“Kirimkan Doa Buat Perjalanan Baharu Saya,” NEELOFA Akui Sudah Berniqab!

Bermula dengan memuatnaik foto dirinya berniqab di Instagram pagi tadi, mengundang pelbagai reaksi daripada peminat dan rakan artis. Ramai yang berteka-teki mengenai penampilan terbaharu Noor Neelofa Mohd Noor tapi empunya diri masih ‘membisu’. Bagaimanapun, sekitar jam 3 petang tadi satu kenyataan rasmi dibuat oleh pihak Neelofa sekaligus mengiyakan penampilan selebriti cantik tersebut yang kini sudah berniqab. Alhamdulillah!

“Assalammualaikum. Doakan saya, insan yang penuh dengan kekhilafan ini agar sentiasa istiqomah dalam memperbaiki diri dan ampuh melalui datangnya hari. Kirimkan juga doa buat perjalanan baharu saya nanti agar sentiasa dalam rahmat dan reda ilahi. InsyaAllah, semoga kita sentiasa dilindungi Allah dan selalu berada dalam rahmat dan ehsannya.”

Yang pasti, bukan peminat dan kenalan Neelofa sahaja yang terkejut dengan perubahan usahawan Naelofar ini. Bahkan ibu Neelofa sendiri meluahkan rasa tidak percaya saat bertemu anak kesayangannya itu di pejabat mereka pagi tadi. Mengakui cukup bersyukur dengan penghijrahan itu, Datin Noor Kartini turut berkongsi momen bersama Neelofa sambil menggunakan hashtag #anakluarbiasa.

“MashaAllah MashaAllah Ya Allah aku tiada ungkapan untuk ku ucapkan syukur dengan kurniamu mengamanatkanku bidadari yang terindah untuk ku, yang banyak mengajarku, yang menjadi inspirasiku.. Ya Allah syukur atas hidayah untuknya yang kau kurniakan dan ku mohon kurniakan hidayah yang terbaik untuk ku, seluruh keluarga ku dan seluruh umat manusia. Amiinnn. Love you bidadariku Neelofa.”

Sementara itu, menjengah ke Instagram Neelofa pula rakan make up artis, kenalan dan adik-beradik antaranya Nellisa Mohd Noor turut mengungkapkan rasa syukur atas perkhabaran gembira tersebut. Tidak kurang juga yang menangis sebak dan terharu melihat kehidupan Neelofa hari ini yang lebih menjurus ke arah kebaikan.

Sebelum berniqab, perubahan secara beransur-ansur Neelofa turut disedari ramai selepas dia mula memperbaiki diri dan menutup aurat dengan sempurna dengan memakai stoking kaki dan tangan. Begitu juga dari segi pemakaian tudung yang labuh daripada kebiasaan.

Malah, ada dalam kalangan peminat membuat telahan nakal bahawa pengacara dan pelakon jelita ini berubah ke arah lebih baik kerana bakal menamatkan zaman bujang dengan seorang pendakwah kacak popular.

Apa-apa pun Nona mendoakan yang terbaik buat Neelofa dan segala kebaikan yang ditonjolkan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh wanita.

 

 

Kredit: Instagram Neelofa & Datin Noor Kartini

IKLAN
Share