickfields.
Tapi sampai bila nak menyusahkan mereka. Kalau boleh saya tak mahu menyusahkan sesiapa lagi.
Sebenarnya saya mempunyai kelulusan ijazah dalam kejuruteraan am dan pernah bekerja sebagai jurutera sebelum menyambung MBA (2013). Famili ada suruh supaya saya sambung sampai ke tahap PhD.
Tapi selepas Adriana lahir, hasrat itu terbantut. Masa tu Adriana baru 5 bulan, jadi sangat mencabar untuk belajar kerana dia mesti ke hospital setiap minggu.
Bulan Oktober 2014, kawan saya cadangkan supaya saya belajar pendidikan khas di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Jadi saya withdraw PhD dan sambung buat ijazah dalam Pendidikan Khas.
Sejak saya belajar Pendidikan Khas ni, semua dipermudahkan. Khasnya untuk jaga Adriana. Saya percaya Allah dah susun semuanya dengan cantik, malah tak terlewat satu saat pun.
Pernah saya cuba berniaga tapi ada saja tak kena. Nak buat bisnes, tak ada stok. Ada saja ujiannya. Tapi bila saya set niat untuk Adriana, semua dipermudahkan.
Bila fikir balik, Allah sebenarnya sedang bagi amanah dan pinjamkan Adriana. Jadi hargailah dia sebaiknya. Saya bahagia tengok dia bahagia setiap saat. Itulah anugerah terindah buat seorang ibu. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan semangat Datuk Mastura Tan Sri Mohd Yazid dalam menimba ilmu. Mana tidaknya, pada usia 60an dia nekad menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah atau PhD.