11 Tahun Menunggu Zuriat, ACHEY BOCEY Kongsi Perkembangan Terkini Rawatan IVF Isteri

Ogos lalu, isteri kepada pelawak terkenal Achey Bocey mendedahkan kepada umum pengalaman pertamanya menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) pada 6 Ogos 2022 di sebuah pusat perubatan sekitar Johor. Lebih bermakna lagi, perkongsian itu juga sebagai ‘hadiah terindah’ buat Achey sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-36.

Nur Hassanah Yahya atau panggilan mesranya Anne, teruja berkongsi ‘perjalanan’ pertamanya itu dalam usaha mendapatkan zuriat setelah 11 tahun usia perkahwinan.

Untuk info, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah mendirikan rumah tangga dengan Anne pada 2011. Mereka memiliki seorang anak angkat perempuan, Nur Tiara Zinnirah yang kini berusia empat tahun.

Memetik kata-kata indah Anne di Instagramnya:-

“Happy birthday sayang, tahun ini hadiah terindah saya bagi dekat awak. Semoga Allah permudahkan urusan kita dunia akhirat. Terima kasih menjaga saya dari dulu hingga sekarang. 11 tahun penantian kita, InsyaAllah kita usaha, Allah yang tentukan.”

Terbaharu, Achey berkongsi perkembangan ‘perjalanan’ rawatan IVF isterinya itu di Instagram.

Menerusi perkongsian video ringkas itu, Achey berkata kini isterinya sedang melalui fasa penting dalam rawatan IVF iaitu memasukkan embrio matang ke dalam sistem peranakan.

“Bismillah bermula dari Ogos dan kini, proses penting telah tiba…memasukkan embrio matang ke tubuh ibunya.

“Mudah-mudahan berjaya, doakan proses ini berjalan dengan lancar.

“Tak mudah proses ini, positif kita jalani, positif la kita dapat.

“Usaha sebaik yang boleh, Allah juga yang menentukan berjaya atau tidak, doakan kami terus kuat.”

Achey turut meminta para peminat dan pengikutnya mendoakan agar isterinya diberi kekuatan memandangkan kini bermulanya fasa penting dalam rawatan IVF.

Menjengah ke ruangan komen, rakan-rakan artis seperti Datuk Fizz Fairuz, Datin Suliza Salam, Izzue Islam dan Ezzaty Abdullah turut menitipkan doa buat pasangan ini agar proses tersebut berjalan lancar serta dipermudahkan.

Kredit Foto: Instagram Achey & Anne

IKLAN
Share